Episod : Kampung Palekbang
Kampung Palekbang terletak dalam mukim Tumpat,Kelantan. Rumah di belakang aku merupakan rumah peninggalan arwah Che dan Mok Tua. Rumah ini sudah usang tetapi masih didiami oleh seorang makcikku ketika itu . Kiranya, dia tinggal di rumah ini seorang dirinya. Peristiwa yang menjadi kenanganku ketika foto ini dirakam ialah sebelum aku memijak kaki di pelantar rumah itu aku berkata kepada mereka yang berada di sekeliling " Aku cucu Awang Kechik rumah ini menjadi saksi kaki yang memijak ini robohlah rumah ini". Sebaik aku memijak pelantar 'gedebum' lantai kayu roboh dan kaki aku terperosok ke bawah ". Betullah, kata-kataku tadi.
Pernah Che memanggil aku duduk di sisinya walaupun aku takut dengannya kerana Che seorang yang berwajah serius dan garang , kata Che " Mu jange baloh jange balas kalu ore khianat ko mu kecuali ore bakar anok bini cucumu . Aku tak izinkan ".(dalam longhat Kelantan). Kata-kata Che ringkas dan padat tetapi aura semangat hulubalangnya meresap di dalam diriku. Salah satu sebab aku tak membalas terhadap perbuatan 'seseorang' yang menendang perut isteriku yang ketika itu sedang mengandungkan cahaya mata pertama kami suatu masa dulu. Segera aku teringat kata-kata pesanan Che , aku hanya bersabar dan bersabar andai kubalas memang celakalah !
Foto ini tidak kuingat tahun dirakam tetapi yang pasti aku menziarahi makcikku sebelum dia berpindah ke rumah lain. Akhirnya, rumah peninggalan ini telah dirobohkan oleh pemilik tanah yang baharu . Rumah ini terletak di belakang SK Palekbang . Dulu-dulu, kami adik-beradik akan bermandi-manda di terusan yang terletak berhampiran rumah. Daun- daun pokok kelapa lambai-melambai menyambut kepulangan kami dari kota.
Nostalgia yang masih kuingat semasa kecil . Rumah ini menjadi saksi tempat aku dikhatankan oleh Tok Mudim. Seawal pagi, aku sudah dikejutkan oleh ayahku untuk mandi di telaga di belakang rumah. Airnya yang sejuk dan berbau lumut yang kuat amat menyegarkan. Aku dipakaikan baju Melayu dan kain pelikat baharu .
Tok Mudim datang ke rumah ini dengan menunggang sebuah basikal . Sebatang pohon pisang sudah dipotong separuh terletak di ruang tengah rumah mengadap pintu utama. Burung-burung bersiulan di halaman rumah dan hari itu burungku sudah dikhatankan.
Setelah menjamu pulut kuning , Tok Mudim meminta diri. Sejak itu, aku sudah dianggap budak dewasa. Tengah hari itu, aku sudah bermain bola di atas pelantar rumah Che. Tak ada istilah sakit atau takut. Anak jantan mesti berani seperti Che seorang hulubalang istana Kelantan yang berani dan berjiwa kental. Masakan tidak , menurut cerita orang kampung Che pernah berenang menyeberang Sungai Kelantan seorang diri.
Rumah ini menyimpan seribu kenangan indah. Beberapa ekor lembu dan biri-biri ( pertama kali kulihat kusangka anjing rupanya kambing
) menjadi tunggangan aku dan sepupu-sepupu lelakiku. Kami bergilir-gilir menunggang biri-biri sambil memegang tanduknya dengan erat. Sepanjang ingatan aku, lembu dan biri-biri Che dijual kepada peraih. Jadi, kami tidak merasa daging lembu dan biri-biri peliharaan Che.
Pabila malam, aku dan sepupu-sepupuku akan berkerumun di sekeliling Che melihat Che memasang lampu minyak gas. Terang dan bertambah terang. Di tepi pelantar dapur yang dibuat daripada buluh menjadi tempat kami membuang air kecil pada waktu malam. Kalau nak turun ke tanah dalam keadaan gelap gelita dan sunyi sepi memang tidaklah.
Suasana yang paling menyegarkan pada waktu awal pagi. Di belakang rumah Che terdapat petak-petak sawah dan di situ juga tempat kami melepaskan hajat. Di tepi rumah Che terdapat beberapa batang pokok jambu batu dan di situlah kami memanjat memetik jambu berbiji merah.
Udara segar dan bersih pada pagi hari amat mengujakan. Embun di hujung rumput. Alangkah indahnya kampungku. Memori indah tidak selalu berulang kembali tetapi tetap terpahat di sanubari...Al-Fatehah ( dibaca) untuk Che dan Mok Tua. Semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah .Amin ya rabbal alamin..
Comments
Post a Comment