Episod : ***ciao
Hari itu seperti hari-hari yang lain, Ketua Pengawas akan berjumpa dengan aku di bilik guru untuk menyampaikan laporan hal-hal berkaitan masalah disiplin di sekolah. Jadi, laporan ini memudahkan aku menyampaikannya kepada Pengetua pula jika Pengetua meminta penjelasan daripada aku.
"Saya mahu awak perhatikan seorang pelajar yang baru masuk sekolah ini. Dia ni selalu hilang pada waktu rehat," kataku kepada Ketua Pengawas memberikan arahan. Ketua Pengawas berlalu dan aku meneruskan tugas hakikiku mengajar subjek Bahasa Melayu di Tingkatan 6. Pelajar-pelajar Tingkatan 6 sudah matang dan seperti emak-emak orang. Pada masa itu, aku masih lagi bujang dan ada juga yang 'cuba try' .
"Cikgu , saya nampak pelajar yang Cikgu suruh saya intai itu menghisap rokok di belakang bangunan sekolah," beritahu Ketua Pengawas kepada aku selepas waktu rehat berakhir.
" Esok, saya nak kamu perhatikan lagi dan kalau dia masih curi-curi menghisap rokok kamu beritahu saya," arahku kepada Ketua Pengawas.
"Baik, Cikgu."
Memang betul sangkaan aku, pelajar yang sama masih mencuri-curi menghisap rokok tetapi kali ini disertai beberapa orang pelajar lain . Mereka merokok secara berjemaah. Perkara ini tidak boleh didiamkan. Lantas, aku menyuruh beberapa orang pengawas membawa pelajar itu ke bilik guru. Dari arah tangga, aku sudah terdengar bunyi bising suara orang bertengkar. Rupa-rupanya, pelajar yang ditangkap kerana merokok itu memarahi pengawas dengan kata-kata kesat.
Di hadapan aku, pelajar itu masih menunjukkan sikap 'gedebe'nya. Dia cuba membuat provok bagi mengeruhkan suasana. Aku menyuruh pengawas agar tidak mendekati pelajar itu . Sebenarnya, aku sudah mempunyai maklumat peribadi pelajar itu bahawa dia seorang pesalah juvana yang baru dibebaskan dari pusat pemulihan akhlak. Aku meminta kerani supaya menghubungi ibu bapanya supaya datang ke sekolah. Namun, berlaku perkara yang tidak dijangka.
Pelajar itu memaki hamun aku di hadapan pelajar-pelajar lain dengan kata-kata kesat kerana tindakan aku menghubungi ibu bapanya. Aku hanya mendiamkan diri dan aku cuba membuat 'reverse' psikologi namun berbakul-bakul maki hamunnya kepada aku. Aku cuma menjawab satu perkataan kesat menyebabkan dia naik angin dan mencapai sebuah kerusi plastik di sebelahnya dan membalingnya ke arah aku. Nasib aku baik kerana sempat menepis kerusi plastik itu dan kalau terkena kepala aku boleh bocor kepala aku. Dia terus berlari ke tingkat atas dan mengamuk di dalam kelas. Kerusi dan meja ditendangnya. Pelajar-pelajar berlari keluar dari kelas.
Kebetulan ketika aku mengekorinya ke tingkat atas, seorang rakan guru turut mengekori aku ke kelas berkenaan. Pelajar itu masih tidak dapat mengawal kemarahannya dan bilik kelas sudah tunggang-langgang dikerjakannya. Dia sekali lagi cuba membaling kerusi plastik ke arah aku dan sepantas kilat aku menendang kerusi itu. Rakan aku cuba menenangkannya tetapi dia masih tidak dapat ditenteramkan dan cuba menyerang rakanku pula . Namun, dengan berbekalkan ilmu seni mempertahankan diri pelajar itu berjaya ditenteramkan tanpa sebarang kecederaan. Mulutnya masih memaki hamun semua orang yang berada di situ.
Tidak lama kemudian, ibunya sampai di pejabat sekolah. Pelajar itu dipujuk ke pejabat untuk berjumpa ibunya dan pengetua. Pengetua mengarahkan aku menunggu di luar bilik. Pertengkaran besar berlaku di dalam bilik pengetua dan akhirnya pelajar itu dibawa pulang oleh ibunya . Ibunya dimaki hamun di luar pejabat. Aku dipanggil masuk ke dalam bilik Pengetua. Aku disoal oleh Pengetua kerana menggunakan perkataan kesat terhadap pelajar itu dan Pengetua menyalahkan aku dalam kejadian tersebut.
Hatiku bagai dirobek-robek dengan pisau. Pedih dan ngilu. Hanya kerana satu perkataan aku membalas maki hamun pelajar itu segala punca masalah dibebankan di atas bahuku. Aku ke bilik guru dan bermenung seketika . Sepanjang hari wajahku muram. Seorang guru perempuan mendekati aku dan meminta aku bersabar dengan apa yang aku lalui tadi. Aku menerima kemarahan Pengetua itu dan aku mengaku kesilapan aku. Sabar adalah kunci utama atas segala permasalahan yang dihadapi.
Comments
Post a Comment