EPISOD : SUARA
Kisah ini dikongsi oleh seseorang kepadaku semasa dia mengerjakan umrah di tanah suci Mekah. Sebenarnya, bermacam-macam cerita yang pernah aku baca di dalam sebuah majalah popular sekitar tahun 1990-an dulu, iaitu MASTIKA. Banyak cerita aneh ditulis oleh penulis-penulis sama ada pengalaman penulis sendiri atau pun diceritakan orang.
Dia memulakan penceritaannya tentang kegembiraannya dapat menjejakkan kaki di bumi barakah, Mekah Al-Mukaramah. Keseronokan ketika berada di hadapan Kaabah. Sesiapapun ingin menjejakkan kakinya ke sana namun semua ini adalah urusan Allah. Bagi yang berwang belum tentu akan dijemput Allah ke sana dan bagi yang tidak berwang barang kali akan dijemput ke sana melalui pelbagai cara.
Kegusaran mulai melanda apabila dia memasuki hotel penginapan. Suasana di dalam hotel itu amat sunyi walaupun semua bilik di hotel itu penuh dengan Jemaah umrah. Dia mulai berasa hairan kerana tiada kedengaran suara orang yang bercakap atau keluar masuk bilik selama dia tinggal di hotel penginapan itu. “Tidak mungkin semua orang keluar dari bilik pada waktu mereka pulang untuk berehat selepas menyelesaikan urusan yang perlu, “ detik hati kecilnya.
Aku tidak mahu mencelah penceritaannya kerana akum ahu menggali pengalamannya semasa di sana. Dia berasa lagi pelik kerana seolah-olah di dalam hotel itu hanya dia seorang yang tinggal. Tiada kedengaran walaupun hentakan sepatu atau ketukan di daun pintu. Semasa dia berada di salam bilik dia berasa lebih takut. Kedengaran suara perempuan mengilai-ngilai dan sesekali seperti suara perempuan menangis mendayu-dayu. Apa yang lebih pelik, suaminya yang bersama-sama dengannya tidak mendengar apa-apa.
Begitulah selama dia menginap di hotel itu dia akan mendengar suara perempuan mengilai-ngilai dan menangis umpama seseorang yang sedang dilanda kesedihan yang amat. Apabila dia turun ke bawah hotel untuk meneruskan rutin harian sepanjang mengerjakan umrah , ramai penghuni hotel berada di lobi. Masing-masing dengan hal masing-masing. Dia sendiri tidak mahu bertanya kepada mutawif atau mana-mana ustaz yang bersama-sama di dalam rombongannya.
Sepanjang penceritaannya , aku hanya tersenyum mendengarnya. Wajahnya bersungguh-sungguh menceritakan pengalaman yang menakutkannya. Aku juga tidak nampak wajahnya ceria selepas pulang dari sana. Pada aku, masing-masing ada bahagian masing-masing yang Allah akan tunjukkan semasa berada di tanah suci. Itulah yang sering aku mendengarnya daripada pengajian yang disampaikan oleh ustaz di masjid atau surau.
Aku teringat akan perbuatannya yang menebarkan fitnah kepada orang yang sangat aku kenali. Fitnah ini berkaitan perebutan harta sesame dia dan ahli keluarganya. Aku bukan mereka-rekanya kerana aku tahu hal kedudukan fitnah yang bertebaran dalam kalangan ahli keluarganya. Aku berasa sangat simpati kepadanya kerana kesedarannya tentang kesilapan yang dilakukannya hanya terluah selepas dia pulang dari sana. Selama ini, dia tidak menunjukkan keinsafan atas perbuatannya yang melukakan hati mangsa fitnahnya.
Sejak kepulangannya dari sana, aku perhatikan dia kurang bercakap dan wajah seakan-akan kebingunggan. Baru-baru ini, di dalam satu majlis aku melihatnya tidak ceria tetapi dia banyak termenung tidak seperti sebelum dia ke sana beberapa bulan yang lalu. Walaupun sebelum ini, dia pernah mendapat tawaran mengerjakan haji tetapi dia tidak dapat menunaikannya atas sebab kewangan. Pelik juga kerana dia bukanlah tidak berkemampuan. Dia seorang kakitangan kerajaan dan setiap bulan membuat potongan gaji untuk simpanan tabung haji. Entah bagaimana, ketika dia menerima surat tawaran Tabung Haji dia juga menerima surat tuntutan bayaran yang cukup besar atas urusan tertentu yang dia tidak membayarnya sebelum itu. Jadi, wang simpanan untuk mengerjakan haji telah digunakan untuk melangsaikan hutang tertunggaknya.
Aku mengambil ikhtibar daripada penceritaannya bahawa sebagai hamba Allah di muka bumi ini kita akan sentiasa diuji. Walaupun kita berasakan bahawa kebaikan sudah dilakukan dan ibadah kita tidak diabaikan tetapi sebenarnya ada perkara yang tanpa kita sedar telah merosakkan amalan kita. Aku juga ingin bertanya kepadanya satu soalan namun kupendamkan sahaja demi menjaga maruahnya.
“Adakah suara perempuan yang mengilai-ngilai dan menangis yang didengarnya ialah suaranya sendiri ??? “
Wallahualam.
Comments
Post a Comment