Episod : Ramadan Ini
"Nanti suruh ibu makan sama," pesanku kepada anak lelakiku yang sedang memasak di dapur.
" Ayah potong buah tembikai ,ya. Harap-harap buahnya manis," aku membuka pintu peti sejuk lalu mengambil sebiji buah tembikai yang aku beli siang tadi. Aku membelah dua buah tembikai dan separuh lagi aku simpan semula di dalam peti sejuk.
Semalam selepas Maghrib, aku bersolat jemaah dengan isteriku. Usai solat aku mengajarnya membaca niat berpuasa. Mulutnya terkumat-kamit.
" Esok kita berpuasa bulan Ramadan," ujarku sambil melihat sejadah . Isteriku hanya diam seribu bahasa tanpa reaksi. Begitulah keadaannya sehari-hari. Kadang-kadang termenung di kerusi dan kadang-kadang keluar masuk bilik.
" Bulan puasa tak boleh makan. Jangan tinggal solat ," kataku sebelum meninggalkannya di ruang tamu. Aku masuk ke bilik untuk mula mengajar dari jam 8.00 malam sehingga jam 10.00 malam. Begitulah rutin harianku .
" Esok kita bangun sahur pukul 5.30 pagi. Makan lauk yang ada dipanaskan semula," kataku lagi mengingatkannya tentang puasa dan sahur. Dia hanya diam dan duduk di sofa menonton televisyen.
Usai berbuka puasa, aku bersiap-siap untuk ke masjid. Malam ini aku tidak menemaninya bersolat Isyak seperti biasa. Hari pertama aku dapat mengikuti solat Tarawih kerana hanya hari AHAD aku bercuti kelas malam. Selesai solat Tarawih, aku pulang ke rumah sekitar jam 10.20 malam. Sesampai di rumah tiada sesiapa di ruang tamu. Aku ke bilik tidur dan dia sudah lena tidur . Sekarang rutin tidurnya sudah berubah. Pukul 9.30 malam dia akan masuk ke bilik tidur. Aku masih bekerja hingga 10.00 malam .
Kuajak anakku untuk memasang lampu kelip-kelip. Inilah kali pertama aku membeli dan memasang lampu kelip-kelip di rumah sejak mendirikan rumah tangga. Bukan tak suka tapi tak teruja. Tentu cucu-cucuku kehairanan kerana di rumah Che ada lampu kelip-kelip. Usai memasang lampu kelip-kelip, aku ke ruang tamu dan duduk menonton televisyen. Anakku sudah ke bilik tidurnya. Aku melihat lampu yang dipasang tadi berkelip-kelip. Hidup ini semakin sunyi .
Comments
Post a Comment