Episod : Murid Kesayangan

Bercucuran air mataku kerana terlalu takut untuk memperkenalkan diri di hadapan rakan-rakan menggunakan bahasa Inggeris . Bukan aku sahaja malah rakan-rakan yang duduk di meja belakang pun ikut menangis sama. Bersambung-ssmbung. " It's ok . It's ok . Sit down," ujar Puan Lopez apabila melihat drama air mata di dalam kelas. Aku menoleh keluar tingkap dan ayahku hanya ketawa melihat gelagat aku dan rakan-rakan yang lain. Kedudukan bilik darjah 1E betul-betul bersebelahan tangga ke pejabat di Tingkat 2. Sesi perkenalan hari pertama terhenti setakat itu. Hari demi hari aku sudah dapat menyesuaikan diri dengan suasana persekolahan yang pada awalnya sangat asing bagiku. Rakan-rakanku di dalam kelas terdiri daripada berbilang bangsa. Kami sangat rapat antara satu dengan yang lain. Setiap kali hendak keluar bilik darjah kami akan disuruh beratur dan kedua-dua belah tangan di atas bahu rakan di depan dan diikuti rakan-rakan di belakang . Setiap kali hendak ke tandas, ke kantin, ke dewan mahupun ke padang disiplin berbaris sambil letak tangan di atas bahu sudah menjadi rutin harian kami. 

Semasa darjah satu , aku bukanlah dikategorikan sebagai murid pandai tetapi rajin. Puan Lopez kerap menyuruh aku mengumpul buku rakan-rakan dan menghantar buku-buku ke bilik guru. Tugasan itu kuanggap sebagai satu penghargaan oleh Puan Lopez. Jadi, aku dilihat sebagai murid kesayangan cikgu oleh rakan-rakan. Semuanya adalah hasil didikan ibu bapaku di rumah kerana sebagai anak sulung lelaki daripada  lima orang adik-beradik akulah harapan mereka. Kakak sulungku seorang OKU jadi tidak banyak yang dapat dilakukannya untuk membantu ibu bapa. 

Kebanyakan guru darjah satu akan mengajar beberapa mata pelajaran. Jadi, bilangan guru yang mengajar aku dua tiga orang sahaja. Semasa rehat, ibu bapa akan menunggu anak-anak di kantin kerana murid-murid darjah satu belum pandai menggunakan wang . Ibu bapalah yang beratur membeli makanan dan minuman . Makanan paling aku suka mi rebus . Semangkuk sebesar kepala budak dua tahun hanya 20 sen .( kalau tak silap ) dan air sirap 5 sen ( pun kalau tak silap ) . Tetapi ramai juga yang meneguk air paip di tepi kantin. 

Ada beberapa buah kedai yang berniaga di kantin. Kedai pertama nyonya dan apek menjual air dan buah-buahan . Kedai kedua menjual mi rebus . Kedai ketiga menjual makanan juga. Kadang-kadang semasa rehat , anak makcik kantin datang menolong ibunya melayan murid-murid. Suasana menjadi riuh-rendah. Ada yang berkejar-kejaran di kantin.  Anak makcik itu sangat kacak dan bergaya orangnya seperti pelakon filem. Dia datang menaiki kereta 'sport' berwarna merah tidak berbumbung macam filem 'Madu Tiga' . Orangnya  murah dengan senyuman , berkulit cerah dan rambut berketak-ketak . Selepas beberapa tahun usiaku semakin meningkat barulah kutahu anak makcik itu seorang pelakon filem Melayu terkenal zaman A- go-go , Tony Kasim ( Allahyarham Al Fatehah dibaca untuk arwah) ...

Comments

Popular posts from this blog