Episod : Mengejar Pelangi
24 April 2025 keputusan SPM 2024 diumumkan di seluruh negara. Ada tangisan dan sorak-sorai tatkala menerima slip keputusan masing-masing. Aku dapat membayangkan suasana itu yang masih segar dalam ingatanku meskipun 41 tahun sudah berlalu .
Aku mulai berasa tekanan yang sangat berat dengan beberapa subjek sukar seperti Kimia, Biologi, Fizik dan Matematik Tambahan. Permohonan aku untuk berpindah ke aliran Sastera tidak dilayan oleh guru-guru. Mahu tak mahu, aku meneruskan juga pembelajaran dengan perasaan terpaksa dan duka.
Usai pemeriksaan SPM, aku bekerja sebagai buruh kasar di Pelabuhan Utara . Tugas rutin harianku memunggah kayu-kayu beluti sebesar lengan aku dan papan-papan ke dalam kontena . Kulitku semakin gelap akibat dibakar terik matahari . Usaha aku untuk bekerja di kilang tidak kesampaian seakan-akan tertutup akibat kemelesetan ekonomi pada ketika itu.
Setelah tiga bulan menanti akhirnya tarikh keputusan SPM telah diumumkan melalui radio, televisyen dan surat khabar. Hatiku berdebar-debar tatkala berjalan kaki ke sekolah. Bermacam-macam perkara berlegar-legar di pundakku. Sesekali aku melepaskan keluhan panjang.
Aku tidak meletakkan harapan yang tinggi namun sekurang-kurangnya pangkat kedua sudah mencukupi bagiku. Teman-temanku sudah ramai berkumpul di hadapan pejabat sekolah. Ada yang melompat kegembiraan setelah mendapat keputusan cemerlang. Aku masih lagi termanggu-manggu. Akhirnya, slip keputusan SPM aku diserahkan oleh Cikgu N.
" Kenapa keputusan awak teruk sangat?," tanya Cikgu N. Teman-temanku yang lain mencuri-curi melihat slip keputusan aku. Seketika aku berasa suasana bertukar hening.
Aku hanya mendapat keputusan SAP ( Sijil Am Pelajaran) sedangkan teman-temanku bersorak girang dengan keputusan cemerlang. Seorang demi seorang meninggalkan aku dan hanya aku menatap slip keputusan itu sendirian. Tiada kata yang hendak kuluahkan. Tiada rasa yang hendak aku kongsikan. Perlahan-lahan aku meninggalkan perkarangan sekolah dan mengikut langkah kaki entah ke mana.
Antara sedar dengan tidak aku sudah berada di separuh jalan menuju ke bandar Klang. Wajah ibu bapaku silih berganti di ruang mataku. Setitik air mataku tidak gugur meskipun rasa putus asa sangat menebal. Fikiranku bercelaru. Aku berhenti di tengah-tengah Jambatan Kota Klang melihat arus Sungai Klang mengalir lesu menghanyutkan sampah sarap ke muara. Hari semakin senja.
Aku berpatah balik pulang ke rumah. Remang-remang senja masih bersisa. Sesampai di rumah , aku disambut oleh ibu bapaku dengan wajah gusar.
" Pergi mana tak balik-balik?," tanya ibuku apabila melihat aku di muka pintu. Aku menyerahkan slip keputusan SPM aku. Wajah ibuku berubah sedih dan tidak berkata apa-apa. Ibuku terduduk di kerusi rotan ruang tamu rumah. Ayahku duduk di pangkin luar sambil menghisap rokok. Tiada kata-kata yang keluar dari mulutnya.
"Orang nak sambung STPM," kataku mengharapkan kata balas ibu bapaku.
" Ayahmu mana ada duit nak tanggung bayar ," balas ibuku. Ayahku berdehem beberapa kali di atas pangkin dan menikmati kepuasan merokok.
" Kalau mu dah buat keputusan, mok ayoh ikut saja." Walaupun perasaan pilu masih berbekas di hati namun aku sudah menyimpan azam untuk menebus kembali kegagalan SPM aku. Benarlah kata bijak pandai ' gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya'.
Berkat usaha dan doa ibu bapaku serta kebergantungan kepada Allah , akhirnya aku mendapat keputusan yang baik dalam pemeriksaan STPM . Namun, akhirnya selepas 19 tahun kemudian barulah rezekiku untuk melanjutkan pengajian di UPM ( Universiti Putra Malaysia ) telah menjadi kenyataan . Alhamdulillah!.( Al Fatehah untuk mok dan ayoh ).
Comments
Post a Comment