Episod : Mula Bersekolah

Aku memulakan alam persekolahan Darjah Satu pada tahun 1974 di Methodist Boys School ( SK Methodist ) , Pelabuhan Klang. Hari pertama persekolahan sangat mendebarkan. Apatah lagi, aku tidak pernah belajar di tadika kerana keluargaku bukan keluarga berwang.

Aku duduk di atas palang basikal yang dikayuh ayahku ke sekolah. Wajah ayahku penuh rasa bangga dan tersenyum sepanjang perjalanan ke sekolah  kerana anak lelaki sulungnya sudah masuk sekolah . Walaupun bapaku tidak pernah bersekolah. namun ayahku sangat mementingkan aspek pendidikan anak-anak.

Aku dan rakan-rakan yang tidak kukenali berhimpun di hadapan bangunan sekolah . Seorang lelaki berbadan besar dan bercermin mata berdiri di hadapan tapak perhimpunan. Setiap hari Isnin , hari perhimpunan diadakan di hadapan blok utama sekolah. Manakala, guru-guru duduk di atas kerusi. Guru-guru yang berbilang kaum.

JS Wellington nama guru besar. ( ingat-ingat lupa ).Wajahnya agak garang dan serius. Semasa aku menonton filem " Coming To America " lakonan Eddie Murphy aku terbayang wajah guru besar mirip wajah bapa Eddie Murphy di dalam filem itu. Ucapan disampaikan dalam Bahasa Inggeris . Jadi, meloponglah aku mendengar ucapan guru besar pada hari pertama perhimpunan.

Usai perhimpunan, aku dan rakan-rakan yang berdiri sebaris mengekori seorang guru perempuan India berkulit cerah . Aku ditempatkan di dalam kelas 1E , kelas paling corot. Mungkin kerana aku tidak mempunyai asas membaca dan menulis. Nama guru kelas aku, Puan Lopez ( mendiang ). Orangnya lemah lembut, berbadan gempal dan bercakap dalam bahasa Inggeris. Setiap hari Puan Lopez memakai sari. Perasaan berderau apabila setiap murid dikehendaki berdiri dan memperkenalkan diri dalam bahasa Inggeris. Aku sepatah haram tak tahu berbahasa Inggeris walaupun setiap minggu menonton drama "Combat" , " Giant Robot" , Chips' dan banyak filem Inggeris di TV1 atau TV2. Lutut terketar-ketar. Macam-macam rasa ketika itu. Rasa nak terkencing . Rasa nak terbuang air besar . Lidah menjadi kelu. Satu persatu rakan-rakan di dalam kelas berdiri memperkenalkan diri. Ibu bapa murid mengintai di celah tingkap narko termasuk ayahku yang tersenyum-senyum melihat aku . 

" Ok. You , sit down," kata Puan Lopez kepada rakan di sebelahku yang sudah memperkenalkan dirinya. 

" You," jari telunjuk Puan Lopez menunjuk ke arah aku. Habislah. Tiba-tiba rasa nak menangis....


Comments

Popular posts from this blog