Episod : Apa selepas 26 Julai..?
Hari sebelum berlangsungnya Himpunan Turun Anwar semua media massa terarah kepada PMX. Setiap pertanyaan dan persoalan dijawab oleh PMX ," Kita akan memudahkan mereka yang hendak berhimpun ". Jawapan PMX sebegitu bukan yang diharapkan oleh petugas media massa . Mereka mahu PMX mengeluarkan arahan " Tangkap mereka ! " tetapi itu tidak terkeluar dari mulut PMX.
Berbondong-bondong petugas media mencari-cari siapa yang boleh meleraikan kekusutan yang diciptakan . Mereka berumah tangga di kaki lima hotel 5 bintang tetapi tiada sesiapa di situ. Bukan saja kelibat tapi batang hidung pun tak nampak. Ada yang berandaian mereka sedang berada di tempat lain yang selamat lagi selesa.
Stesen kereta api , di kaki lima restoran mamak , dan di jalan raya para peserta mulai berkumpul. Anggota-anggota keselamatan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Ucapan demi ucapan kedengaran di sana sini dan disambut teriakan ' Turun Anwar' sambil ketawa terkekeh-kekeh. Ada sesuatu yang melucukan tiada siapa yang tahu. " Hidup Anwar Turun Anwar" disambut dengan gelak ketawa apabila yang berucap tersasul.
Perarakan ke Dataran Merdeka dari segenap penjuru bermula. Semua berpakaian serba hitam menuju ke sana. Teringat kata-kata ustaz ,," umpama semut hitam yang berjalan di tempat yang gelap di atas batu yang hitam." Hujan renyai-renyai sebelum itu kulit bagai dipanggang pancaran matahari yang menggigit. Semua yang berkumpul tercangak-cangak ingin tahu apa yang akan berlaku selepas ini.
Suasana riuh rendah apabila seorang demi seorang pemimpin naik ke pentas 'kilat' melontarkan kisah yang sudah diulang siar sebelum ini. Wajah sugul dan kepenatan kerana sajian hari itu sama seperti bulan, minggu dan hari-hari sebelumnya disajikan bagai nasi basi yang masam dan meloyakan lagi membusuk.
Selepas seorang demi seorang berucap di tengah-tengah lautan manusia muncul sosok yang dinanti-nantikan . Namun , ucapan yang ditunggu-tunggu tetap sama seperti sebelum-sebelum ini. Bisik kawan di sebelah " Potong stim la" . Beberapa orang yang berpakaian hitam turut tersenyum dan mengangguk-angguk. Usai jeritan " Turun Anwar" masing-masing mulai meninggalkan tapak perhimpunan. Semangat berkobar-kobar semakin reda dan hanya bunyi perut berkeroncong sejak tadi menjerit-jerit.
Dataran Merdeka kembali kosong. Terngiang-ngiang laungan ' MERDEKA MERDEKA MERDEKA ' . Jeritan ' Turun Anwar' terhenti di situ. Semuanya dan segala-galanya kembali seperti hari-hari sebelumnya. Kuala Lumpur Lumpur kembali sibuk dengan aktiviti perniagaan dan warga asing yang berswafoto bersama-sama rakan-rakan senegara untuk dikirim kepada keluarga di kampung.
Penjual air mineral tersenyum lebar. Penjual burger mengira-ngira wang di tangan. Wajah kepuasan jelas kelihatan kerana keuntungan hari itu sungguh luar biasa daripada biasa. Gerabak LRT, MRT, Komuter , bas RapidKL dipenuhi penumpang yang berbaju hitam dan ramai yang sudah menggantikan dengan baju lain yang dibawa sama. Semangat ' Turun Anwar' berakhir dengan dengkuran keras lagi panjang . Terlena dibuai mimpi. Dari set 'hearphone' melayan lagu Ibnor Rizar ' Mimpi Yang Tak Sudah'...
Comments
Post a Comment