Episod : Selembut Sutera
Puas aku cuba memujuknya selepas peristiwa tempoh hari namun usaha itu bukanlah mudah. Beberapa hari , aku pulang sendiri tanpa ditemaninya seperti sebelum ini. Dia akan bersama-sama rakan-rakannya ke stesen bas tanpa menghiraukan aku yang berdiri di tepi jalan.
"Adakah ini titik akhir ?", bisik hati kecilku. Aku nekad untuk bertemu empat mata dengannya kerana hal ini jika dibiarkan berlarutan aku akan berputih mata.
Setelah cubaan aku menarik perhatiannya tidak bersambut, malam itu aku sudah menunggunya di kaki lima sekolah. Di tepi pagar tangga. Dia pasti akan melalui pintu pagar ini kerana pintu ini satu-satunya yang dibuka untuk pelajar-pelajar kelas malam keluar masuk. Perasaan resah tidak dapat kusembunyikan Aku bukanlah pakar pujuk-memujuk. Aku bukanlah penyair hebat yang mampu mencairkan hati seorang gadis dengan kata-kata selembut sutera. Hati seorang perempuan sangat keras apabila dilukai.
" Boleh kita jumpa sekejap," kataku kepadanya apabila dia berlalu di depanku. Dia tidak menoleh kepadaku.
" Sekejap pun tak mengapa". Dia bersenda gurau dengan rakan-rakannya dan aku dibiarkan termanggu di situ. Aku memaksa kaki ini mengikutinya.
" Sekejap saja ," ulangku lagi. Dia memperlahankan langkahnya dan kawan-kawannya sudah melintas Jalan Pos Baru. Hanya aku dan dia . Dia menoleh kepadaku dan tersenyum dengan wajah puas. Aku membalas senyumannya itu sebagai tanda dia sudah memaafkan aku. Malam itu kami berjalan sama ke stesen bas dan setelah dia berada di dalam perut bas aku bergegas menaiki bas Klang-Banting ke Pelabuhan Klang.
Di dalam bas, aku tersenyum sendiri. Walaupun tiada kata-kata diucapkan namun aku pasti dia sudah memaafkan aku. Barang kali dia juga dapat membaca isi hatiku. Aku ikhlas untuk menjadi temannya bukan untuk melukakan hatinya. Bas meluncur laju dan lampu-lampu neon di luar tingkap bas bersinar indah dan langit cerah pantulan cahaya bulan yang terang-benderang. Segala-galanya kurasakan indah malam itu.
Bulan demi bulan dan tahun demi tahun berlalu, setelah 3 tahun berteman akhirnya kami membuat keputusan untuk menokhtahkan hubungan ini secara sah melalui ikatan perkahwinan. Adat merisik mendahului sebagai adab orang Melayu.
" Bukan inilah . Yang itu anak ........, " ujar emaknya kepada bapanya. Rupa-rupanya, ada orang lain yang baru merancang untuk merisik tetapi rombongan aku sampai dulu. Menurut cerita ibuku dan wakil aku semasa merisik dan bertunang sekali kepadaku selepas mereka pulang. Aku tidak ikut serta dalam perundingan itu tetapi aku mengikut rakan guruku melepak di warung sambil makan ' Yong Tau Fu '. Selesai perjumpaan dan perbincangan antara dua keluarga akhirnya tarikh pernikahan sudah ditetapkan pada 28 Julai 1989.
Menanti tarikh pernikahan umpama menanti buah yang tak gugur. Serba-serbi bergerak amat perlahan. Akhirnya, hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. Mengikut perancangan , hari pernikahan itu aku akn bercuti kerja bagi menyelesaikan urusan di rumah kerana majlis pernikahan diadakan selepas waktu Isyak. Semua ahli rombongan dan ketua rombongan sudah dimaklumkan akan bertolak selepas Isyak. Namun semua perancangan aku meleset kerana majikan aku tidak meluluskan permohonan aku untuk bercuti pada hari itu. Aku hanya dibenarkan meninggalkan kelas malam selepas Maghrib.
Tergesa-gesa aku pulang ke rumah dan sampai ketika azan Isyak sudah berkumandang dari surau berdekatan rumahku. Aku bersegera bersiap-siap dan ahli-ahli rombongan sudah pun menanti di rumah. Usai solat Isyak, acara khatam Al-Quran diadakan dan aku duduk mengadap guru mengajiku yang akan ikut serta dalam rombongan pada malam itu. Akhirnya, kami bertolak ke rumah pihak perempuan dan sampai agak lewat hampir jam 10.00 malam. Di rumahnya sudah berkumpul sanak saudara dan ahli keluarga terdekat untuk menyaksikan acara pernikahan yang akan menyatukan dua hati. Seorang demi seorang aku diperkenalkan kepada kaum keluarga tetapi tiada sesiapa pun yang dapat kuingati pak sedara, mak sedara, pakcik sepupu kerana fokus aku ketika itu majlis pernikahan.
Aku dinikahkan oleh ayahandanya sendiri dan jurunikah pula datuknya manakala saksi dua orang pakciknya. Hanya sekali lafaz, aku sah menjadi suami kepada SITI NORIDAH. Usai bacaan doa, aku diraikan oleh sanak saudara dan ahli keluarganya. Aku dibawa masuk ke 'bilik pengantin' dan dihidangkan nasi ayam di tepi katil pengantin yang dihias cantik . Serba ringkas serba jimat. Malam itu aku tidak bermalam di rumah mentuaku kerana aku dan isteri bernikah 'gantung' dan majlis walimah akan diadakan enam bulan selepas tarikh pernikahan.
Hanya lambaian dan senyuman menemani isteriku. Setiba di rumah, semua ahli rombongan pulang ke rumah masing-masing sekitar jam 12.00 tengah malam. Mereka juga dijamu nasi ayam oleh tuan rumah. Aku menelefon isteriku sambil berbual-bual mesra . Selama enam bulan itu, kami hanya berjumpa di luar selepas habis kerja dan makan bersama-sama di warung berdekatan stesen bas. Hari demi hari berlalu dan setelah enam bulan tibalah hari persandingan. Kini, segala-galanya sudah berlalu 36 tahun dulu dan kini hidup kami bahagia dikurniakan 5 orang cahaya mata yang sudah dewasa dan berumah tangga serta 6 orang cucu yang comel . Semoga ikatan ini akan berkekalan hingga akhir hayat kami . Amin Ya Rabbal Alamin.
Comments
Post a Comment