Episod : Inikah Cinta
Selama di Perlis, rombongan kami sempat singgah makan laksa di Jeti Kuala Perlis yang berlantaikan papan. Sedap tak terkata. Tambahan pula air sirap untuk membasahkan tekak memang padu. Kami bersiar-siar di Tasik Melati dan bergambar di ladang tebu Chuping. Puas berjalan-jalan kembali ke kampung dan hari pun sudah lewat petang.
" Jom kita lumba basikal ." Aku tersengih mendengar cabaran berlumba basikal . Antara dua buah terusan tanah merah yang menjadi laluan basikal dan motosikal penduduk kampung kini menjadi 'track' lumba basikal kami ( sayangnya gambar kami berlumba basikal hilang daripada simpanan tapi saling tak tumpah seperti 'scene' filem SOAL HATI apabila Era Fazira berlumba basikal dengan Aflin ). Aku tertinggal di belakang kerana dia sememangnya handal berbasikal.
Kami mencapai dua batang joran buluh yang tersandar di bawah tiang rumah lalu duduk di atas jambatan kayu. Walaupun aku tidak tahu memancing namun suasana itu terasa amat berbeza. Inikah cinta ? Kami berbual-bual sambil cuba mengenali hati budi masing-masing. Setelah beberapa hari di Perlis, tiba masa untuk pulang ke Klang. Setelah bersalam-salaman dengan tuan rumah , van yang dipandu salah seorang rakan kami meninggalkan kampung dan memori indah yang tidak dapat dilupakan.
Sepanjang perjalanan itu, temanku hanya mendiamkan diri seribu bahasa. Adakah dia cemburu atau berasa dipinggirkan ? Aku tidak meminggirkannya tetapi aku tidak pandai mengambil hati orang. Bagiku sesiapa yang ingin berkawan denganku akan kuterima dengan baik. Entahlah , sukar untuk aku mentafsir perasaan orang.
Sesampai di Klang, masing-masing membawa haluan sendiri sementara menunggu keputusan STPM. Di situlah titik perpisahan terjadi. Berutus-utus surat kukirimkan kepadanya namun tidak berbalas. Ke sana ke sini aku bertanya kepada rakan-rakan tentangnya namun tidak kutemui jawapan.
Pada masa yang sama aku masih tercari-cari pekerjaan sementara menunggu keputusan STPM yang bakal diumumkan beberapa bulan lagi. Semua tempat yang aku pergi baik kilang mahupun pejabat tiada jawatan kosong. Akhirnya , aku menerima peluang pekerjaan sebagai tukang cuci. Namun, hati dan perasaan aku masih teringat akan dirinya dan tidak dapat melupakannya. Andainya, dia tidak lagi mahu menerima aku sekurang-kurangnya nyatakanlah kepadaku agar aku tahu perasaannya yang sebenar.
Sepanjang bekerja sebagai tukang cuci banyak pengalaman yang aku dapat tentang makhluk bernama manusia . Semua itu mematangkan aku yang sedang meniti ke alam dewasa.Setiap hari sesudah Subuh aku berbasikal ke ibu pejabat LPK tempat aku bekerja dan pulang lewat petang.
Lama-kelamaan, ingatanku kepadanya semakin luput. Aku mesti mengubah nasibku itu lebih penting. Tika itu, hati dan perasaan ini tiada siapa yang memilikinya. Aku keseorangan meniti hari-hari yang berlaku. Setiap kali pulang dari tempat kerja aku akan singgah di sebuah jeti memerhati si burung camar terbang melayang-layang di udara. Hempasan ombak pada tiang jeti yang disaluti kulit kerang dan siput amat mengesankan.
Waktu rembang senja aku tiba di rumah dan malamku diisi dengan menulis puisi tentang hati, perasaan dan cinta. Segala-galanya kucurahkan di atas sehelai kertas kosong berbekalkan sebatang pena dan mesin taip Olivette. Hari demi hari berlalu tanpa khabar berita tanpa harapan dan tanpa rasa lagi...
Comments
Post a Comment