Episod : Rezeki Tak Salah Alamat


Anak bongsuku Eiman Danish lahir selepas abangnya Ammar Mukriz berusia enam tahun dan Ammar Mukriz lahir selepas kakaknya berusia enam tahun . Sewaktu Eiman menduduki peperiksaan UPSR dia telah membuat satu permintaan yang 'mengejutkan' aku dan isteri kerana dia membuat keputusan untuk belajar di Maahad Tahfiz. Setelah aku merujuk kepada beberapa rakan ustaz akhirnya aku dan isteri bersetuju dengan permintaannya itu. Aku tidak mahu dia bersikap 'hangat-hangat tahi ayam'.

Aku memberitahu Eiman bahawa dia tidak boleh berpatah balik selepas memasuki Maahad Tahfiz. Akhirnya, Eiman dihantar ke Maahad Tahfiz yang aku pilih untuk mendalami dan menghafaz Al Quran. Sepanjang pembelajaran tiada perhubungan secara langsung kerana telefon bimbit tidak dibenarkan dibawa masuk. Setiap masa aku dan isteri berdoa agar Eiman diberikan kecekalan sepanjang belajar di situ. Bilangan pelajar hampir 80 orang dengan 7 hingga 8 orang tenaga pengajar diketuai seorang Mudir, Ustaz Sazali.

Hari demi hari berlalu , juzuk demi juzuk dihafaz sampailah musibah Pandemik COVID -19 dan pembelajarannya terencat. Eiman pada ketika itu sudah menghafaz 10 juzuk dan menerima sekeping sijil daripada pihak JAIS dan saguhati sebagai penghargaan. Pembelajaran menggunakan kaedah 'video call' sangat mencabar kerana masanya yang tidak menentu. Sekali lagi Eiman membuat kejutan dan memberitahu aku untuk menarik diri daripada Maahad Tahfiz. Aku memintanya berfikir dengan mendalam kerana tiga tahun dia sudah mengikuti pengajian Al Quran namun dia nekad dengan keputusannya.

Ketika itu usianya sudah mencecah 16 tahun . Aku menamatkan pengajiannya di Maahad Tahfiz. Aku mendaftarkan permohonan ke Tingkatan 4 di SMK Bukit Tinggi melalui PPD Klang. Eiman diterima masuk belajar di Tingkatan 4 dan aku membeli dua pasang pakaian seragam sekolah serba lengkap. Pada masa yang sama , permohonan ke Kolej Vokasional (KV) telah dibuka untuk pelajar-pelajar lepasan PT3.

Ammar Mukriz, abang Eiman merupakan bekas pelajar KV dalam jurusan automotif. Eiman mempunyai minat yang sama seperti abangnya. Aku mengemukakan permohonan ke KV namun satu saja kekurangan syarat. Eiman tidak pernah menduduki pemeriksaan PT3 . Hanya berbekalkan sijil UPSR dan Sijil Tahfiz . Sewaktu aku menyerahkan borang permohonan kepada kerani bertugas namun ditolak mentah-mentah kerana tidak cukup syarat. Aku merayu kepada kerani bertugas supaya diberikan pertimbangan dahulu.

Tanpa disangka-sangka, seorang lelaki India ( mungkin pensyarah berjawatan ) telah melihat aku di kaunter . Akhirnya, atas arahan pegawai itu borang Eiman diterima dan menjelang sekolah dibuka aku mendapat panggilan dari pejabat KV bahawa Eiman diterima belajar di KV dalam jurusan automotif peringkat diploma. Aku amat bersyukur dan segala pakaian seragam sekolah dan kasut kuberi kepada kawan Eiman yang belajar di SMK Bukit Tinggi.

Sejak Eiman belajar di KV , aku sentiasa memberikan galakan kepadanya sambil berpesan kepadanya agar meneruskan latihan hafazan di rumah. Setiap kali solat , Eiman akan menjadi imam. Pernah aku menyuruh Eiman menjadi imam sewaktu singgah bersolat di R&R . Seorang pakcik menyapa aku dan bertanya sama ada Eiman seorang pelajar Tahfiz kerana bacaannya lancar dan aku mengiyakannya. Sejuk hatiku.

Semalam Eiman membawa pulang keputusan peperiksaan akhirnya . Alhamdulillah tidak mengecewakan dan dia telah membuktikan bahawa dia boleh melakukan yang terbaik. Hari ini Eiman diterima menjalani latihan praktikal di syarikat permotoran VOLVO selama enam bulan. Aku bercadang supaya Eiman menyambung pengajiannya di UTem ( Universiti Teknikal Melaka ) dalam bidang sama di peringkat degree seperti abangnya. Lagipun, di UTem ada pengajian peringkat sijil hafazan Al Quran . Kini, sudah ada dua orang mekanik di rumahku . Seorang mekanik HONDA seorang mekanik VOLVO. Semoga tercapai cita-cita yang diimpikan . Amin ya rabbal alamin ♥️

Comments

Popular posts from this blog