Episod : Pengawas Sekolah.

Gambar ini dirakam pada tahun 1984 di Sekolah Dato Hamzah ( SDH ) Pelabuhan Klang. Aku dipilih sebagai pengawas percubaan semasa aku di Tingkatan 2 dan kemudian aku ditauliahkan sebagai Pengawas Sekolah pada tahun 1981 dalam satu majkis khas di dewan sekolah . Penyampaian watikah pelantikan disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Klang ketika itu. Pada zaman itulah menjadi seorang pengawas sekolah sangat mencabar dari segi mental kerana SDH merupakan sekolah untuk pelajar lelaki sahaja.
Bayangkan setiap hari terjadi pergaduhan antara pelajar tidak kira tempat dan masa. Di kantin, gelanggang bola keranjang, padang, tandas , belakang bangunan dan koridor bilik darjah menjadi medan pergaduhan tambahan pula wujud kumpulan 'kongsi gelap' di sekolah. Pernah terjadi pergaduhan besar melibatkan pelajar Melayu dengan pelajar Cina sehingga menyebabkan campur tangan pihak polis.
Pergaduhan selama beberapa hari itu amat membimbangkan kerana melibatkan kumpulan dari luar sekolah. Masing-masing membawa senjata berbahaya seperti rantai basikal , kayu 'besbol' dan batang besi untuk digunakan dalam pergaduhan. Namun kehadiran beberapa buah trak ' Black Maria' di kawasan sekolah menyebabkan kemuncak pergaduhan itu dapat dielakkan . Andainya pergaduhan tersebut tidak disekat ada kemungkinan berlaku kematian !
Aku dan rakan-rakan pengawas diiringi oleh pihak polis trafik meninggalkan kawasan sekolah demi keselamatan kami kerana terdapat khabar angin pengawas sekolah akan diserang di luar pagar sekolah. Akhirnya, ketegangan yang timbul berjaya dikendurkan dengan kerjasama pihak polis dan pihak sekolah .
Walaupun begitu, semangat aku sebagai seorang pengawas tidak pernah luntur malah aku berbangga dapat berbakti kepada sekolahku. Kami umpama anak emas guru-guru . Harapan pihak sekolah kepada pengawas amat tinggi demi menjaga imej dan ketenteraman sekolah
Kebanyakan pengawas yang dipilih daripada pelajar aliran Sains termasuk aku . Di dalam kelas aku sahaja seramai 20 orang pengawas dan 5 orang pelajar biasa . Semua pengawas berkemeja lengan panjang berwarna biru cair , seluar panjang putih dan kasut hitam. Kami sentiasa berpakaian kemas sepertimana kehendak guru pengawas kami Mr.Siva dan Mr. Jaya . Manakala , Madam Julie Mark bertindak sebagai guru yang menjaga penampilan imej kami. Beliau akan memastikan kami memakai tali leher dengan kemas dan blazer dijaga sebaik-baiknya.
Itulah sedikit perkongsian pengalaman aku sebagai pengawas sekolah dan jawatan terakhir aku ialah Ketua Pengawas semasa di Tingkatan 6 . Segala pengalaman ini mengajar aku erti disiplin, keyakinan, berdikari, merancang dan kesungguhan dalam mencapai matlamat. Pengalaman berharga itu juga aku praktikkan dalam kehidupan harianku sehingga kini. Semoga guru-guru kita dikurniakan kesihatan yang baik.

Comments

Popular posts from this blog