Episod: Esok Puasa

Sekembali dari masjid bersolat tarawih hari pertama tadi.
" Esok puasa ," kataku kepada isteri. Dia yang duduk di sofa hanya memandang kosong kepadaku.
" Dulu kalau bulan puasa awak la yang sibuk masak untuk sahur dan berbuka ," kataku lagi . Sejak berkahwin saya membahasakan diri ' saya' dan memanggil isteri 'awak' manakala isteri memanggil saya ' abang' . Tiada panggilan 'sayang ' atau ' B' yang tular menjadi 'trend' sekarang .
" Kalau dulu sahur awak suka masak nasi dan lauk. Lepas tu awak kejut saya dan anak-anak makan sahur ," sambungku lagi. Isteriku menonton televisyen tanpa mempedulikan kata-kataku.
" Berbuka pulak awak suka masak makanan kegemaran saya . Mi hoon goreng . Kalau awak rajin awak masak laksam , laksa Johor . Kiranya Mi hoon goreng tu masakan paling 'simple' awak. Awakkan pandai masak, " kataku memujinya. Isteriku tidak menoleh pun. Senyum pun tidak .
" Tapi puasa kali ini mungkin berbeza . Awak pun tak larat berpuasa . Awak tak sihat. Kata doktor awak tak payah berpuasa ," ujarku . Isteriku melihat aku seketika dan menyambung menonton televisyen. Sesekali dia menyelak langsir di tepi sofa .
" Awak tengok siapa?," tanyaku. Dia menarik langsir tertutup. Dia tak menjawab pertanyaanku.
" Esok sahur saya tak kejutkan awak bangun ya. Saya boleh masak sendiri ," kataku.
" Saya dah beli bahan-bahan untuk memasak. Nanti pagi saya suapkan awak makan ya," kataku. Sejak belakangan ini aku menyuapnya makan kalau dibiarkan nasi di tangan tak sampai ke mulutnya. Kalau menggunakan sudu pun dibiarkan sudu itu di tangan. Tidak bergerak.
Hari itu semasa di majlis walimahtulurus seorang rakan, aku dudukkan dia di meja paling belakang . Kemudian , aku mencedok nasi dan lauk-pauk yang terhidang di atas meja . Suapan demi suapan itu pun kadang-kadang dia tidak mahu membuka mulutnya. Ada mata-mata yang duduk berhampiran meja kami asyik memandang kami. Mula-mula dulu rasa segan macam 'mengada-ngada' makan hendak bersuap. Tetapi lama-kelamaan , aku berasa seronok dapat menyuap isteriku makan. Lantaklah , orang lain. Kalau mereka hendak bertanya aku akan menjawab sebab aku menyuapnya makan .
" Esok nak berbuka apa agaknya. Kalau budak-budak balik berbuka sama saya tak payah masak ," kataku. Dia hanya fokus kepada kaca televisyen sambil berkerut dahi.
" Saya goreng mi hoon je la esok," sambungku.
" Awak masuk tidurlah dulu. Saya dah pasangkan 'aircond' bilik ," kataku mengajaknya masuk ke bilik.
"'Awak tidur ya. Baca fatehah. Baca doa tidur dulu ," ajarku seperti mengajar cucu-cucuku yang kadang-kadang bermalam di rumahku.
" Ikut saya baca ya," kataku. Mulutnya terkumat-kamit tak taulah apa yang dibacanya.
" Tidur tau."
Dia mengangguk-angguk. Kuselimutkan dia dan dia seperti biasa mengerengkan badannya menghadap dinding. Lampu bilik kupadamkan.
" Panjang umur esok kita jumpa lagi," bisik hati kecilku lalu air mataku laju mencurah-curah.
Entahlah , sejak akhir-akhir ini aku sering menangis sendirian.

Comments

Popular posts from this blog