Episod : Bahagia Itu Mahal

Seawal jam 6.45 pagi, aku dan isteri sudah bersiap-siap. Isteri kumandikan, kupakaikan baju dan tudung . Sementara menunggu anak lelakiku, Ammar Mukriz siap aku membelek-belek beg yang mengandungi dokumen perubatan isteriku. Segala surat , CD dan laporan perubatan sudah lengkap agar tidak tercicir.
Perjalanan ke Hospital Selayang pada awal pagi tersangkut-sangkut kerana kenderaan bertali arus. Akhirnya , kami sampai di perkarangan hospital pada pukul 8.50 pagi. Aku memimpin isteri ke Aras 2 bahagian Pengimejan ( X-ray) untuk mengambil CD yang sudah kuserahkan semalam kepada kaki tangan kaunter. Semalam, aku telah hadir ke Hospital Selayang untuk membuat 'appoinment ' . Kami dihantar oleh adikku ,Azizi dan iparku ,Suzie. Rezeki isteriku, kami telah mendapat tarikh 'appoinment ' hari ini .
Usai urusan di Aras 2 aku memimpin isteri ke Aras 4. Pendaftaran di kaunter B aku diberikan nombor giliran dan menunggu hampir sejam sebelum nombor dipanggil. Sewaktu di kaunter bayaran, kerani bertugas memberikan penerangan tentang sistem bayaran bagi pesakit rujukan dari hospital swasta. Aku membayar RM30 bagi urusan pendaftaran. Selepas itu, aku memimpin isteri ke Unit Pengurusan Kesakitan.
Di situ, aku dan isteri menunggu giliran untuk berjumpa doktor pakar . Sementara menunggu dapatlah aku melelapkan mata sebentar. Sejak belakangan ini, isteriku sering terjaga beberapa kali di tengah malam . Berjalan-jalan di ruang tamu pada awal pagi buta. Begitulah keadaannya dan aku sentiasa berjaga-jaga tidur -tidur ayam. Hampir sejam kemudian, nama isteriku dipanggil ke bilik doktor.
Kami disambut oleh Doktor Suryati. Orangnya peramah , sentiasa tersenyum, wajahnya manis walaupun sedikit berumur dan seorang pendengar yang baik. Perbualan kami berkisar tentang masalah kesihatan isteriku. Bermula daripada masalah neuro , saluran hempedu tersumbat dan bernanah. Namun , fokus utama perbincangan kami ialah kanser pankreas yang dikesan sejak dua minggu yang lalu ketika mendapatkan rawatan di Hospital KPJ, Shah Alam.
Wajah kegusaran aku dapat diterka oleh doktor apabila air mataku mulai bergenang .
" Prosedur rawatan Puan Ida berisiko tinggi sama ada rawatan cimo therapy ataupun pembedahan. Pembedahan besar akan membawa kesan yang sangat serius tambahan lagi Puan Ida mempunyai Damethia," terang doktor dengan tenang dan senyuman tidak lekang dari ulas bibirnya. Aku termenung seketika.
" Encik Azmi pun sudah tahu keadaan Damethia isteri Encik Azmi," sambung doktor lagi.
" Ya, saya faham." Kulihat wajah isteri yang memandang kosong tanpa reaksi. Rasa simpati terhadapnya amat tinggi dan memilukan hati. Suasana menjadi hening seketika. Doktor melihat CD di skrin komputer .
" Rancangan Encik Azmi untuk memasang stend pada saluran hempedu bagi menggantikan stend yang dipasang sebelum ini boleh diteruskan," ujar doktor.
Aku menarik nafas dalam-dalam. Doktor bertanya kepada isteri dengan wajah keibuannya.
" Puan Ida dah makan ?"
Isteriku hanya mendiamkan diri .
" Puan Ida sarapan apa pagi ini?"
Isteriku diam seribu bahasa.
" Puan Ida ada berapa anak ?" Wajah isteriku sedikit ceria apabila mendengar doktor bertanya tentang anak-anak.
" Dua orang ," jawab isteriku. Aku dan doktor hanya tersenyum . Jawapan isteriku semuanya salah.
" Berapa perempuan ? Berapa lelaki ?."
" Dua perempuan ." Walaupun mulut isteriku berkata-kata perlahan namun wajahnya tiada reaksi.
" Puan Ida tahu tak mengapa Puan Ida datang ke hospital ? Tahu tak kenapa nak jumpa doktor ? ," tanya doktor lagi.
Isteriku hanya mendiamkan diri.
" Puan Ida sakit sebab tu datang jumpa doktor ," beritahu Doktor Suryati. Air mataku gugur satu- persatu perlahan menuruni celah pipi. Suasana hening. Doktor membiarkan aku melayan perasaan.
" Beginilah Encik Azmi. Encik Azmi berbincang dengan anak-anak dulu di rumah. Rawatan kami boleh berikan tetapi Puan Ida akan mengalami kesakitan dan tidak dapat memberitahu kesakitan ditanggungnya."
" Perkara ini sudah diberitahu doktor semasa di KPJ tempoh hari," balasku.
" Kita mahu isteri Encik Azmi tidak lagi menanggung sakit. Sekarang Puan Ida masih boleh berjalan dan membuat aktiviti ringan," ujar doktor.
" Saya sudah merancang untuk pasang stend selepas Hari Raya nanti," ujarku.
" Saya akan tulis memo kepada Doktor Lim di KPJ," jelas doktor sambil tersenyum.
" Sekiranya untuk rawatan kanser seperti saya beritahu tadi. Kalau Encik Azmi nak pasang stend di hospital ini boleh saja ," ujar Doktor Suryati.
" Jagalah isteri . Bahagiakan dia . Inilah masanya." Aku mengucapkan terima kasih kepada doktor dan kusuruh isteriku bersalam- salaman dengan doktor.

Comments

Popular posts from this blog