Episod : Kampung Janda Baik

Pelan untuk mengadakan ' Family Day ' ke Kampung Janda Baik telah dirancang sebelum aku dan anak menantu terbang ke Langkawi pada 8 -10 Mei 2023. Tarikh 20 -21 Mei dipilih selepas perbincangan di dalam grup 'whatsapp' keluarga. Beberapa rancangan disusun untuk memeriahkan acara pada hari tersebut nanti.
Aku yang baru keluar dari hospital setelah 5 hari bermalam di wad agak kurang cergas. Aku tidak memandu ke destinasi hari itu sebaliknya menumpang kereta anakku. Kami memulakan perjalanan pada pukul 10.00 pagi dan singgah di ST Rosham Shah Alam untuk membeli beberapa barang masakan untuk dibawa ke sana. Sepanjang perjalanan aku tertidur dan tahu-tahu dah sampai di destinasi 'Man Ana Chalet' , Kampung Janda Baik.
Kami telah menempah seluruh kawasan chalet itu untuk menikmati suasana 'privacy' . Aku telah sampai lebih awal sekitar jam 1.00 petang dan masa untuk 'check -in' pada pukul 2.30 petang. Sementara menunggu ahli keluarga lain sampai, aku berbaring di atas wakaf lalu tertidur. Hanya kedengaran deruan air sungai yang mengalir deras dan angin yang nyaman. Memang sesuai untuk berehat dan jauh dari hiruk pikuk kota.
Setelah semua ahli keluarga sampai, masing-masing mengambil kunci bilik dan menyimpan beg serta barang-barang peribadi. Ada yang sudah masuk ke dalam sungai yang jernih dan sejuk airnya. Beberapa ekor anak anjing liar bermain-main di kawasan berdekatan sungai. Anak menantu mula memasak untuk mengisi perut. Aku membawa ayam yang sudah diperap semalaman untuk dimasak 'bbq' . Tapi, selera makanku entah ke mana. Masaku lebih banyak tidur daripada melayan cucu-cucuku bermandi-manda air sungai.
Pada sebelah petang, aku turun ke sungai untuk bersama-sama ahli keluarga lain yang bermandi-manda sejak sampai di chalet itu. Tuan punya 'chalet' sepasang suami isteri yang sudah berumur turut tinggal di banglo bersebelahan ''chalet' . Aku membayangkan seandainya aku mempunyai wang yang banyak aku ingin membeli sebidang tanah yang mempunyai sungai untuk bermandi-manda. Angan-anganku terganggu apabila beberapa anak anjing liar mula memasuki kawasan 'chalet' . Tuan punya 'chalet' menangkap dan membawa anak-anak anjing itu ke seberang sungai. Kata tuan punya 'chalet' , anak-anak anjing itu milik penduduk orang asli yang tinggal di kawasan itu. Mungkin bau daging 'bbq' menarik perhatian anjing-anjing itu datang ke tapak 'chalet' .
Hari hampir maghrib. Kami sudah bersiap-siap untuk solat berjemaah di sebuah wakaf surau di dalam kawasan 'chalet'. Menantuku menjadi imam solat Maghrib. Dulu, sebelum puteri-puteriku mendirikan rumah tangga, semua 'calonmenantu ' menjalani ujian antaranya menjadi imam solat. Alhamdulillah, semuanya berjaya melepasi satu daripada ujian 'calon menantu'.
Usai solat maghrib, menantu-menantuku menyediakan makanan dan minuman .Memang tidak dinafikan menantu-menantu mahir memasak dan menyediakan minuman. Apa saja jenis makanan sama ada tradisional atau 'western food' bisa diatur. Keluarga kami tidak ada masalah bab memasak apabila setiap kali mengadakan 'family day' kerana ada ramai tukang masak!.
Selepas maghrib, aku masuk ke bilik untuk tidur kerana badanku sangat letih. Selepas isyak, aku terjaga dan menjadi orang terakhir makan malam . Nasi goreng kangkung menu utama malam itu, ayam.'bbq' dan sup cendawan serta teh dan kopi sebagai penutup acara makan-makan. Suasana semakin sejuk apabila hujan turun renyai-renyai. Masing-masing mengemas tempat makan dan masuk ke bilik untuk berehat.
Keesokan pagi, langit mendung. Masing-masing sudah bersiap-siap untuk bermandi-manda di sungai. Beberapa orang peniaga madu datang ke tempat kami untuk menjual madu yang dikatakan 'asli' sambil memujuk kami membelinya. Sebenarnya, lewat petang semalam peniaga madu yang sama sudah datang untuk menjual madu mereka. Aku bukan peminat madu. Aku berpesan kepada ahli keluarga yang lain supaya memastikan pintu bilik sentiasa dikunci memandangkan 'orang luar' bebas keluar masuk ke tapak 'chalet' yang berpagar keliling !.
Sarapan pagi hari terakhir, sup cendawan, nasi goreng,roti bakar, 'omelet ', lempeng sambal ikan bilis dan teh tarik serta kopi. Kami bersarapan di dalam sungai yang sejuk dan jernih airnya. Perasaan seronok bermandi-manda sambil bersarapan di dalam sungai sangat luar biasa. Perut sentiasa berkeroncong minta diisi. Lepas sekeping tambah lagi sekeping lempeng.
Waktu sudah menunjukkan jam 12.00 tengah hari. Masa untuk 'check -out' pada pukul 12.30 tengah hari. Segala sampah sarap dibuang ke dalam beberapa tong sampah yang disediakan oleh tuan punya 'chalet' . Barang-barang makanan yang belum dimasak disimpan untuk dibawa balik. Semua makanan dan minuman dihabiskan supaya tidak membazir. Kami merancang untuk ke Frazer Hill tetapi mengubah rancangan ke Lemang To'ki. Tidak semua mengikut sama ke sana kerana ada urusan masing-masing.
Anakku memandu ke Lemang To'ki dan ramai pelanggan di situ. Kebanyakan penunggang motosikal berkuasa tinggi singgah makan dan minum di situ. Usai memikmati lemang kami bergerak pulang ke Klang dengan keletihan. Aku tertidur sepanjang jalan hingga sampai di rumah sekitar jam 5.00 petang dengan selamat. Perbincangan untuk mengadakan 'Family Day ' pada tahun depan mungkin ke luar negara diserahkan kepada anak menantu . Kami yang veteran 'ON' saja. INSYALLAH.
0:00 / 0:04
All reactions:
Shahnon Mohamad, Hardati Abdul Hamid and 7 others

Comments

Popular posts from this blog