Episod : BENENG

Beneng masakan popular masyarakat Jawa. Ramuan memasak beneng sangat mudah . Sayur- sayuran seperti bayam, kubis, kacang panjang dan tempe sememangnya bahan-bahan yang sering digunakan untuk memasak beneng. Ditambah pula ikan kering ( gereh ), sambal belacan dan ulam-ulaman. Namun, ada yang menambahkan rasa dengan udang dan ikan bilis.
Hari ini aku memasak beneng. Aku menggunakan kacang panjang, tempe, lobak merah, dan kubis. Aku mempunyai pengalaman istimewa dengan masakan beneng. Seawal perkahwinan aku dengan gadis pilihanku masalah yang aku hadapi ialah makanan. Isteriku berketurunan Jawa dan sudah tentu beneng merupakan masakan wajib di rumah mentuaku. Sementelahan pula, aku dan isteri tinggal bersama-sama mentua. Isteriku bekerja di sebuah kilang elektronik di Batu 5, Meru.
Setiap hari, selepas pulang dari sekolah aku menaiki bas awam KSOC dari stesen bas Klang ke Kampung Meru. Di dalam fikiranku beneng menu utama masakan ibu mentuaku. Di pertengahan jalan , di pekan kecil Meru aku akan turun dari bas di tepi jalan lalu berjalan kaki ke Restoran Mamak yang terletak di seberang jalan. Di situ, aku menjamah nasi dengan kuah kari . Selera orang Kelantan tidak dapat dipisahkan dengan masakan gulai.
Sejak kecil ibuku sudah mengajar aku dan adik-beradikku makan lauk gulai daging dan ikan. Hampir setiap hari. Tiba-tiba, makanan harianku diganti dengan beneng. Apabila sampai di rumah mentua , aku akan menjamah sedikit nasi dan beneng yang dimasak oleh mentuaku sekadar mengambil hati.
" Azmi, makanlah .Emak dah masak lauk beneng," beritahu ibuku mentuaku. Aku tersenyum tawar.
Hal ini berlarutan hampir dua tahun apabila isteriku melahirkan puteri sulong kami. Selepas menjemput isteriku di kilang dengan menunggang sebuah motosikal pinjam daripada birasku , kami singgah makan di warung benteng, Pekan Meru. Rojak sotong yang menyelerakan menjadi pilihan aku dan isteri.
Hanya selepas isteriku melahirkan puteri kedua , kami berpindah ke rumah sewa yang bersebelahan rumah mentua aku. Aku berbincang dengan isteriku dan membuat keputusan bersama. Isteriku berhenti bekerja hanya aku sahaja mencari rezeki. Manakala, tanggungjawab isteriku mendidik dan mengasuh anak-anak. Pada masa yang sama, aku melakukan tiga pekerjaan pada satu masa dan pendapatan aku sangat mencukupi bagi menampung perbelanjaan kami berempat.
Di rumah, dapatlah aku menikmati pelbagai jenis masakan isteriku. Isteriku seorang yang pandai memasak dan menguruskan rumah tangga. Bayangkan berat tubuhku ketika itu sekitar 55 kilo namun tahun demi tahun bertambah-tambah sehinggalah hari ini berat tubuhku 97 kilo!

Comments

Popular posts from this blog