Episod : Nyah
Sejak memegang jawatan sebagai guru disiplin bermula tahun 1987 hingga 2005 (selepas aku bersara pilihan) , aku telah melalui pelbagai cabaran berhadapan dengan masalah disiplin pelajar-pelajar baik lelaki mahupun perempuan. Aku ingin berkongsi pengalaman aku selama hampir 18 tahun sebagai guru disiplin agar dapat diajdikan pedoman.
Aku mula mengajar di sekolah swasta sejak tahun 1987. Pelajar-pelajarnya terdiri daripada pelajar-pelajar yang mengulang peperiksaan sama ada SRP, SPM dan STPM. Ada juga sebilangan pelajar yang pertama kali menduduki peperiksaan awam namun masing-masing mempunyai cerita dan alasan yang berbeza-beza. Pelajar keciciran , pelajar bermasalah , pelajar yang dibuang dari sekolah kerajaan dan pelajar yang mahu memperbaiki keputusan peperiksaan mereka.
"Cikgu, hari ini kami nak buat 'spotcheck'," beritahu Ketua Pengawas.
" Baik tetapi pastikan tiada provokasi antara pengawas dan pelajar. Nanti saya yang pulak kena masuk campur," jawabku dan Ketua Pengawas mengumpulkan sebahagian pengawas lelaki dan perempuan . 'Spotcheck' dilakukan dari kelas ke kelas di bangunan setinggi 3 tingkat itu. Suasana bising kedengaran hingga ke bilik guru kerana ada pelajar yang sengaja membuat 'ribut' apabila pengawas masuk ke kelas mereka.
Selepas setengah jam kemudian, Ketua Pengawas memanggil aku untuk ke bilik mesyuarat pengawas. Pelbagai jenis barang terlarang ditemukan di dalam beg, stoking, kasut dan tandas yang disembunyikan pelajar. Rokok, barang 'make up', pisau , dan buku lima dan buku pornografi antara barang yang pernah ditemukan semasa 'spotcheck'. Empunya barang akan dipanggil untuk mendapatkan maklumat dan direkod selain diberikan nasihat agar tidak mengulangi kesalahan disiplin yang telah ditetapkan.
Kesalahan berambut panjang bagi pelajar lelaki tindakan yang akan aku ambil ialah menggunting rambut mereka. Setiap hari dua jenis 'senjata' yang sentiasa ada pada aku ialah gunting dan rotan. Pada hari itu, seorang pelajar lelaki yang berperwatakan lembut telah ditahan kerana rambutnya sudah mencecah bahu. Pelajar ini memang sudah aku perhatikan lama . Kadang-kadang , mukanya berbedak tebal dan bulu keningnya dinipiskan. Dia pun tahu kalau ditangkap oleh pengawas atau aku , sahlah rambutkan akan digunting serta-merta.
" Saya tak mahu rambut saya digunting. Tak mahu. Tak mahu," aku memberi isyarat kepada seorang pengawas yang berbadan besar di sebelah aku supaya mengawasi pelajar itu . Baru sahaja aku hendak menggunting rambutnya yang menutup cuping telinga dia telah meronta-ronta dan menyebabkan mata gunting terkena cuping telinganya. Darah menitik-nitik laju dan semakin banyak membasahi 'uniform' putihnya. Suasana menjadi panik tiba-tiba.
Pelajar itu tetap menolak pengawas yang berada di hadapannya dan melarikan diri. Kebetulan , pagar sekolah tidak berkunci dia terus melarikan diri melintas jalan besar. Aku segera mengarahkan pengawas-pengawas mengejar pelajar itu dan membawanya ke sekolah semula. Tidak lama kemudian , pengawas kembali ke sekolah.
"Kami tak jumpa pelajar itu ,Cikgu," kata seorang pengawas sambil tercungap-cungap.
" Kamu dah cari di semua tempat?," tanyaku .
" Sudah , Cikgu. Dia lari laju ,Cikgu ," jawab seorang pengawas lagi.
" Korang ni budak macam tu pun tak boleh kejar," kataku mempersoalkan keupayaan mereka mengejar pelajar yang berperwatakan lembut itu.
"Tak apalah. Kamu semua masuk kelas. Nanti saya cuba 'contact' ibu bapa dia." Masing-masing berjalan ke kelas dan beberapa orang pelajar yang 'kepoh chi' di situ aku jerkah suruh mereka masuk ke kelas semula.
Aku meminta kerani sekolah menghubungi ibu bapa pelajar itu tetapi tidak berjaya.
" Saya dah telefon beberapa kali tapi tak angkat, Cikgu," beritahu kerani sekolah.
" Tak apalah. Esok saya tunggu dia datang ke sekolah," Walaupun perkara itu berlaku secara tidak disengajakan tetapi menjadi tanggungjawab aku untuk memastikan tiada kecederaan yang serius. Lebih-lebih lagi, tindakan keluarga pelajar itu sekiranya dilaporkan kepada pihak polis tentunya masalah bertambah rumit. Kejadian hari itu memberikan peringatan kepadaku agar lebih berhati-hati apabila menggunakan peralatan tajam seperti gunting kerana kesilapan kecil boleh mendatangkan kemudaratan besar.
Keesokan hari, dari jauh aku melihat pelajar itu berjalan berlenggang-lenggok. Aku menunggu di pintu pagar sekolah dengan sebatang rotan sebesar jari kelinking sementara pelajar-pelajar lain sudah berkumpul di tapak perhimpunan. Dia datang sambil tersenyum-senyum. Panas hati aku naik mendadak macam nak terbakar dadaku.
"Hah, kenapa semalam kamu lari," tanyaku dengan suara garang. Sememangnya, di sekolah akulah guru paling garang. Sekali aku bertempik semua lari lintang-pukang.
"Saya takut nanti Cikgu botakkan kepala saya," beritahu pelajar itu sambil tersengih-sengih.
" Tengok telinga kamu," aku melihat cuping telinganya hanya ada kesan luka bergaris halus dan tidaklah serius.
" Lain kali kalau saya nampak rambut kamu panjang saya gunting botak kepala kamu," kataku cuba menakut-nakutkannya.
" Ala, Cikgu. Takutnya ," katanya dengan gerak tubuh meliang-lintuk.
"Sekali aku terajang kang budak di," bisik hati kecilku namun aku tersenyum mendengar kata-kata manjanya itu.
" Dah sudah. Lain kali jangan nak menyusahkan orang," kataku dan dia segera angkat kaki menuju ke tapak perhimpunan. Walaupun kejadian itu sudah puluhan tahun berlalu tetapi masih segar di dalam ingatanku. Andainya, cuping telinganya terputus terkena gunting habislah aku. Apabila mengingati kejadian itu aku terbayang-bayang wajah pelajar itu dan paling aku menyirap rambutnya yang menutup dahi dan sesekali dia menyelak rambutnya ke belakang. Eee....geramnya aku.
Comments
Post a Comment