Episod: Cermin Mata
Dulu-dulu pelajar yang bercermin mata dianggap pelajar pandai. Itu hanyalah suatu persepsi . Aku mula bercermin mata sejak 1981 semasa aku di Tingkatan 2. Pada mulanya, aku memang menolak untuk memakai cermin mata kerana aku menyimpan cita-cita hendak menjadi anggota polis apabila dewasa kelak. Tetapi kesukaran menyalin nota dan latihan di papan hitam menyebabkan aku terpaksa mengalah. Harga sepasang cermin mata hanya puluh ringgit tetapi dikira mahal pada awal tahun 80-an.Aku terpaksa melupakan cita-citaku untuk menjadi pegawai polis.
Halangan utama ialah bersukan. Bimbang cermin mata patah atau pecah. Apabila tiba waktu Pendidikan Jasmani cermin mata kutinggalkan di bawah meja di dalam bilik darjah. Pernah sekali cermin mataku jenis 'sunglasses' tercicir di atas meja sewaktu aku singgah makan di Mc Donald Ayer Keroh,Melaka . Itu pun semasa aku sudah berkeluarga dan mempunyai beberapa orang anak . Entah macamana sewaktu membuat pesanan di kaunter cermin mata kuletakkan di atas meja kaunter dan terlupa mengambilnya semula. Sewaktu berjalan keluar restoran baru perasan cermin mata tertinggal dan kembali ke kaunter tiada sesiapa melihatnya. Memang tak ada rezeki aku.
' Sunglasses' yang hilang itu berharga ratusan ringgit juga dan kepada yang menjumpainya mungkin tidak sesuai memakainya kerana 'sunglasses' itu mempunyai power yang tinggi juga. Boleh pening kepala kalau si pemakainya tidak rabun atau tidak sama power. Sepulang dari bercuti aku menempah 'sunglasses' baharu jenis 'clip' tapi 'clip' pulak tercicir.
Sepanjang memakai cermin mata silih berganti kerana power yang semakin tinggi atau nak cuba 'style' baru. Kadang-kadang rasa rimas juga. Ada seorang Pakcik di surau tempat tinggalku memberi petua untuk memulihkan rabun dengan memerah limau nipis 'direct' ke mata. Apabila pulang ke rumah aku terus mencuba petua Pakcik itu namun kepedihannya tak dapat kugambarkan dan berasa mataku seperti tertanggal. Aku jadi percaya kerana Pakcik itu membuat demo di depan aku. Nasib baik mataku tidak buta kalau tidak jadilah seperti ' Kasim Selamat'.
Tidak pernah kukira berapa kali kutukar cermin . Tetapi, aku bukan jenis suka tukar-tukar cermin mata . Nak beli cermin mata yang ada 'style' tengok poket dulu kerana harga sepasang cermin mata boleh tahan mahal. Jadi, kadang-kadang aku menukar cermin mata kerana terpaksa apabila 'power' bertambah tetapi masih menggunakan bingkai yang sama. Bertahun-tahun juga cermin mata yang kupakai sebelum menggantikannya dengan yang baharu.
Selepas menduduki STPM pada tahun 1986 dengan keputusan agak baik aku memasang niat hendak memohon kerja sebagai pegawai polis pangkat Inspektor tetapi mengenangkan aku bercermin mata maka niatku itu kupendamkan saja kerana syarat pemohon tidak bercermin mata. Cita-citaku tidak tercapai tak mengapalah bukan rezeki aku.
Sudah berpuluh-puluh tahun aku memakai cermin mata. Apabila sudah berumur masalah utama terlupa cermin mata letak di mana. Satu rumah kena geledah dan kalau ada cucu-cucu dikerah mencari cermin mata Che. Sekarang , banyak kedai menjual cermin mata dengan harga lebih murah . Cermin mata paling mahal pernah aku beli berharga RM1000 dengan spesifikasi tertentu.
Cara untuk.memulihkan rabun ialah rawatan laser tetapi harganya sangat mahal. Lupakan saja niat itu yang penting aku masih nampak jalan menuju ke masjid.
Comments
Post a Comment