Episod: Kerana SPM
Tahun 1984 aku menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) di Sekolah Dato Hamzah, Pelabuhan Klang. Kalau hendak diukur dari segi persediaan boleh aku katakan 50/50. Pada masa itu, serba kekurangan kerana hendak membeli buku rujukan pun kurang mampu. Jadi, buku-buku teks yang diberikan oleh kerajaan menjadii tangkal untuk menghadapi peperiksaan penting. Itu bukan alasan sebenar sebaliknya aku yang kurang berusaha.
Hari yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Musim SPM berlangsung selama hampir sebulan tambahan pula aku dalam aliran Sains . Beberapa subjek Sains Tulen seperti Biologi, Fizik dan Kimia menjadi cabaran utama selain Matematik Tambahan. Usai, SPM aku cuba mencari pekerjaan di kilang-kilang sekitar Pelabuhan Klang namun tiada rezeki aku.
Akhirnya, aku bekerja sebagai buruh kasar. Setiap hari, tugas aku dan beberapa orang pekerja lain memunggah kayu pelbagai saiz dimasukkan ke dalam kontena. Waktu matahari tepat di atas kepala suhu di dalam kontena panas yang amat bagaikan neraka! .
Pengalaman singkat itu banyak mengajar aku erti kesusahan dan kejujuran. Susahnya mencari duit poket . Sedihnya, aku ditipu oleh 'mandor' bangsaku sendiri. Upah yang sepatutnya kuterima dipotong tanpa sebab dan alasannya 'tauke' bagi gaji tak cukup. Pengalaman itu juga menjadikan aku sejenis orang yang tidak tergoda dengan janji-janji manis. Buktikan dulu baru cakap ! .
Selepas 3 bulan , pengumuman keputusan SPM melalui televisyen, radio dan surat khabar berkumandang. Betullah seperti jangkaan aku keputusan SPM aku hanya setakat Sijil Am Pelajaran ( SAP) kerana tidak cukup kredit. Segala perasaan terbuku di dalam sanubariku. Sedih. Kecewa. Putus asa. Malu . Marah . "Semuanya sudah tertulis begitu tak mungkin dapat diubah lagi," detik hati kecilku.
Aku meninggalkan pekarangan sekolah tatkala kawan-kawan lain bersorak gembira dan saling berpelukan. Aku melangkah longlai tiada hala tuju. Berjalan dan terus berjalan tanpa kusedar aku sudah sampai di bandar Klang. Sepanjang langkah air mata berjurai. Jiwaku cukup lemah untuk berhadapan dengan ibu bapaku yang sedang menanti kepulangan aku dengan harapan tinggi melangit.
Hampir Maghrib , aku pulang ke rumah . Bertubi-tubi pertanyaan ibuku yang bimbang akan keselamatan aku. Wajah mereka kelihatan sedih apabila kuberitahu keputusan SPM aku. Namun, mereka tidak memarahi aku sebaliknya memberikan kata-kata semangat supaya berusaha lagi. Aku menolak permintaan ibu bapaku supaya mengulang peperiksaan SPM. Dalam kamus hidup aku , tiada istilah dua kali . Sekali gagal aku akan tinggalkan dan mencuba peluang lain .
Aku meneruskan perjuangan dengan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 1986 di sebuah sekolah swasta di bandar Klang dengan yuran RM60 setiap bulan. Keputusan STPM lebih baik daripada keputusan SPM yang lalu . Cita-citaku untuk melanjutkan pelajaran ke universiti membuak-buak. Permohonan aku ke Institut Teknologi MARA ( ITM sekarang UiTM) telah diterima. Aku perlu menghadiri temuduga untuk kemasukan jurusan MASSCOM. Sekali lagi, aku gagal dan harapanku terhenti setakat itu sahaja.
Tiga tahun kemudian, aku mendirikan rumah tangga dan ketika itu aku bekerja sebagai guru di sekolah swasta tempat aku belajar STPM. Gajiku dibayar RM220 sebulan. Sekali lagi aku memohon untuk menyambung pelajaran ke universiti . Borang permohonan kuperoleh melalui surat khabar. Aku memilih Universiti Sains Malaysia ( USM) jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial. Penantian suatu penyeksaan. Aku mendapat jawapan permohonan aku ke USM.
" PERMOHONAN ANDA GAGAL" .
Aku bertekad untuk membuat rayuan . Beberapa hari selepas menerima jawapan daripada pejabat pendaftar USM, aku ke Pulau Pinang dengan nenaiki bas ekspres. Kubawa bersama isteriku dan kami bertolak dari stesen bas selepas Isyak. Aku menjejakkan kaki di Pulau Pinang buat pertama kali. Seawal jam 7.00 pagi , aku menaiki teksi ke kampus USM dan terus ke pejabat pendaftar.
Segala sijil kubawa sama. Namun, sekali lagi aku kecewa kerana rayuan aku ditolak dengan alasan kerana SPM aku tidak memuaskan. Jurusan yang aku pohon berdasarkan keputusan STPM namun keputusan SPM juga dijadikan kayu ukur. Pegawai pendaftar menasihati aku supaya mengulang SPM semula .
Aku dan isteri ke stesen bas untuk pulang ke Klang . Kerana SPM segala-galanya terhalang. Namun , impian aku untuk menyambung pelajaran akhirnya tercapai jua apabila aku diterima masuk ke Universiti Putra Malaysia ( UPM ) pada tahun 2004 dan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu dan Linguistik selepas 19 tahun menanti peluang keemasan ni ! .
Insyallah pada 26 November 2025 nanti sekali lagi aku akan ke USM , Pulau Pinang untuk menghadiri Majlis Konvokesyen di sana . Aku tersenyum sendiri apabila mengenangkan memori itu. Kita hanya merancang namun perancangan Allah yang sebaik-baiknya!. ALHAMDULILLAH.
Comments
Post a Comment