Episod: REBAH
Empat hari bercuti di Terengganu disambung percutian ke Sandakan, Sabah selepas dua hari pulang ke rumah. Keletihan masih terasa. Aku dan isteri menaiki bas dari AEON Bukit Tinggi pada pukul 7.30 pagi menuju ke KLIA. Perjalanan bas melalui Lebuh raya WCE merentasi Olak Lempit.
Kami sampai di KLIA sekitar pukul 8.45 pagi . Setelah bagasi dikeluarkan dari perut bas, kami bergegas ke kaunter 'check in ' . Barisan agak panjang dan lama. Tiba-tiba, terdengar hentakan amat kuat di belakang aku. Rupa-rupanya, isteriku telah rebah dan pengsan. Situasi menjadi kelam-kabut dan beberapa penumpang yang sedang beratur turut membantu. Isteri tersedar daripada pengsan lalu didudukkan di atas kerusi roda. Beberapa orang 'team rescue' KLIA memberikan bantuan kecemasan awal.
" Tuan perlu mendapatkan surat kebenaran doktor untuk mendapatkan keizinan terbang daripada pengurus penerbangan," kata seorang petugas yang berpakaian suit berwarna oren.
" Tapi , boarding gate sudah memanggil penumpang . Saya rasa tak sempat," jawabku.
" Kalau begitu, saya cuba minta pengurus melewatkan pelepasan kapal terbang," ujarnya lagi. Setelah memikirkan risiko yang mungkin terjadi semasa penerbangan selama dua jam setengah, aku terpaksa membuat keputusan.
" Beginilah, Encik. Saya mahu membatalkan penerbangan kami."
" Baikkah kalau begitu. Saya akan menghubungi pengurus untuk menurunkan bagasi Tuan dari kargo. Tuan boleh menunggu sebentar sehingga kapal terbang berlepas Tuan boleh menuntut bagasi nanti. Berkenaan 'refund' tiket Tuan boleh ke Kaunter C . Tuan boleh buat pertanyaan di situ ," kata petugas itu.
Aku membawa isteriku yang masih di atas kerusi roda mencari-cari tempat yang sesuai untuk berehat. Sebungkus roti dan sebotol minirel menjadi sarapan kami. Aku dihubungi anak-anakku untuk menguruskan kami yang tersadai di KLIA.
Selepas sejam, bagasi kami telah diturunkan dan pelepasan kapal terbang ke Sandakan, dilewatkan sejam. Aku dan isteri dijemput menantu pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari KLIA. Kemudian, kami bergegas ke hospital KPJ Shah Alam. Selepas sejam , kami sampai di Jabatan Kecemasan dan isteriku dimasukkan ke wad untuk rawatan segera.
" Kami akan melakukan CT Scan dan ultrasound ke atas isteri Tuan. Tuan boleh menunggu di sini," terang doktor "on call". Usai menjalani pemeriksaan, doktor memberitahu kondisi isteriku.
" Wife Tuan tiada kecederaan kepala. Tiada pendarahan atau keretakan tetapi ujian ultrasound mendapati wife Tuan mempunyai masalah," ujar doktor
" Wife Tuan perlu dimasukkan ke wad," sambung doktor.
Isteriku dimasukkan ke wad 3C dan Doktor Lim seorang doktor pakar telah memberikan 'breafing' ringkas tentang keadaan isteriku.
" Isteri Azmi mengalami 'jaundice' yang serius kerana saluran ke hempedu tersumbat. Jadi, doktor akan melakukan pembedahan untuk memasang 'stand' bagi mengeluarkan nanah di bahagian tersebut. Minta Azmi bersabar, ya," ujar Doktor Lim yang membahasakan dirinya ' doktor' .
Oleh sebab cuti umum 1 dan 2 Februari , pembedahan terpaksa ditangguhkan pada hari Selasa. Masa bergerak terlalu perlahan. Isteriku hanya terbaring lemah di katil dan dipantau rapi oleh Doktor Lim dan jururawat bertugas. Proses rawatan diselang seli dengan ubat-ubatan. Pengawasan menjadi rumit kerana isteri menghidap penyakit Damethia.
Hari yang dinanti pun tiba, isteriku dibawa ke bilik pembedahan ( OT) untuk memasukkan 'stand' . Selepas dua jam , akhirnya isteriku dibawa ke wad semula untuk berehat. Sepanjang hari isteriku tidur dan aku yang menjaga isteri sejak hari pertama juga berasa sangat letih.
Hari demi hari berlalu, aku tetap mengajar seperti biasa dan giliran menjaga isteri kuserahkan kepada anak-anak. Tugas harian aku, memandikan isteri dan memakaikan pakaian hospital. Makanan terpaksa disuap kerana keadaannya sangat lemah . Hari demi hari berlalu . Doktor Lim melakukan pemeriksaan setiap hari dan berpuas hati keadaan isteriku kini semakin pulih.
Hari ini 7 Feb 2026, Doktor Lim memeriksa isteriku dan membenarkan isteriku pulang ke rumah. Alhamdulillah perasaan aku lega kerana sudah lapan hari aku berkampung di hospital ini. Selepas pulang ke rumah nanti , cabaran yang menanti aku menjaga isteri yang menghidap Damethia memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dan kekuatan mental serta fizikal. Hanya kepada-Mu, ya Allah aku berserah. Amin
Comments
Post a Comment