Episod : Selamat Hari Lahir Isteriku
Hari ini genap 58 tahun usia isteriku. Semalam dia kubawa berjumpa dengan ibunya di kampung. Rumah tempat dia dilahirkan dan dibesarkan. Sejak pagi semalam , dia bersungguh-sungguh mengajak aku berjumpa ibunya. Entah mengapa tiba-tiba dia mendesak aku membawanya pulang ke kampung. Hatiku berasa sebak kala dia menyebut nama ibunya.
Sepanjang perjalanan pulang ke kampung semalam aku meredah hujan yang sangat lebat. Setiba di kampung hujan telah berhenti. Aku melalui tapak pasar malam Jalan Iskandar yang kali terakhir aku ke pasar malam ini 6 tahun lalu. Aku mengajaknya singgah membeli buah tangan untuk ibunya.
Aku membeli putu bambu, mi hoon sup , apam balik dan soto. Selesai membeli aku bersegera ke rumah mentuaku kerana waktu Maghrib hampir tiba. Setiba di rumah , ibunya sedang duduk bersendirian di luar rumah seperti menunggu seseorang . Isteriku segera keluar dari kereta dan kulihat dua beranak itu berpelukan umpama menyimpan rindu yang teramat.
" Emak harap kau pulang . Hari ni kau bawa Alos ( nama panggilan isteriku ) pulang."
" Maaf, mak. Saya sibuk kerja. Pagi tadi Alos mengajak saya balik ."
Ibu mentuaku tersenyum sambil kami bersalam dan aku mencium tangannya.
Aku menghidangkan makanan yang aku beli di pasar malam di atas meja. Kami makan bersama-sama dan saling berkongsi makanan.
Usai mengimami solat Maghrib kami bertiga duduk bersembang sambil bertanya khabar. Ibu mentuaku banyak bertanya tentang keadaan kesihatan isteriku manakala isteriku hanya asyik mendengar tanpa mencelah. Begitulah keadaan dia sejak memorinya terganggu. Dia lebih banyak tersenyum daripada bercakap walaupun dalam keadaan riuh-rendah.
" Sekarang Alos sedang menunggu giliran untuk menjalani rawatan MRI di Hospital Klang."
" Doktor kata bila?" , tanya ibu mentuaku dengan wajah berkerut.
" Entahlah mak . Katanya tunggu ada katil kosong. Saya cadang nak bawa Alos ke hospital swasta saja lagi cepat."
" Iya. Kalau macam tu lebih cepat. Kesian dia jadi macam ni. Emak ingat emak dah tua Alos menjaga emak . Tapi Alos pulak yang sakit ," kata ibu mentuaku sambil memeluk bahu isteriku. Aku hanya mendiamkan diri. Tiada kata-kata yang dapat kuluahkan.
Sejak habis sekolah , dialah yang tinggal bersama-sama ibu bapanya . Dia melakukan kerja-kerja kampung mengambil upah menoreh getah di kebun di sebelah rumahnya. Memetik pucuk paku pakis untuk dimasak. Selepas menoreh , dia membantu ibunya membuat kuih - muih untuk dijual. Semua ini dilakukannya untuk membiayai perbelanjaan abang, kakak dan adik-adiknya yang sedang belajar di sekolah berasrama dan universiti . Memang dia tak belajar tinggi setakat STPM. Jadi, dialah harapan ibu bapanya untuk membantu .
Itulah salah satu sebab mengapa ibu bapanya sayang kepadanya. Ibunya telah mempersiapkan dirinya dengan pakej lengkap memasak, menjahit, mengemas rumah dan berdikari. Kiranya aku sangat bertuah mengahwininya apakan tidak sewaktu menikah berat aku hanya 50 kilogram selepas berkahwin naik sampai 90 kilogram. Dia pandai memasak semua jenis makanan. Kami sering mengajak kawan-kawan datang ke rumah untuk menikmati masakannya sehinggakan ada jiran yang mengatakan sangat rindu akan masakannya sejak dia jatuh sakit.
Sebelum aku mendirikan rumah tangga , ibu bapanya sangat berhati-hati memilih suami untuk anak kesayangan mereka ini. Walaupun ada beberapa orang jejaka di kampung yang menyimpan hasrat untuk melamarnya tetapi jodoh adalah ketentuan Allah jua. Akhirnya, kami menikah pada tahun 1989 pada usianya 21 tahun. Akhirnya, hatinya kumiliki.
Selama melayari bahtera kehidupan , dia banyak berkorban untuk aku dan anak-anak. Dialah ibu di rumah, 'driver' anak- anak dan anak-anak jiran ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Dia jugalah yang mengasuh anak-anak jiran seramai 8 orang dengan upah ala kadar. Dialah juga yang banyak menahan rasa apabila hadir 'seseorang' yang menaruh hati kepadaku namun dia tetap bersabar atas ujian besar yang datang. Cukuplah sekali kumenyakiti hatimu. Allah memelihara jodoh kami. Bahtera perkahwinan kami terus belayar menempuh badai yang bergelora.
Hari ini dan hari-hari yang mendatang aku akan terus menjaganya apatah lagi dalam keadaan sebegini. Inilah masanya untuk aku membalas atas segala pengorbanannya selama ini . Terima kasih isteriku. Seawal Subuh tadi kuucapkan "Selamat Hari Lahir" kepadanya namun tiada apa-apa reaksi yang ditunjukkannya. Tak mengapalah asalkan dia sihat tubuh badan. Amin ya rabbal alamin
.
P/s 'punchline' sewaktu bercinta : " Sayang Selalu "..
Comments
Post a Comment