Episod : HARI GURU

Semalam tarikh keramat 16 Mei 2025, hari yang sangat bersejarah kerana setiap tahun pada tarikh ini Hari Guru disambut di seluruh pelosok negara. Setelah aku bersara dari alam persekolahan pada 2005 selepas 25 tahun menabur bakti kepada anak-anak bangsa kali ini aku diraikan dalam sambutan Hari Guru . Perasaanku bercampur antara sedih dan gembira. Rasa sedih kerana ada kalangan rakan guru telah kembali kepada Pencipta dan rasa gembira kerana aku masih berpeluang merasai suasana Hari Guru.
Beberapa hari sebelum itu, aku dan rakan-rakan guru lain sudah menerima kad jemputan rasmi Hari Guru daripada Jawatankuasa Sambutan. Baru dua bulan yang lalu aku menyertai pasukan tenaga pengajar di Zenith Private School dan hampir sebulan aku memikirkan kewajaran untuk bekerja semula. CEO meletakkan harapan tinggi agar aku menerima tawaran tersebut kerana mereka mahu aku berkongsi pengalaman aku dalam bidang akademik hingga sekarang sudah 38 tahun.
Akhirnya, aku menerima tawaran tersebut dengan syarat aku hanya ingin menjadi tutor sambilan (part time). Walaupun pihak mereka menawarkan gaji yang agak lumayan sebagai tutor sepenuh masa namun aku terpaksa menolaknya dengan alasan waktu bekerja yang terlalu panjang dan kudratku tidak lagi seperti dulu. Aku masih teringat kata-kata sahabatku arwah Prof. Dr. Yusof ," Mi, bila umur kau sudah mencecah 50 tahun , kau sudah hilang stamina yang tinggal hanyalah semangat !" Baru aku sedar akan kebenaran kata-kata arwah 20 tahun lalu. Kini, aku bekerja di bawah dua majikan , iaitu Zenith dan PT Era Tinta yang telah aku sertai pada tahun 2024. Ada dua lagi tawaran yang aku sedang pertimbangkan , satu di sebuah pusat tuisyen di Alam Impian dan satu lagi sebagai tutor sambilan di sebuah universiti awam.
Acara sambutan Hari Guru dimulai dengan ucapan oleh Pengerusi Majlis, iaitu seorang pelajar 'Senior'. Aku sebenarnya amat resah jika dipanggil untuk menyanyi atau menari kerana aku seorang pemalu. Kalau menyanyi seorang diri di dalam kereta bolehlah. Acara pertama ialah permainan kerusi muzik. Kami berasa sangat seronok dapat mencuba nasib kerana pemenang akan menerima sebuah 'hamper'. Nasibku tidak begitu baik kerana aku tersingkir pada pusingan keempat. Suasana amat lucu dan gelak ketawa murid-murid mengiringi permainan yang berlangsung di dewan sekolah.
Persembahan murid menyusul satu-persatu hinggalah sekali lagi guru-guru diminta melakonkan drama sebabak suasana pada hari
'report card'. Aku dipilih sebagai guru kelas sambil dibantu seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden sebagai 'back up' aku. Kami dibahagikan kepada dua kumpulan dan akhirnya kumpulan aku memenangi slot drama pendek itu . Sebenarnya acara sebegini merapatkan hubungan kami sebagai tenaga pengajar ditambah pula dengan ucapan bernas oleh CEO yang berpengalaman luas dalam bidang akademik. Aku merupakan tutor paling senior di sekolah itu berdasarkan pengalaman dan usiaku berbanding dengan CEO dan Tuan Pengetua. Aku sudah tua sebenarnya . Nokhtah !.
Kemudian, kami dijamu sarapan di sebuah bilik yang dihias cantik oleh murid-murid 'Senior'. Usai bersarapan, kami kembali ke dewan untuk meneruskan acara Hari Guru. Semua acara selesai kira-kira pada jam 12.45 tengah hari dan aku bergegas pulang ke rumah untuk membeli makanan tengah hari buat isteri yang sedang menanti di rumah. Sejak isteriku kurang sihat dua tahun lalu, dia tidak lagi memasak sebaliknya tugas memasak diambil alih anak bujangku atau aku membeli nasi bungkus sahaja. Walaupun doktor pakar tidak memberikan sebarang harapan untuk dia pulih sepenuhnya daripada penyakit Demithia namun aku percaya dan yakin setiap penyakit ada penawarnya. Kuajar dia membaca Al-Quran walaupun tiada sebutir pun suara yang kudengari tapi tak mengapa sekurang-kurangnya dia mendengar.
Selesai solat Jumaat, aku bergegas ke sebuah restoran untuk majlis makan tengah hari yang turut dihadiri oleh CEO, Pengetua, Presiden dan rakan-rakan guru yang lain. Kami juga diberikan cenderamata oleh pihak sekolah sebagai kenang-kenangan. Sudah lama benar aku tidak menerima hadiah Hari Guru sejak bersara. Segala memori berputar ligat sewaktu sambutan Hari Guru ketika aku masih berkhidmat 25 tahun dulu dan hanya senyuman terukir di bibirku.

Comments

Popular posts from this blog