Episod : Terbang Ke Awan

Gambar ini mengingatkan aku pada satu detik yang kukira sejarah dalam perjalanan hidupku. Hari konvokesyen UPM kali ke-22 pada tahun 2008. Tidak pernah kusangka-sangka. Usai STPM pada tahun 1986, seperti rakan-rakanku yang lain aku juga berlumba-lumba memohon ke menara gading. Borang permohonan yang tersiar di dalam surat khabar digunting , diisi segala butiran yang dikehendaki dan segala dokumen serta sijil yang diperlukan difotostat untuk dikepilkan bersama-sama borang permohonan.
Namun, segala-galanya hampa. Aku gagal dalam permohonan ke universiti. Manakala, seorang demi seorang rakanku mendapat tawaran dari universiti. Aku hanya menumpang gembira dan bangga atas kejayaan rakan - rakan.
Hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun berlalu . Impian dan harapanku ikut sama pudar. Cita-citaku untuk menyambung pelajaran ke universiti sudah kupadam tanpa berbekas. Andainya aku tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti sekurang-kurangnya anak-anakku akan menunaikan impianku , seorang ayah !.
Pada suatu hari, rakan sejawatanku Cikgu Shan yang mengajar subjek Bahasa Inggeris menyapa aku ketika kami berselisih di pintu lif.
" Mi, petang ni kau free tak ?," tanya Shan.
" Kenapa Shan? ".
" Aku nak minta tolong kau."
" Tolong apa ? Kau nak pinjam ke ?."
" Eh, tak ada la. Aku tau la kau banyak duit." Aku ketawa kecil.
" Cakaplah tolong apa?."
" Kau boleh tolong hantar aku ke UPM?."
" UPM di Serdang ?."
" Ya lah di Serdang . Takkan kat rumahku di Banting.". Kami ketawa serentak dan beberapa orang pelajar kami turut tersenyum. Rupa-rupanya mereka sedang mencuri-curi dengar perbualan kami.
Aku dan Cikgu Shan ( mendiang ) ialah rakan karib . Ke mana ada Shan di situ ada aku. Semasa waktu rehat , kami berdua akan berjalan kaki ke Restoran Hijrah yang tidak jauh dari sekolah . Kebetulan kami memang hantu mi goreng .
" Mamak, mi goreng satu . Pinggan kosong satu," laung Shan kepada pramusaji restoran.
Sepinggan mi goreng kami bahagi dua. Begitulah hampir setiap hari. Gelagat kami selalu menjadi usikan pelajar-pelajar . Sebagai sebuah sekolah swasta , kakitangan dan pelajar dibenarkan makan di luar kawasan sekolah kerana di sekolah tiada kantin disediakan Yang ada hanyalah " Edmund Corner ". Cikgu Edmund Edward yang turut mengajar di situ membuka pentri ala-ala kafe. Tapi, dia saja yang minum di situ.
" Pukul berapa kita nak gerak ke UPM?," tanyaku kepada Shan.
" Aku mesti ada di sana pukul 2.00 petang."
" Ok lah. Nanti kita gerak sama , " janjiku kepada Shan. Seperti yang dijanjikan , aku menunggu Shan di dalam kereta Toyota UNSER ku. Kami melalui Lebuh Raya Kesas menuju ke Serdang. Dalam perjalanan aku melayan perasaan yang tiba-tiba berasa pilu meresap di seluruh urat tubuhku.
" Mi, kenapa kau diam saja," tanya Shan yang menyedari perubahan aku. Aku tidak segera menjawab. Aku bernostalgia. Andainya , tawaran ke ITM dulu aku berjaya barang kali aku sudah bergelar siswazah . Tapi , bukan rezeki aku kerana aku dikhianati seorang kawan karib !
" Eh, tak ada apa - apalah, " jawabku perlahan.
" Kau tak bagi tahu aku pun kau mohon UPM?," aku melontar pertanyaan kepada Shan.
" Aku tak tahu kau pun minat nak sambung belajar ," jawab Shan. Diam.
" Tak apalah , Mi. Rezeki kau lagi baik daripada aku . Kelas tuisyen kau pun banyak . 'Income' kau lagi lebat," ujar Shan. Aku hanya tersenyum tawar.
Selepas melepasi pemeriksaan di balai pengawal, lebih kurang 100 meter aku membelok kereta ke kiri. Sebuah bangunan agak lama tersergam . Sebuah papan tanda gergasi " FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI " . Serasa bulu romaku menegak kerana aura universiti menyelinap di tubuhku.
Aku memparkir kereta di tempat parkir yang disediakan. Bakal-bakal siswazah berbaris panjang dari parkir hingga meja pendaftaran .
" Mi, aku pergi dulu. Nanti dah siap aku ' call' kau, " kata Shan sambil berjalan masuk barisan . Aku pula mencari tempat untuk duduk sambil menunggu urusan Shan selesai.
Raut gembira dan bangga terpancar pada wajah-wajah bakal siswazah UPM.
"Ah, betapa seronoknya kalau aku seperti mereka," desis hati kecilku. Barisan yang panjang tadi semakin pendek dan akhirnya tenggelam di dalam perut dewan bersebelahan pejabat . Aku hanya bersendirian di atas tangga sambil mengelamun.
" Saudara tak masuk mendaftar ke?," sapa seorang lelaki bersongkok dan berjanggut panjang serta lebat bagai seorang ahli tabligh. Teringat aku semasa menunggu SPM aku diajak oleh seorang jemaah surau mengikutnya ke Kuala Lumpur. Aku dan sekumpulan ahli tabligh menaiki dua buah kereta ke Masjid Sri Petaling, markaz tabligh . Tiga hari dua malam aku "hilang" dalam suasana yang tidak pernah kualami. Setelah tiga hari, aku dihantar pulang ke rumah dan ibuku melarang aku mengikuti jemaah tabligh lagi.
" Saya menunggu kawan saya, tuan," jawabku sambil tersenyum.
" Saudara tak berminat belajar lagikah? ," tanya lelaki itu. Wajahnya sentiasa dihiasi dengan senyuman manis.
"Minat, tuan tapi permohonan dah tutup kata kawan saya itu ," jawabku dengan jujur.
" Saudara ada sijil STPM? Berapa prinsipal?."
"Ada tuan. 4 Prinsipal."
"Ada ambil subjek BM? Lulus ?."
" Ada. Lulus, tuan."
" Ok, sekarang saudara ikut saya ke pejabat. Tahu guna komputer?."
" Tahu."
Aku mengekori lelaki yang tidak kukenali itu ke pejabat. Ruang legar yang penuh dengan bakal siswazah tadi bertukar lengang.
" Wati, tolong saudara ini isi borang," arah lelaki itu seperti seorang pegawai berjawatan tinggi.
"'Saudara ada duit? RM1400.00," tanyanya lagi.
"'Ada, tuan."
" Nanti selepas isi borang saudara pergi ke bank sebelah koperasi untuk bayaran pengajian'," katanya sambil tersenyum.
" Tahniah, saudara ," ujar lelaki itu sambil beredar meninggalkan aku dan kerani di depanku. Aku tidak sempat bertanya nama lelaki itu juga kepada kerani itu kerana terlalu gugup. Seolah-olah aku sedang bermimpi.
Usai segala urusan di pejabat, aku menerima sehelai kertas sebagai tanda pengesahan permohonan aku telah diterima. Setelah 19 tahun menanti peluang ini dan akhirnya Allah memakbulkan doaku. Aku sangat bersyukur.
Aku diminta masuk ke dewan. Dari kejauhan kulihat Shan melambai ke arahku seolah-olah bertanya ," Mi, kenapa kau ada dalam dewan ?." Aku mengangkat kedua-dua tangan seperti menjulang trofi kejayaan . Perasaanku ketika itu umpama terbang ke awan !

Comments

Popular posts from this blog