Episod : Ibuku Guruku
Dialah ibuku. Dialah guruku. Dialah yang mengajar aku menulis, membaca dan mengira. Minat membaca di dalam tubuh ibuku mengalir deras di dalam tubuhku. Ibuku mengajar aku erti disiplin. Ibuku mengajar aku erti berjimat-cermat. Ibuku mengajar aku memasak. Ibuku mengajar aku memilih ikan dan sayur di pasar. Ibuku mengajar aku berkomunikasi dalam pergaulan.
Ibuku sangat menjaga aku sama ada pelajaran mahupun pergaulan. Sehingga hari ini , aku masih berpegang kepada larangan ibuku , JANGAN MEROKOK ! Tiada tapi-tapi . Amaran tetap amaran. Ibuku juga melarang aku pergi ke laut untuk berenang dengan kawan-kawan sepermainan. Akhirnya, aku tidak pernah tahu berenang hanya tahu menyelam seperti itik di parit.
Ibuku mengajar aku perkataan dan makna. Ibuku amat memahami erti semantik. Kata ibuku, dia dulu sangat ingin menjadi guru tetapi keadaan ketika itu tidak mengizinkannya memenuhi impiannya. Ibuku pandai menulis. Aku ialah acuan ibuku. Ibuku tidak akan membiarkan aku bersendirian tatkala menyiapkan kerja sekolah hingga larut malam. Begitu juga, semasa aku di usia remaja dan begitu aktif berkarya , ibuku menjadi teman setia hingga awal pagi apabila jari- jemariku berhenti mengetuk mesin taip Olevetti hadiah daripada ayahku.
Air mata ibuku gugur satu persatu apabila aku pulang membawa slip SPMku yang hanya layak mendapat SAP. Air mata ibuku meluncur laju saat aku menunjukkan slip STPMku kerana terlalu gembira. Dan, sekali lagi air mata ibuku bercucuran tatkala aku mendapat surat tawaran menyambung pengajian dalam jurusan MASSCOM di ITM.
Ibuku hanya mendiamkan diri apabila aku memberitahunya aku gagal mendapat tempat di ITM kerana aku sudah terlewat ketika sampai di dewan. Ibuku tidak memarahi aku sebaliknya menganggap semua itu sudah ditakdirkan. Ibuku tersenyum bangga apabila aku ditawarkan menjadi guru di sebuah sekolah swasta. Impian ibuku hendak menjadi seorang guru telah terbalas apabila aku kini bergelar guru.
Betapa doa dan harapan ibuku, akhirnya aku berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, Universiti Putra Malaysia setelah 19 tahun menanti bagaikan bulan jatuh ke riba. Ibuku paling gembira dan bersemangat apabila aku memberitahunya hari dan tarikh konvokesyen. Sekurang-kurangnya , ibuku dapat menyaksikan anaknya ini menaiki pentas utama menerima skrol sambil disaksikan ribuan mata.
Wajah ibuku tidak lekang daripada senyuman dan tidak puas bergambar bersama. Kini, wajah ibuku yang sangat aku rindui. Ibuku telah pergi selama-lamanya tujuh tahun yang lalu. Di sisiku , ibuku telah menghembuskan nafas terakhirnya kembali kepada Penciptanya. Sesungguhnya ibuku seorang guru yang sentiasa hidup di dalam diriku selagi hayatku dikandung badan. Al fatehah (dibaca ) untuk ibuku. Amin ya rabbal alamin.
Comments
Post a Comment