Episod ; Akukah Yang Bersalah
Gambar ini dirakam pada tahun 1986 bermakna sudah 40 tahun memori ini berlalu. Gambar ini menyimpan seribu tanda tanya . Tanda tanya yang tidak pernah terjawab dan tidak mungkin berjawab. Dia yang duduk di sebelahku akhirnya menjadi isteriku sekarang setelah hampir tiga tahun kami berkawan. Kami hanyalah kawan biasa dan tiada menyimpan apa-apa perasaan waima menyebut "CINTA" pun tak pernah.
Namun gambar inilah yang kurasakan menjadi punca segala-galanya. Barangkali dia yang sudah kuletakkan di suatu tempat paling istimewa di hati berasa cemburu. Mungkin . Masih segar terngiang-ngiang lagu 'Suatu Waktu Dahulu " nyanyian Dwen lagu istimewa kami berdua. Dulu aku selalu menyanyi-nyanyi lagu ini sewaktu bersendirian dan mencari ilham. Sehingga hari ini aku masih mendengar dan menghayati bait-bait liriknya yang mempunyai persamaan dengan kisahku.
Semuanya tidak menjadi kenyataan. Dia telah pergi tanpa pesan . Tanpa tanda. Hilang begitu sahaja. Meskipun aku sentiasa mengirim berita buatnya namun tidak pernah berbalas bagaikan lagu ' Suatu Masa " nyanyian M Nasir. Kata-kata indah yang kususun untuk bertanya khabar namun segalanya hampa. Aku dibiarkan menanti dan terus menanti.
Hari-hari yang kulalui terasa kosong. Aku masih menaruh harapan terhadapnya sekurang-kurangnya dia akan membalas warkah-warkahku. Lama-kelamaan, aku berasa penantian ini hanyalah sia-sia. Meskipun aku mendapat khabar tentangnya melalui teman-teman tetapi dia tetap menjauhkan diri daripadaku apatah lagi menyahut kata-kata hatiku.
Jadi . kekosongan yang kutanggung kuisi dengan berkarya.Menulis dan menulis . Sekerap mungkin aku akan menyendiri untuk menghasilkan karya-karya yang memberikan aku suatu kepuasan. Masa juga terus berlalu . Keresahan yang semakin memberat di dalam hatiku akhirnya ternokhtah apabila hadir seorang gadis di dalam gambar selepas 2 tahun dia menyepikan diri. Masing-masing sibuk mengejar kehidupan . Manakala, dia yang kunanti tidak kunjung tiba , umpama lagu "Merisik Khabar" nyanyian Sudirman.
Bagaikan lagu ' Suatu Penantian" nyanyian Dwen aku menghayatinya saban hari . Aku harus memilih jalanku sendiri . Dalam kehangatan cinta baharu entah mengapa tiba-tiba dia yang selama ini menghilangkan diri muncul semula di hadapanku. Pertemuan itu memang tidak disangka malah mengejutkan Aku dalam dilema dan serba salah. Dia yang baharu bertakhta di hati ini pula mulai menjauhkan dirinya kerana menyedari penantian aku kini sudah berakhir. Dia hadir di antara kami. Mengapa sekarang ?
"Memori Duka " nyanyian Son Of Adam mengiringi pertemuan kami kembali setelah perpisahan yang begitu lama. Namun , hati ini tidak mudah terpesona dengan kata-kata. Akhirnya, dia memilih mengundurkan diri setelah dia menyedari hatiku kini milik orang lain. Puas juga aku berusaha untuk memujuknya dan setelah tiga tahun mengenali hati budi masing-masing akhirnya kami disatukan secara sah sebagai suami isteri.
Dan dia terus menyepikan diri namun hadir kembali pada saat kami sudah berbahagia. Ya, dia muncul semula ketika kami sudah memilih untuk hidup bersama . Kisah ini umpama lagu "Penyesalan" nyanyian The Unwanted. Akhirnya, kami berdamai dengan ketentuan-Nya . Tiada gunanya lagi aku terus-menerus mengharapkan harapan palsu. Semuanya sudah berlalu dan inilah saatnya untuk kubuktikan kepadanya . Aku akan menjaganya hingga hujung nyawa.
Comments
Post a Comment