Episod : Tewas
Selepas bersarapan bersama-sama adik-beradik dan ipar duai di Shah Alam pada pagi Isnin .
" Jom kita pergi Banting. Cari kerepek ," kataku kepada isteri dan seperti biasa tiada apa-apa jawapan yang terpacul dari bibirnya. Stereng MYVI membawa aku dan isteri ke Banting melalui jalan yang agak lengang pada hari itu.
Tiada perbualan sepanjang jalan hanya sesekali aku mengomel sendirian. Butang radio kupulas mencari 'channel' Radio Klasik. Lagu-lagu 80-an dan 90-an menggamit memori yang sentiasa segar. Sesekali kuikut menyanyi lagu yang kuminati saat berkumandang di corong radio.
Sesampai di kedai menjual kerepek yang menjadi pilihan kami ' Ros Kerepek' yang terletak di Kampung Sungai Lang Tengah aku membeli kerepek ubi, kacang goreng dan maruku kegemaranku. Bunga-bunga bromeliad menghiasi laman kebanyakan rumah di situ. Usai membeli - belah kerepek kami singgah di rumah rakan sekolah kami.
Kami disambut mesra oleh rakan kami , Mas dan Idin. Bunga-bunga bromeliad berpuluh-puluh pasu menghiasi halaman rumah mereka. Beberapa bungkusan kerepek sebagai buah tangan daripada kami. Banyak yang dibualkan kerana sudah lama tidak berjumpa.
Usai berbual-bual, aku meminta diri untuk pulang . Dan seperti biasa , Mas memberikan buah tangan pokok-pokok di sekeliling rumahnya itu. Beberapa pokok bromeliad dimasukkan ke dalam but keretaku. Kini, aku sedang berjinak-jinak menanam pokok bromeliad di rumah.
Pada petang itu, kelas aku dibatalkan jadi ada masa sedikit ruang waktu untuk aku mengemas halaman rumah. Pokok-pokok bromeliad kupindahkan ke dalam pasu-pasu yang lebih besar. Kuajak isteriku melihat kerja-kerja menanam pokok-pokok bromeliad walaupun isteriku tidak menunjukkan minat. Sejak isteriku menghidap Alzheimer hobinya menanam pokok telah lenyap. Jadi, akulah yang mengambil alih hobinya.
Beberapa buah pasu besar kualihkan ke tempat yang tinggi agar lebih menyerlah.
" Cantik tak pokok ini?," tanyaku. Isteriku hanya diam. Aku melemparkan senyuman apabila dia memandangku dengan pandangan kosong. Dadaku berdebar-debar tatkala mengangkat sebuah pasu besar ke atas tong sampah separas pinggangku. Rasa pening seketika. Nafasku laju. Aku segera duduk semula di kerusi kecil yang aku gunakan ketika mengemas halaman rumah.
Malam itu aku sukar melelapkan mata . Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. Aku terjaga pukul 5.30 pagi apabila ' alarm' telefon bimbitku berdering. Badanku berasa lenguh-lenguh. Lidahku berasa kebas. Entah mengapa? .Usai solat Subuh, aku berbaring kerana berasa mengantuk lalu terlelap. Aku terjaga apabila terdengar suara orang sedang 'berbual-bual' di ruang tamu. Isteriku sedang 'berbual-bual' dengan pembantu rumah. Sebenarnya , hendak dikatakan perbualan pun bukan sebaliknya tanya sepatah jawab sepatah.
Pada pukul 2.00 petang aku sudah masuk kelas sehingga pukul 10.00 malam. 8 jam aku mengadap laptop. Aku 'skip' masa untuk solat atau ke tandas sahaja. Usai mengajar , kepalaku rasa pening lalat. Lidah masih kebas. Aku tidur lewat sekitar jam 2.30 pagi kerana kesukaran melelapkan mata. Setiap kali isteriku terjaga aku akan ikut terjaga. Begitulah keadaan isteriku setiap malam sejak setahun yang lalu.
Hari Rabu. Aku mengajak isteriku ke Lotu's kerana aku teringin memasak laksa Johor. Tauge, timun, limau kasturi, bawang merah , kubis dan cili api siap dibayar kami terus pulang ke rumah. Sekitar jam 11.00 pagi aku masuk ke dapur untuk memulakan misi memasak laksa Johor. Badanku berpeluh-peluh. Bukan berpeluh biasa. Peluh laju membasahi t-shirt yang kupakai. Kupasang kipas di dapur namun peluh semakin laju.
Usai masakan laksa Johor, aku menghidangkannya di atas meja makan. Kami makan bersama-sama. Namun, seleraku agak terbantut kerana lidahku berasa kebas. Perutku berasa sakit seperti hendak membuang air besar. Aku terus ke tandas .
Aku mendengar bunyi bising seakan bunyi kenderaan lalu lalang . Suara orang berbual-bual . Aku terbatuk-batuk dan tersedar. Aku sudah terbaring di lantai tandas. Fikiranku bingung seketika. Perlahan-lahan aku bangun dan membersihkan diri. Aku keluar dari tandas dan bertanya kepada isteriku sama ada dia sedar aku tidak keluar dari tandas. Tiada reaksi. Aku segera mencapai telefon bimbit dan menghantar 'whatsapp' kepada anak-anakku. Anak bongsuku segera pulang ke rumah.
" Kepala ayah berdarah," kata Eiman.
" Eh, ayah tak rasa apa-apa," jawabku sambil memegang kepala. Ya, ada kesan bengkak dan darah. Anakku membawa aku ke klinik berhampiran rumah.
" Ya, Encik Azmi," sapa doktor Raj.
" Saya pengsan di bilik air tadi," beritahuku.
" Encik Azmi kena pergi terus ke hospital. Kemungkinan Encik Azmi kena serangan jantung. Saya tidak akan buat apa-apa. Sekarang juga," tegas doktor Raj.
Eiman terus memandu kereta menghala ke Shah Alam.
" Pergi KPJ," kata Eiman.
" Ibu tak bawa sama?," tanyaku sambil menahan sakit bengkak di kepala.
" Nanti abang bawa ibu ke hospital."
Aku hanya terfikir andainya ajalku sudah tiba aku tidak sempat bertemu isteriku. Kupendamkan saja hasrat hatiku untuk menemui isteriku sebelum ke hospital.
Eiman memecut laju MYVI menuju hospital KPJ Shah Alam. Andainya aku ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang proses menunggu rawatan mengambil masa yang panjang. Setiba di KPJ aku mengarahkan anakku menurunkan aku di bangunan klinik pakar.
"'Ayah nak solat Zohor sebelum ke wad kecemasan ," kataku ringkas. Eiman memandu kereta ke tempat parkir. Sempat juga aku solat Zohor dan dua rakaat solat taubat.
" Sesungguhnya nyawaku di tangan-Mu, Ya Allah!"
Aku keluar dari surau dan berselisih dengan Eiman yang baru hendak mengambil wuduk.
" Ayah tunggu di lobi," kataku .
Aku duduk di sofa lobi. Beberapa orang staf KPJ sedang duduk berbual-bual usai solat Zohor. Jam menunjukkan pukul 2.30 petang. Aku berasa pening dan lidahku semakin kebas.
" Pakcik, ok ke?," tanya seorang staf berkemeja biru.
" Tadi saya pengsan di 'toilet'. Saya berasa tak sedap badan," ujarku.
" Eh, kepala Pakcik berdarah," beritahu staf tadi. Semua yang berada di situ segera menggunakan 'walkie talkie ' memaklumkan ada seorang yang hampir pengsan. Aku segera didudukkan di atas sebuah kerusi roda dan ' dikarikan' ke atas sebuah 'buggy' yang sudah menunggu di pintu masuk. Seorang staf menemani aku ke bahagian kecemasan di bangunan sebelah. Badanku sangat lemah . ' Walkie talkie ' berbalas-balas panggilan. ' Buggy' terus memecut laju .
Setiba di bahagian kecemasan, aku dibantu oleh tiga orang jururawat yang sudah ' stand by' di pintu masuk. Aku terus dibawa ke dalam dan dibaringkan di atas katil.
" Encik ada rasa apa-apa tak?," tanya seorang doktor lelaki.
" Kepala saya pening. Lidah kebas, " jawabku perlahan.
Bajuku dibuka dan dipasang wayar berselirat hingga hujung kaki. Satu 'injection' di lenganku dan darahku diambil dan masukkan ke dalam tiub.
"'Encik, relaks," kata doktor.
" Nama Encik. No IC Encik ," tanya seorang jururawat. Mereka sentiasa bertanya itu ini dalam keadaan aku terbaring . Barang kali mereka mahu memastikan aku dalam keadaan sedar.
" Bawa pesakit buat CT Scan. Brain scan selepas itu," kata seorang doktor pakar yang tiba . Aku mengenali doktor wanita itu kerana dialah yang merawat aku semasa aku diserang 'mild stroke' sebanyak dua kali pada tahun 2019. Tiba-tiba aku teringat katanya ," Jangan berlaku sekali lagi . Minggu lepas seorang pesakit tak dapat diselamatkan selepas kali kedua " . Ini kali ketiga aku mendapat serangan jantung. Selamatkah, aku ?
Usai CT Scan, aku dipindahkan ke wad biasa selepas 8 jam aku terbaring di katil bahagian kecemasan. Seorang jururawat memberi aku ' sandwich ' dan segelas air Milo panas selepas aku memberitahu perutku sudah berkeroncong. Semasa di wad , tanggungjawab menguruskan aku diambil alih pasukan jururawat Wad 3B. Sekali lagi, tekanan darah dan bacaan gula dicatat.
' 180/98. Gula 18," kata Farhana jururawat yang menjaga aku sepanjang malam aku di bilik 340. Sesekali rakan-rakannya yang lain turut memantau keadaan aku. Setiap beberapa jam bacaan tekanan darah dan gula aku dicatat. Sehinggalah aku tertidur kepenatan.
Keesokan pagi, aku dibawa menjalani beberapa pemeriksaan. EEG, ECG , Traidmill, ultrasound, Brain Scan dan memasang HOLTER pada badan aku untuk mengukur degupan jantungku selama 48 jam. Doktor yang pernah merawat aku semasa aku diserang sakit jantung kali pertama pada tahun 2023 datang menemui aku. Doktor yang masih mengenali aku tersenyum melihat aku dan kami saling bertanya khabar.
" Sepatutnya saya yang tanya khabar Encik Azmi, " kata doktor sebaik sahaja aku bertanya khabar dirinya. Kami saling tersenyum.
" Insyallah tak ada apa-apa," kata doktor.
Selama aku dirawat di situ, beberapa botol 'drip' silih berganti. Aku dipantau oleh dua orang doktor pakar. Seorang doktor pakar Neuro dan seorang doktor pakar jantung. Beberapa orang jururawat yang bertugas ada yang masih mengenali aku dan isteriku kerana sebelum ini isteriku juga dirawat di wad yang sama. Jadi mudahlah aku meninggalkan sementara isteriku di bilik ketika aku menjalani pemeriksaan di tingkat bawah kerana jururawat akan menolong memerhatikan isteriku.
Doktor pakar Neuro juga masih mengenali isteriku dan bertanya itu ini tentang perkembangan isteriku. Selama lima hari aku dirawat isteriku menemani aku di hospital. Sebenarnya, aku yang menjaganya bukan dia yang menjaga aku. Setiap malam , Eiman dan Mukriz bergilir- gilir bermalam di hospital. Sarapan, makan tengah hari dan malam aku akan berkongsi dengan isteriku. Sewaktu aku dibenarkan 'discharge' berat badanku susut 4 kilogram.
Hari Ahad. Aku meninggalkan hospital dengan seribu kenangan. Perasaan takut masih lagi berbekas di hati ini. Andainya, aku tewas pada hari itu !....
Comments
Post a Comment