Episod : Derita Ini Milikku
Tiada sesiapa pun di atas muka bumi ini mendambakan penderitaan . Namun , sebagai hamba Tuhan kita tidak dapat menolaknya andai itulah takdir. Sejak 2023, aku berhadapan dengan cabaran yang amat berat apabila isteriku disahkan menghidap gejala Damethia @ Alzheimer pada usia yang bukan kebiasaannya berlaku. Hanya sesetengah kes pesakit yang mengalami gejala ini berumur kurang 50 tahun.
Mahu tidak mahu , aku perlu menghadapinya dengan hati yang sabar dan tabah. Bukan mudah. Aku berasa inilah episod hidupku yang paling mencabar hati dan perasaanku. Bermula dengan hilang ingatan dan habit baharu yang tidak pernah berlaku selama ini. Kuharap perkongsian kisah ini untuk sama-sama direnungi sebagai suatu ikhtibar yang berguna pada masa akan datang. Puncanya ? Aku juga telah ditemu bual oleh doktor pakar neurologi di sebuah hospital swasta semasa mula-mula aku merujuk kes isteriku kepadanya.
" Apakah pekerjaan isteri Encik Azmi ?," tanya doktor .
" Isteri saya membantu saya menguruskankan perniagaan," jawabku cuba meneka soalan doktor.
" Pekerjaan apa yang isteri Encik Azmi lakukan?"
" Isteri saya membantu saya mengemas kini akaun , pendaftaran pelajar . menyusun jadual dan melayani pelanggan kami, " jawabku panjang lebar.
" Tetapi selepas Pandemik Covid-19, semua tempat perniagaan saya terpaksa ditutup dan isteri tidak lagi bekerja. Isteri saya hanya tinggal di rumah seorang diri." sambungku lagi. Doktor hanya mengangguk-angguk dan menulis sesuatu.
" Anak-anak masih tinggal bersama Encik Azmi?".
" Ya. Hanya dua anak lelaki masih tinggal bersama-sama tetapi seorang sudah bekerja dan seorang lagi masih belajar di kolej."
" Apa aktiviti isteri Encik Azmi di rumah?"
" Tiada apa-apa , doktor. Hanya melakukan kerja rumah seperti mencuci pakaian, melipat pakaian dan menyiram pokok bunga."
" Sejak bila Encik Azmi perasan isteri tidak mampu melakukan kerja rumah seperti biasa ?," tanya doktor dengan wajah serius.
" Sejak dia tidak bekerja. Banyak perkara yang saya suruh isteri lakukan dia tidak dapat melakukannya. Contohnya, dia tidak tahu memasang dan menutup suis lampu dan kipas di rumah. Dia tidak tahu menggunakan peralatan di dapur. Dia tidak lagi mengemas dapur dan pakaian dengan sempurna," jawabku satu - persatu.
Doktor menulis sesuatu di atas kertas di hadapannya.
"Jadi, apakah kesimpulan doktor tentang masalah isteri saya?," tanyaku.
"Saya berpendapat perubahan masa dan suasana menyebabkan isteri Encik Azmi tidak lagi melakukan rutin harian. Dia kurang menggunakan mindanya menyebabkan lama-kelamaan mindanya semakin lemah dan daya ingatannya semakin berkurangan. Keadaan ini akan bertambah serius dari semasa ke semasa," terang doktor secara terperinci.
" Apakah ada ubat yang perlu diberikan kepada isteri saya,doktor?"
" Buat masa ini tiada ubat khusus untuk masalah isteri Encik Azmi."
Pertemuan aku dengan doktor pakar neurologi berakhir di situ. Beberapa siri ujian kesihatan yang dijalankan juga tidak menunjukkan dapatan yang positif. Akhirnya, kes isteri dirujuk ke hospital kerajaan. Tiada keperluan untuk aku merujuk kes isteriku kepada doktor pakar yang lain. Nokhtah !.
Hari demi hari, keadaan semakin serius. Secara luaran atau fizikal tiada perubahan yang ketara pada dirinya. Makan minumnya seperti biasa. Cuma, aku sudah mulai belajar melakukan kerja rumah seperti mencuci pakaian, melipat pakaian, menyusun dan menyidai pakaian. Kadang kala , aku memasak sendiri makanan tetapi tidak sesedap masakan isteriku. Pada aku, isteriku seorang ' Chef' yang sangat handal. Apa sahaja menu makanan barat, timur, selatan ,utara semuanya dia tahu. Bahkan, baru-baru ini semasa berkunjung ke rumah seorang teman kami, dia memberitahu sangat merindui air tangan isteriku yang lazat . Air mata ini kutahan daripada bercucuran.
Aku sudah mangli dengan kerja rumah yang selama ini diuruskan oleh isteriku . Mencuci pinggan mangkuk dan membersihkan dapur serta bilik tidur sudah menjadi rutinku. Namun, ada kalanya kuhumban segala pakaian dan pinggan mangkuk di hadapanku apabila kesabaranku mencapai titik nokhtah dan sebal sepanjang hari. Begitulah yang kuhadapi saban hari dan isteriku hanya melongo di hadapan televisyen tanpa membuat apa-apa. Kubiarkan dia sebegitu kerana tiada apa lagi yang dapat kuharapkan daripadanya.
Tugasan harianku semakin bertambah selain mengajar . Tekanan dan kepenatan tidak dapat kutanggung malah ada waktunya kubiarkan segala-galanya. Kucapai kunci kereta lalu memandu tanpa tujuan. Sepanjang-panjang jalan aku melayani perasaan dan apabila ketenangan kembali datang aku memulas stereng keretaku pulang ke rumah. Berbagai-bagai ikhtiar sudah kulakukan mengikut kata orang tetapi belum kutemui ubat paling mujarab bagi merawat isteriku. Allah sedang menguji aku !.
Perlakuannya yang gemar termenung dan pandangan kosongnya membuatkan aku berasa berputus asa. Sekecil-kecil perkara akan membuatkan aku berasa 'stres'. Itulah sebab aku selalu mengalami sakit kepala dan bacaan tekanan darahku tinggi. Kini, aku dibelenggu derita yang tidak berkesudahan. Ada waktunya aku perlukan masa untuk bersendirian merenung masa depan dan cabaran yang mendatang.
Memang benarlah menjaga orang yang sakit lebih sakit. Aku cuba hadapi semua ini dengan pasrah kepada-Nya. Meskipun , sebilangan besar mereka yang cuba merawat isteriku memberitahu bahawa isteriku ' terkena ' sesuatu akibat iri hati namun bagiku setiap penyakit datang daripada Allah dan kepada-Nya segala penawar. Doa yang tidak pernah lekang dari bibirku agar suatu hari nanti isteriku kembali pulih seperti sedia kala.
'Dapatkah lagi aku merasa keenakan laksam Kelantan, laksa Johor dan sizzling yee mee yang enak ?". Kepada-Mu , Ya Allah aku berserah kerana derita ini milikku !.
Comments
Post a Comment