Episod : SEMALU

 

Tok! Tok! Tok! . Pintu kelas diketuk . Aku sedang mengajar di hadapan murid-murid Tahun 6 Gemilang. Spontan aku menoleh ke pintu.

“Asalamualaikum !” Terpacul wajah Imran di muka pintu sambil tersenyum .

 “Eh, Cikgu Imran. Ada apa , Cikgu ?,’ tanyaku spontan seperti terkejut. Aku dan Imran merupakan rakan sekerja di sebuah sekolah yang terletak di sebuah bandar kecil di sebuah negeri di Pantai Timur. Kami telah saling mengenali sejak ditempatkan di sekolah yang sama selepas menamatkan pengajian di sebuah Maktab Perguruan.

 

“Ini ada sepucuk surat untuk, Cikgu Nora,” kata Imran memandang tepat ke wajahku. Tangannya menghulurkan sepucuk surat bersampul putih. Aku berasa malu apabila direnung sebegitu namun di dalam hati aku berasa gembira dapat berbual-bual dengan Imran. Walaupun kami di sekolah yang sama tetapi kekangan masa kadang-kadang sukar bagi kami meluangkan masa untuk bertegur sapa. Imran seorang lelaki sederhana dan tutur katanya sangat bersopan santun.  

“Nanti Cikgu Nora bacalah surat tu,” ujar Imran dan meminta izin untuk ke pejabat sekolah. Aku hanya mengangguk dan membalas senyumannya. Imran meninggalkan kelas aku dan sepucuk surat berada di tanganku. Hati berdebar-debar kerana kali pertama aku menerima sepucuk surat daripada Imran. Kebiasaannya, kerani di pejabat yang menghantar surat kepada guru-guru. Lantas, kubuka sampul surat itu . Di dalamnya terdapat sehelai kertas berwarna kebiru-biruan.

 

“Salam , Cikgu Nora. Sepucuk surat di tangan Cikgu Nora adalah surat daripada saya. Maaf, sebenarnya saya hendak mengajak Cikgu Nora keluar makan bersama malam ini itupun kalau Cikgu Nora sudi.” Tulisan itu amat kukenali dan pelawaan itu membuatkan hatiku bertambah berdebar-debar. Aku mengulang baca surat itu kali kedua. Aku hanya tersenyum sendiri. Kulipat semula surat itu dengan kemas dan kumasukkan ke dalam beg sekolahku. Aku menoleh tetapi kelibat Imran sudah lenyap di hujung koridor bangunan A. Hatiku rasa berbunga-bunga kerana inilah kali pertama aku menerima sepucuk surat seperti itu. Selama ini, hanya rakan-rakan perempuanku saja yang mengirim surat kepadaku.

 

Itulah permulaan bibit-bibit perkenalan aku dengan Imran. Kami sangat berhati-hati sewaktu di sekolah kerana bimbang perhubungan mesra kami akan dihidu oleh rakan-rakan lain. Kalaulah mereka tahu, malunya aku !. Pada malam yang telah dijanjikan,  Imran menjemput aku di rumah sewa aku dengan kereta Nissan birunya. Itulah juga kali pertama aku menaiki kereta seorang rakan lelaki. Aku begitu naif untuk menjalinkan hubungan yang kuanggap istimewa  Sepanjang perjalanan , masing-masing seperti kelu lidah untuk berkata-kata. Barang kali malu atau cinta sudah berputik ? Aku tersenyum dan melemparkan pandangan ke luar tingkap. Tiang-tiang lampu seakan-akan berlari-lari. 

 

Imran memberhentikan keretanya di seberang jalan dan kemudian kami melintas jalan menuju ke sebuah kedai makan, Kami memilih meja paling belakang kerana aku bimbang akan tersermpak dengan sesiapa yang kukenali. Aku berasa lebih selesa tidak dilihat oleh pelanggan-pelanggan di kedai makan itu. Seorang pramusaji mendekati meja kami untuk mengambil pesanan makanan dan minuman.

“Cikgu Nora nak makan apa?,” tanya Imran sambil membelek-belek menu makanan dan minuman di atas meja.

“Eh, tak apa. Saya ikut saja , Cikgu ,” jawabku malu-malu.

“ Ok. Kita ‘order’ nasi putih , ikan siakap stim dan ayam goreng kunyit. Air, saya ‘order’ sirap limau dan laici , “ Imran membuat pesanan dan aku hanya mengangguk tanda setuju.  Setelah mengambil pesanan , pramusaji meninggalkan kami berdua. Suasana sepi seketika dan hanya kedengaran beberapa orang pelanggan sedang  berbual-bual sambil menjamu selera. Sesekali terdengar gelak ketawa mereka.

 

“ Boleh saya bertanya dengan Cikgu Nora,” tanya Imran sambil membetulkan tempat duduknya. Aku mengangguk dan tersenyum.

“Tanyalah,” jawabku sambil membetulkan sedikit tudungku. Pertanyaan Imran terhenti di situ.

“Nak tanya tapi saya malu sama ada Cikgu Nora sudah ada kawan istimewa?.” sambung Imran setelah seketika berdiam diri. Aku tidak mahu terus menjawab .Aku membiarkannya berteka-teki. Aku berasa lucu melihat gelagatnya seperti serba salah. Di dalam hati, aku ketawa terbahak-bahak.

“Tak ada la. Saya ‘single’ lagi tau,” jawabku dengan suara manja. Imran tersenyum puas kerana hasratnya untuk mendekati aku sudah terbuka luas. “Peluang tidak datang dua kali, “ begitulah agaknya kata-kata hati Imran.

“Jadi , Cikgu Nora tidak berpunyalah?,” ulang Imran untuk mendapatkan kepastian.

“Tak adalah,” ujarku tersenyum. Entah mengapa hatiku semakin menyukai Imran.

 

Pramusaji menghantar pesanan kami di meja. Perbualan kami  terhenti seketika. Setelah menghidangkan makanan dan minuman di atas meja, pramusaji meninggalkan kami berdua. Beberapa mata memandang kami sekilas dan tersenyum.

“Kalau begitu, bolehlah kita berkawan,” kata Imran tersenyum. Aku hanya mengangguk.

“Boleh tak saya panggil, Imran saja,” pintanya. Aku mengangguk tanda setuju.

“ Tak naklah Cikgu-cikgu. Tak romantiklah,” kata Imran dan kami ketawa kecil. Malam itu kuanggap ‘dating’ pertama aku dengan seorang lelaki bernama Imran. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah sewaku, bermacam-macam kisah kami kongsi bersama lebih-lebih lagi peristiwa di sekolah. Kami ketawa berdekah-dekah apabila peristiwa lucu terpacul dari mulut Imran. Malam itu, bulan dan bintang bersinar terang menghiasi langit meraikan dua hati yang sedang dilamun cinta. Mudahnya aku jatuh cinta !.

 

Ingatanku kepada pertemuan pertama kali dengan Imran tidak pernah lekang dari ruang fikiranku. Apabila bertembung dengan Imran semasa perhimpunan sekolah, mataku dan matanya seakan-akan tersenyum. Hatiku berasa berdebar-debar “Ah, benarkah aku kini sedang  dilamun cinta ? Perasaan cinta pertama tidak pernah hadir di dalam hatiku. Andainya , ini benar-benar cinta aku pasrah,” aku bermonolog. “Imran,” desis hati kecilku.

“Ya, Allah . Aku berserah kepada-Mu !” dalam diam aku berdoa. Wajah Imran silih berganti di ruang mataku. “Andainya, ini jodoh aku terima dengan kesyukuran kepada-Mu, Ya Allah!.” Doa itu kulontarkan jauh-jauh di dalam hatiku.

 

Bulan berganti bulan , akhirnya rahsia kami dapat dihidu oleh teman-teman rapatku. Puncanya , aku dilihat menaiki kereta Imran semasa pulang dari sekolah kerana selama ini aku hanya menumpang kereta rakanku, Yati. Aku dijadikan bahan gosip di sekolah.

“Amboi, orang tengah bercinta asyik termenung saja ,” usik Cikgu Yati sewaktu kami di bilik guru. Beberapa orang guru yang berada di situ turut tersenyum.

“Eh , tak adalah. Kau jangan memandai-mandai Yati,” kataku sambil ketawa kecil.

“Tak lama lagi, kita makan nasi minyaklah ya,” celah Cikgu Mona yang duduk di sebelah aku dan aku mencubit manja paha Mona.

“Eh, sakitlah ,” kata Mona menggosok-gosok pahanya sambil ketawa.

Pong Pang! Pong Pang! . Usik Cikgu Yati seperti bunyi kompang. Kami ketawa terbahak-bahak. Aku tersenyum malu mendengar usikan rakan-rakanku. Di ruang mataku, terbayang wajah Imran yang tersenyum kepadaku.

 

Setiap hari, aku akan bertemu dengan Imran selepas habis sekolah. Biasanya, kami akan singgah minum ABC di warung Makcik Leha yang tidak jauh dari sekolah untuk membasahkan tekak. Sebenarnya, kami hanya ingin berdua-duaan . Dahaga itu hanyalah suatu alasan semata-mata. Makcik Leha pun tidak kurang menyakat aku apabila melihat aku dan Imran di meja.

“Maaflah, ABC tu terlebih manis, Cikgu . Maklumlah , orang tengah bercinta ,” usik Makcik Leha.

“Ala makcik ni. Sajakan nak menyakat saya, Ini mesti si Yati dan Mona yang bagi tahu Makcik,” kataku. Imran hanya ketawa kecil mendengar perbualan aku dan Makcik Leha. Makcik Leha menepuk bahuku, “ Jangan tunggu lama-lama Cikgu . Macam lagu Ramli Sarip tu. ‘Jangan tunggu lama-lama nanti lama-lama dia dikebas orang !,” Makcik Leha menyanyi kecil dan disambut gelak ketawa kami. Makcik Leha kuanggap seperti ibuku sendiri kerana keluargaku tinggal jauh di Pantai Timur. Hanya cuti sekolah aku akan pulang ke kampungku untuk bertemu keluargaku.

 

Suatu petang , Imran meninggalkan pesan hendak berjumpa denganku.

“Nora,saya ada perkara penting nak beritahu Nora,“ kata Imran dan memalingkan pandangannya jauh ke seberang jalan. Wajahnya kelihatan muram. Suasana yang bising tiba-tiba berasa hening seketika. Hatiku pula berdebar-debar. Inikah saatnya Imran akan meluahkan hasratnya untuk melamarku ? Aku berteka – teki sendiri di dalam hati.

“Saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti, Nora,” ujar Imran perlahan. Aku terdiam mendengar kata-kata Imran. Telahan aku tidak benar.

“Tahniah, Imran. Saya gembira Imran akhirnya berjaya ke universiti,” ucapku bersungguh-sungguh sedangkan hatiku sedang bersedih apabila mendengar berita itu.

“Eh, kenapa Nora tersenyum. Nora gembirakah kita berjauhan nanti?,” tanya Imran.

“Bukanlah. Nora berasa gembira kalau Imran menyambung pengajian nanti. Sekurang-kurangnya masa depan Imran lebih cerah.”. Kata-kataku itu hanyalah untuk menyedapkan hatiku yang bergelora bagaikan ombak Laut Cina Selatan. Sedih bercampur gembira.

“Kita akan berjauhan selama saya belajar nanti.”

“Saya boleh menjaga diri saya ,” ujarku perlahan.

 

“Tapi, Nora. Tentunya saya akan merindui saat ini,” ujar Imran. Aku tertunduk dan bermacam-macam perkara bermain di fikiranku ini. Kupandang lantai simen . Kosong dan seperti hatiku berasa sangat kosong.

“Percayalah, Imran. Saya akan setia menanti kepulangan Imran di sini ,” ujarku dan tangisan di hatiku semakin tidak tertahan-tahan.

 

Sebelum Imran melaporkan diri di universiti, Imran telah diraikan oleh pihak sekolah dalam satu majlis ringkas sempena kejayaannya. Masing-masing mengucapkan tahniah dan selamat tinggal kepada Imran. Selama empat tahun, Imran akan bercuti untuk melanjutkan pengajian di universiti dan selama empat tahun itulah kami akan berjauhan.

“Tahniah, Imran. Awak telah membuktikan awak boleh melakukan yang terbaik,” kataku saat Imran berdiri di hadapanku. Lidahku kelu untuk menyatakan perasaan sedihku. Wajah Cikgu Yati dan Cikgu Mona sunggul melihat aku ketika itu. Aku menyeka air mata yang tumpah tetapi aku segera meleparkan senyuman seolah-olah tiada apa-apa yang bermain di fikiranku.Perdu hatiku berasa pilu dan ngilu.

 

Aku di sini terus menanti dan menanti dengan setia seperti janjiku kepada Imran. Selama itu, kami hanya berhubung melalui panggilan telefon. Sebenarnya, aku bimbang akan kehilangannya. Apabila sudah berjauhan , macam-macam perkara boleh terjadi. Fikir burukku.  Perasaanku sedikit terganggu dengan keputusannya itu namun aku tidak dapat menghalangnya. Semuanya adalah takdir Tuhan yang sudah tertulis !.

Hari-hari yang berlalu begitu sunyi kurasa. Tiada lagi gelak ketawa Imran yang suka mengusik aku. Tiada lagi senyuman manis yang kurindui selama ini. Tiada lagi kelibat Imran menanti aku di luar pagar sekolah. Aku kembali bersendirian. Hampir setiap malam, aku menghubungi Imran menggunakan sebuah telefon awam berdekatan rumah sewa aku. Imran memiliki sebuah telefon bimbit Nokia 3310 untuk kemudahannya. Zaman 90-an, hanya yang berkemampuan mampu memiliki telefon bimbit. Apatah lagi , sebagai guru di sekolah rendah berapalah sangat gaji bulanan aku. Aku juga perlu membantu ibu bapaku di kampung untuk membiayai perbelanjaan adik-adikku yang masih bersekolah.

 

Perbualan kami selalu terhenti apabila wang syilingku kehabisan. Imran akan menanti panggilanku setiap hari. Namun, selepas beberapa bulan aku menyedari perubahan sikapnya Kadang-kadang panggilanku tidak dijawab dan ada ketikanya Imran seolah-olah mengelak untuk berbual panjang denganku dengan pelbagai alasan diberikan.Kata Imran dia semakin sibuk dengan ‘assigment’ di universiti. Aku faham akan tanggungjawabnya sebagai seorang mahasiswa tentulah setiap hari sibuk dengan kuliah demi kuliah.

 

Dari seminggu ke sebulan , aku menelefonnya. Lama-kelamaan , jarak antara aku dengannya  semakin jauh. Dia tidak pernah datang menjenguk aku di sekolah. Saban masa , aku terbayang-bayang dia berdiri di hadapan pagar sekolah memandang aku dengan senyuman manisnya. Tetapi, bayangan itu semakin hari semakin kabur. Aku pasrah andainya hubungan ini terhenti setakat ini saja. Akhirnya , Imran telah berjaya menamatkan pengajiannya di universiti dan aku masih berharap Imran akan kembali menemani aku di sini. 

 

Suatu pagi, “Cikgu Nora, ada surat untuk Cikgu di atas meja Cikgu,” beritahu kerani pejabat apabila melihat aku melintas di hadapan mejanya.

“Surat ?,” pertanyaan itu tersekat di kerongkongku. Aku segera ke meja aku dan melihat sekeping sampul surat terletak di atas mejaku. Daripada tulisan tangan, aku tahu surat itu daripada Imran. Sukar untukku gambarkan perasaan gembira aku ketika itu.

“Ke hadapan, Nora. Apa khabar? Terlebih dahulu saya meminta maaf kerana mengutus surat yang tidak sepertinya ini. Sebenarnya, saya berasa hubungan jarak jauh kita ini amat sukar untuk diteruskan. Tidak lama lagi, saya telah menamatkan pengajian di sini dan saya berasa tidak sesuai untuk meneruskan persahabatan ini memandangkan saya kini sudah bergelar siswazah. Saya juga telah ditempatkan di sebuah kolej matrikulasi sebagai pensyarah. Saya minta maaf sangat kepada Nora andainya saya melukakan hati Nora. Bukan niat saya untuk mempermainkan perasaan dan harapan Nora tetapi kita sudah ditakdirkan tidak akan dapat bersama. Untuk kesekian kalinya, saya memohon maaf sekali lagi dari hujung rambut hingga hujung kaki. Wasalam. Sahabatmu, Imran .”

 

Aku terduduk di kerusi tanpa kata-kata. Air mataku meluncur laju. Cikgu Yati yang kebetulan memasuki bilik guru terlihat aku . Dia segera mendekati aku dan  memeluk tubuhku erat-erat seolah-olah dia sudah dapat menangkap apa yang sedang berlaku apabila melihat sepucuk surat di tanganku. Cikgu Yati seperti tidak mahu melepaskan pelukannya. Aku membiarkannya dan air mataku terus meluncur laju.

“Sabar, Nora. Aku ada di sini,” bisik Yati.

 

Sejak hari itu, aku tidak lagi menghubunginya.. Aku masih di sini berdiri sebagai seorang guru sekolah rendah lulusan maktab perguruan sahaja setia menabur bakti kepada anak bangsa. Selepas beberapa bulan kemudian, aku menerima sekeping kad undangan “Majlis Perkahwinan Antara Imran dan Salina “ .Air mataku gugur satu persatu tetapi aku mesti bangkit untuk meneruskan kehidupan ini . Hatiku retak seribu!.

 

Peristiwa yang telah berlalu 20 tahun lamanya itu masih segar di dalam kotak memoriku dan berbekas di hatiku. Parut luka yang tiada ubatnya. Memang sukar bagiku melupakan Imran kerana dialah lelaki pertama mencuri hatiku.Tatkala , aku bersendirian aku akan teringat kepada Imran. Terkenang saat-saat manis bersama Imran dan aku hanya tersenyum sendiri. “Tak mengapalah, aku terima segala-galanya sebagai ketentuan Allah dengan hati yang reda.” Itulah kata-kata azimat yang sering berkumandang di dalam sanubariku saat aku memendam rindu kepada orang yang sedang bahagia kini. “ Apa khabar, Imran sekarang ? Tentunya sedang bahagia di sisi seorang isteri dan anak-anak . Manakala, aku di sini masih bersendirian melayari hari-hari yang mendatang dengan kisah duka yang tidak dapat kupadamkan. Namun, sesuatu yang mengejutkan aku kerana baru-baru ini Imran menghubungi aku semula. Imran telah mendapatkan nombor telefon sekolah tempat aku mengajar sekarang. Adakah aku harus berjumpa dengannya? Masih adakah sisa-sisa rindu ini? Pertanyaan demi pertanyaan hanya bermain-main di fikiranku.       

Comments

Popular posts from this blog