Episod : Ayah Yang Pendiam

Ayah @ Ayoh . Berasal dari Pasir Mas, Kelantan kemudian berhijrah ke Selangor seawal tahun 1960-an. Pelbagai pekerjaan dilakukannya termasuk memandu gerabak kereta api. Ayah seorang yang sangat rajin bekerja dan bakat itu turun kepada aku. Pada kaca mataku, ayah seorang pendiam. Sepatah ditanya sepatah dijawab. Dan suka bersendiri selepas pulang bekerja.
Ayah pencen sebagai pemandu kren di Pelabuhan Utara . Di pekan kecil inilah ayah mencari rezeki membesarkan anak-anak seramai 5 orang. Setiap kali pulang bekerja , ayah akan membawa makanan seperti roti canai atau mi goreng yang dibelinya di Restoran Abdullah depan perhentian bas Pelabuhan Klang. Kuah kari di dalam tin susu yang diikat dengan tali rafia.
Ayah akan keluar rumah ke tempat kerja mengikut shif. Ayah berjalan kaki ke pekan dan menumpang kawannya menunggang motosikal. Ayah akan mengelek sebuah topi keledar . Kadang-kadang ayah akan menunggang basikal ke Pelabuhan Utara. Ayah tidak tahu membaca dan menulis tetapi sangat mementingkan pendidikan anak-anak.
Apabila musim sekolah dibuka awal tahun, ayah akan membawa pulang bergulung-gulung kertas putih pembalut kotak dari tempat kerjanya untuk membalut buku sekolah kami adik-beradik. Begitulah sikap ayah tentang keutamaan belajar. Ayah sanggup buat apa saja untuk menyediakan kelengkapan sekolah.
Sepanjang aku bersekolah rendah (Methodist Boys School , Pelabuhan Klang ) , aku akan duduk di atas palang basikal. Perlahan-lahan ayah mengayuh basikal hingga ke muka pintu bilik darjah. Ayah akan mengintai aku dari celah-celah cermin tingkap nakko dan tersenyum gembira apabila aku bangun menjawab pertanyaan guru. Sehinggalah aku darjah empat, aku tidak lagi dihantar ayah ke sekolah tetapi aku menaiki van sekolah.
Ayah tidak berbuka puasa bersama-sama anak-anak sebaliknya ayah duduk di meja makan berbuka dengan makanan dan minuman yang sudah terhidang manakala kami adik-beradik duduk di lantai sambil dilayan oleh ibu. Apabila menjelang Hari Raya , ayah akan membawa aku ke kedai runcit Raju kawannya untuk membeli bunga api. Ayah sanggup berhutang asalkan anak-anak gembira menyambut Hari Raya.
Ayah tidak bertanya apa-apa tentang pelajaran tetapi apa-apa yang aku dan adik-beradik perlukan akan disediakan oleh ayah. Semasa aku mendapat keputusan cemerlang peperiksaan SRP, ayah menghadiahi aku seutas jam tangan. Ayah juga membelikan aku sebuah mesin taip OLEVETTI kerana minat aku dalam bidang penulisan. Apabila karyaku disiarkan di surat khabar dan majalah, ayah hanya tersenyum apabila ibuku menunjukkan gambar aku di dalam surat khabar.
Namun , kegagalan aku dalam peperiksaan SPM amat mengecewakan ayah daripada raut wajahnya. Apabila aku menyuarakan hasratku untuk menyambung pelajaran ayah bersetuju walaupun ibuku menyuruh aku memikirkan kos yang terpaksa ditanggung sekiranya aku menyambung pelajaran di sekolah swasta di bandar Klang kerana adik-adikku masih bersekolah. Akhirnya, aku menyambung pelajaran di peringkat STPM. Kegembiraan mendapat keputusan cemerlang peperiksaan STPM tidak berpanjangan kerana aku tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke mana-mana universiti. Sekali lagi ayahku berasa hampa.
Tahun demi tahun berlalu. Ayah sempat melihat cucu-cucunya yang masih kecil . Usia ayah tidak panjang. Pada suatu hari, ketika aku sedang mengajar di dalam kelas, kerani sekolah memberitahu bahawa ibuku menelefon menyuruh aku balik ke rumah serta-merta kerana ayahku pengsan tiba-tiba. Sehari sebelum ayah meninggal dunia, ayah melambaikan tangan kepadaku di muka pintu dan mengajak aku masuk ke rumah tetapi aku hanya singgah sebentar malam itu untuk berjumpa ibuku. Kebetulan ketika itu ayahku di dalam rumah.
"Esok , orang datang lagi," laungku dari dalam kereta. Itulah kali terakhir aku melihat ayah. Seminggu sebelum ayah meninggal dunia, aku pernah bermimpi ayah menanggalkan cincin berbatu hijau yang dipakainya dan memberikannya kepada aku.
"Mu pakailah cincin ini. Aku tak mahu pakai lagi," kata ayahku dalam mimpiku.
Ayah pergi sebelum sempat aku berjumpa dengannya seperti janjiku semalam. Sukar untukku menggambarkan perasaan sedihku. Usai pengkebumian ayah dan malam itu kami mengadakan majlis tahlil untuk arwah ayah. Aku berbual-bual dengan kawan-kawan rapat ayah yang turut hadir malam itu.
"Ayah Cikgu sakit dalam perut," kata Pakcik Hashim.
"Sakit? Sakit apa?"
"Dia tak nak bagi tau anak-anak. Dia kata tak nak menyusahkan anak-anak. Katanya harga ubat mahal, 500 ringgit, " ujar Pakcik Hashim. Dia menyapu air matanya dengan hujung lengan bajunya. Aku membiarkan air mataku berguguran.
"Kalau arwah bagi tau saya beli ubat itu," jawabku dalam esak tangis perlahan.
Itulah kenangan aku dengan ayah. Sekarang aku selalu bergaul dengan kawan-kawan arwah ayah di mana-mana aku berjumpa dengan mereka.
"Cikgu, suara Cikgu saling tak tumpah suara arwah Che Wil, " kata Haji Sagap yang setiap hari aku berjemaah sama dengannya di masjid.
' Sama sungguh, " sambung Haji Sagap dengan pelat Pulau Pinangnya.
" Saya boleh kenang arwah ayah Cikgu bila dengar Cikgu bercakap. Suara lenggang lenggok sama sungguh. Cara berjalan pun sama," katanya lagi. Aku hanya tersenyum. Ayah tetap kekal di ingatanku . Al Fatehah ( dibaca) untuk arwah ayahku Che Wil Bin Che Isa . Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah swt. Amin Ya Rabbal Alamin.

Comments