Episod : Sebuah Nyanyian Kecil
(Julai 1989): Foto berbulan madu ini dirakam selepas dua hari kami diijab kabul . Kami memilih Port Dickson sebagai destinasi berbulan madu dan memandangkan wang saku aku hanya ada seratus kami memilih untuk menaiki bas lompat-lompat dari Stesen Bas Klang ( bawah Pasar raya Great Wall) ke Port Dickson. Tambahan pula, majikanku ketika itu tidak meluluskan permohonan cutiku bermula dari majlis akad nikah yang berlangsung pada hari Jumaat malam dan hari Sabtu aku masih bekerja seperti biasa ( hati ini berasa sangat keras ) dilayan seumpama itu , usai bersiar-siar di pantai dan atas pertolongan seorang pengunjung gambar ini dirakam seadanya dengan kamera KONICA milik seorang kawan kami bergegas ke stesen bas untuk pulang ke Klang menaiki bas lompat-lompat. Akhirnya, kami sampai juga di Klang sekitar jam 11.30 malam dan menaiki bas KSOC yang terakhir dari Klang ke Pekan Meru. Sesampai di Pekan Meru , tiada lagi perkhidmatan bas dan kereta sapu jadi keputusannya terpaksalah kami menapak dari Pekan Meru ke Batu 8 . Beg sandang yang dibeli semalam pula putus talinya kerana tali beg sebenarnya sudah pun putus ( tanpa kusedari sewaktu membelinya di Jalan Taiping kerana bahagian yang terputus ditampal dengan loytape sebegitu rapi, kami ditipu ) . Pada malam yang sunyi sepi tanpa kenderaan dan gelap gelita , kami menapak sambil berbicara dari hati ke hati sehingga terlupa kami sudah berkahwin bukan lagi sepasang kekasih. Gurau senda dan deraian ketawa kecil isteriku menghiburkan hati meskipun perjalanan kami masih jauh . Sesekali aku memalingkan wajahku dan menyeka air mata yang gugur. Dia sanggup menerima aku seadanya yang tidak mempunyai apa-apa harta mahupun gaji ribuan ringgit (sewaktu berkahwin pendapatanku sebulan hanya RM200) walaupun ketika itu ramai jejaka di kampung yang ingin melamarnya sebagai suri hati kerana di kampung dia antara gadis cantik namun dia menolaknya dengan baik. Kami sampai di rumah mentuaku sekitar jam 1.00 pagi . Keesokan hari , aku menunggu bas di seberang jalan untuk menaiki bas KSOC ke tempat kerja di Klang dan isteriku menghantarku dengan layangan senyuman dan lambaian tanda kasih . Hari ini aku bersyukur atas rahmat Allah kerana memberi kami rezeki dan dapatlah aku 'berbulan madu' setiap tahun, setiap bulan, setiap minggu dan setiap hari. Keadaan kesihatan isteriku ( sebagai pesakit Damethia) semakin menyedihkan hari demi hari dan sangat menguji kesabaranku. Mohon doa daripada kawan-kawan semoga dimakbulkan doa semua dan diberikan kesembuhan segera oleh Allah SWT. Jelingan sepasang matanya bak 'Raja Ema' dan nyanyian kecilnya ' Jejaka Idaman' akan terus mekar di hatiku...
Comments
Post a Comment