Episod : Siapa Farok ?
Waktu aku dan isteri sedang dalam perjalanan menuju ke Losong, Kuala Terengganu , tiba-tiba telefon pintarku berdering. Nombor telefon yang tertera pada skrin tidak kukenali tetapi sebagai peniaga aku perlu menjawab panggilan tersebut kerana mungkin bakal pelangganku yang menelefon.
" Hello. Boleh saya bercakap dengan Che Azmi Bin Che Wil?"
" Ya, saya bercakap. Apa yang boleh saya bantu?"
" Begini, Tuan. Saya Farok dari syarikat guaman. Saya hendak menyerahkan surat saman sivil."
" Saman sivil? Pasal apa?"
" Berkaitan loan Tuan dengan bank"
" Bank mana?," tanyaku semula.
" Ermm.."
" Affin Bank. Bank Islam . CIMB . Maybank ?"
" Affin Bank, Tuan ."
" Kenapa dengan Affin ?," tanyaku lagi.
Keretaku sudah sampai di hadapan kedai menjual keropok lekor. Aku tidak turun terus dari kereta tetapi cuba mengenal pasti panggilan 'misteri' itu.
" Begini, Tuan. Tuan dikehendaki menelefon lawyer syarikat untuk mendapatkan kepastian. Ini nomboir lawyer. 012-xxx xxxx ... Tuan sudah menyalin nombor saya beri tadi?".
" Ya, sudah, " kataku sebenarnya aku tidak menyalin pun nombor yang diberikan oleh Farok.
Panggilan ditamatkan. Selang lima minit, panggilan masuk daripada nombor yang sama .
" Tuan dah telefon nombor telefon lawyer saya berikan tadi?"
" Belum. Saya sibuk . Nanti saya call lawyer awak !."
" Tuan kena call lawyer sekarang juga, " Panggilan ditamatkan.
" Eh, budak ni," bisik hati kecilku.
Selang lima minit kemudian, panggilan nombor yang sama berdering.
" Tuan sudah call belum.?," nada suaranya meninggi.
" Belum. Saya sibuk. Nanti saya balik Klang. Saya akan ke Affin," jawabku dengan suara tegas.
" Tuan kena telefon lawyer sekarang juga ," nada suara Farok seperti mendesak.
" Kan aku dah cakap tadi. Nanti aku balik Klang aku pergilah Affin. Apa yang kau kalut sangat ni. Kenapa ?," aku menjerit kerana hilang sabar apabila didesak berkali-kali oleh Farok.
" Tuan kena call lawyer sekarang . Kalau tidak Tuan akan didakwa di mahkamah," kata Farok dengan suara meninggi.
" Pergi mam...( tut tut tut tut ) la dengan lawyer kau!," jerkahku dengan suara tinggi. Panggilan ditamatkan.
Selepas itu, tiada lagi panggilan daripada Farok. Keesokannya, sekembali aku ke Klang, Aku telah pergi berjumpa dengan pengurus Affin Bank untuk bertanyakan hal berkaitan surat saman sivil yang dikatakan oleh Farok. Aku dilayan dengan baik oleh pengurus bank.
" Saya sudah semak dalam sistem. Tiada apa-apa surat daripada pihak bank kepada Encik Azmi." kata pengurus bank.
" Saya rasa budak yang call saya semalam tu 'scammer'. Dia nak gertak saya tapi saya gertak dia semula," kataku sambil tersenyum.
"Encik Azmi punya akaun cantik. Tiada bayaran tertunggak," sambung pengurus bank.
" Saya tahu. Memang tiada bayaran tertunggak tapi kenapa tiba-tiba pulak budak tu kata nak serah surat saman sivil Affin. Kurang ajar dia," kataku dengan suara tegas. Pertemuan aku dengan pengurus Affin selesai di situ dan selepas bersalam-salaman aku meninggalkan perkarangan bank.
" Kau ingat senang nak 'scam' aku. Kau bawalah siapa pun aku boleh hadap ," pekik hati kecilku. Andainya, aku menelefon lawyer si Farok itu barangkali lawyer itu pun aku sumpah seranah sekali...
Comments
Post a Comment