Episod : Balik Kampung

Kisah balik kampung sudah pernah kucoretkan beberapa kali namun setiap kisah ada cerita di sebaliknya. Aku tiba di KLIA sekitar jam 6.00 pagi dan menunaikan solat Subuh di surau yang disediakan. Rombongan ke Kelantan kali ini disertai adikku dan suaminya serta sepupuku bersama-sama anak bongsunya. Sehari sebelum bertolak ke Kelantan perutku sudah mula meragam. Jumaat malam aku singgah makan di sebuah warung untuk makan malam kerana malam itu aku menumpang tidur di rumah anakku di Jenderam Hilir. Usai makan isi perutku mula 'berperang' . Mungkin makanan yang kumakan tidak bersih atau sudah rosak kerana perutku amat sensitif.
Keesokan pagi, aku mengalami cirit-birit dan beberapa kali aku berulang alik ke tandas 'airport' sementara menunggu penerbangan MH1384 ke Kota Bharu. Kapal terbang berlepas pada pukul 7.55 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sekitar jam 9.00 pagi. Sekali lagi, aku bergegas ke tandas untuk memerut. Kami menyewa dua buah kereta, Bezza dan Honda CITY. Rancangan asal kami akan bersarapan di Restoran Nasi Kerabu Lieney di Jalan Pengkalan Chepa tetapi hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana terlalu ramai pelanggan yang beratur. Kami pergi ke cawangannya yang satu lagi di bandar pun ramai pelanggan sedang beratur. Jadi, kami singgah bersarapan di sebuah warung di tepi jalan dan menjamah nasi kerabu bungkus.
Usai bersarapan, kami ke Kampung Palekbang, Tumpat untuk menziarahi pusara kaum kerabat . Di Tanah Perkuburan Islam Kampung Palekbang terdapat pusara datuk, nenek, makcik dan moyangku. Hujan renyai-renyai menyambut ketibaan kami sebalik sahaja kaki melangkah keluar dari kereta. Usai berdoa kami bergerak ke Masjid Kampung Palekbang kerana perutku meragam lagi. Dari situ, kami singgah di Laman Kampun Warisan Masjid Kampung Laut . Tidak berlama-lama di situ kerana sudah kerap kami ke situ setiap kali balik kampung. Seterusnya, kami ke Restoran Nasi Ulam Cikgu di Kota Bharu.
Berbas-bas pelanggan dari luar negeri Kelantan singgah makan di situ. Sememangnya , harga makanan di situ sangat murah dan banyak pilihan lauk selera kampung. Selepas makan, kami bergerak ke Tune Hotel bersebelahan KB Mall untuk 'check in'. Bilik penginapan aku 711 di Tingkat 7 walaupun sempit tetapi selesa. Tiada pemandangan luar yang boleh dilihat kerana bilik itu tidak bertingkap dan tidak
bising dengan bunyi kenderaan. Aku dan isteri bersolat jamak dan sempatlah aku berehat seketika sebelum keluar semula dari hotel sekitar jam 3.30 petang.
Destinasi seterusnya ialah Pasar Besar Siti Khadijah. Kami bercadang untuk membeli kain tudung dan kain songket lelaki untuk dipakai semasa majlis resepsi walimahtulurus anak buahku nanti. Kami singgah membeli di kedai rakan kami di Tingkat 3. Harga diberikan sangat murah dan berbaloi berbanding kedai lain. Jam menunjukkan pukul 5.30 petang dan pulang ke hotel semula. Aku dan isteri berasa dahaga lalu kami singgah di sebuah kedai makanan di belakang pasar. Namun , hajat hendak membasahkan tekak tak kesampaian air minuman yang ditunggu hampir 20 minit tak kunjung tiba. Aku mengajak isteriku pulang ke hotel untuk berehat dan minum air mineral di bilik hotel.
Selepas Maghrib , kami ke Restoran Baan Suwarin yang terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu yang terkenal dengan masakan Thai. Ramai pelanggan sedang menunggu giliran untuk mendapatkan tempat duduk tetapi adikku sudah menempah meja untuk enam orang jadi kami tidak menunggu lama. Kami memilih menu yang tular di media sosial.Pelanggan masih berpusu-pusu dan sabar menunggu giliran untuk menjamu selera. Jarum jam menunjukkan pukul 10.30 malam dan kami meronda-ronda di dalam bandar dan singgah minum di sebuah warung untuk pekena teh tarik sebelum pulang ke hotel. Esok seawal jam 5.00 pagi, kami akan bergerak ke Rantau Panjang untuk menyeberang masuk ke Narathiwat.
Keterujaan untuk melancong ke Narathiwat tidak dapat disembunyikan. Seawal jam 4.30 pagi, aku dan isteri sudah bersiap-siap untuk bergerak ke Kompleks Imigresen Rantau Panjang. Kami berkonvoi ke Rantau Panjang meredah kegelapan malam sambil melayan lagu-lagu lama dari Radio Klasik Kelantan. Kenderaan tidak banyak di jalan raya mungkin kerana masih awal pagi. Kami sampai di perkarangan Masjid Beijing,Rantau Panjang sekitar jam 6.00 pagi. Kata ejen (bukan ejen Ali) yang menguruskan perjalanan kami ke Narathiwat kami mesti berada di pintu kompleks jam 7.00 pagi.
Usai solat Subuh, kami bergegas ke tempat yang dijanjikan. Kereta diparkir di tempat parkir berbayar dan kami berjalan kaki ke kompleks. Mungkin ejen 'on the way' kata hatiku apabila jarum jam menunjukkan pukul 7.30 pagi. Adik perempuanku menghubungi ejen dan kata ejen dia sedang 'on the way' akan sampai sekitar jam 8.00 pagi. Kami masih menunggu dengan sabar dan aku yang mengalami masalah cirit-birit sejak hari pertama sampai berasa kurang selesa. Aku ke tandas di kompleks untuk membuang hajat kali ke -3 pagi itu.
Jarum jam terus berputar menunjukkan pukul 9.00 pagi. Muncul ejen dengan wajah muram.
" Ada masalah," terpacul keluar dari mulut ejen.
" Van tak 'ready' jadi tak ada van," kata ejen.
"Jadi, tak jadilah pergi Narathiwat?," tanyaku.
" Tak jadi. Tapi kalau nak masuk Golok bolehlah naik motorsikal," kata ejen. Kami tidak bersetuju dengan cadangan spontan itu.
" Duit dah bayar macamana?," tanya adikku.
" Duit tu kena tunggu 'refund' daripada boss," jawab ejen. Kami pun berbincang dan memang tiada apa-apa lagi yang hendak diharapkan. Kami membuat keputusan untuk kembali ke Kota Bharu. Ejen memberitahu Plan B.
" Kalau begitu kita ke Tak Bai."
" Ok la. Kalau macam tu. Tapi naik apa," tanya adikku.
" Kita naik feri dari Pengkalan Kubur, (PK) " jawab ejen.
Kami pun bergerak ke PK dan singgah bersarapan di 'Warung Teh Beng 50 sen'. Aku memilih nasi lemak yang tak berapa lemak Dan teh O panas bagi mengurangkan masalah di dalam perutku yang sedang 'berperang' . Selepas itu, kami bergegas ke PK untuk menaiki feri di Kompleks Imigresen Pengkalan Kubur.
Pemeriksaan oleh pihak Imigresen sangat pantas kerana tidak ramai pengunjung ke Takbai. Tidak kurang 15 minit menaiki feri, kami berlabuh di Pangkalan Imigresen Takbai. Setelah melalui pemeriksaan pasport, kami berjalan kaki meronda-ronda di pekan kecil Takbai. Rasanya kami saja rombongan pelancong dari Malaysia. Hampir 80% kedai ditutup kerana pengkalan haram sudah ditutup. Tiada lagi pergerakan menyeberang dari Malaysia ke Takbai dan peniaga-peniaga terpaksa tutup kedai. " Betul-betul kena 'scam'," bisik hati kecilku. Duit bath yang aku tukar di 'money changer ' pun tidak luak digunakan kerana peniaga-peniaga di situ menerima wang ringgit Malaysia.
Aku membeli kacang dan sepasang selipar untuk cucu perempuanku. Kami menaiki Tut Tut iaitu sebuah motosikal yang diubah suai untuk membawa penumpang. Kalau dalam filem 'Combat' motosikal ini dibawa oleh tentera German. Sesampai di 7-Eleven, kami membeli beberapa barang makanan untuk dibawa pulang. Pemilik motosikal mencadangkan kami makan tengah hari di tempat makan yang dia rekomen sedap dan murah. Cuping telinga aku berasa tebal apabila mendengar kata-kata lunak daripada orang sekeliling. Kami berpatah balik ke pengkalan untuk pulang ke Malaysia . Kami akan mencari tempat makan di sekitar PK nanti.
Setelah membayar tambang Tut Tut sebanyak RM5 satu kepala sekali lagi kami melalui pemeriksaan Imigresen. Kali ini tiada borang dan upah isi borang sekeping RM3 setiap pelancong dari Malaysia dikenakan seperti di pintu masuk. Kami menaiki feri dengan bayaran RM3 satu kepala menuju ke Pengkalan Imigresen PK. Ejen yang bersama-sama kami tadi bawa makan tengah hari di Pantai Geting yang menjual ikan bakar segar.
Kepenatan bersiar-siar di Tak Bai membawa ke malam. Kaki kananku mulai berdenyut-denyut tanda penyakit gout sudah menyinggah. Aku jarang-jarang diserang penyakit gout boleh dikatakan setahun sekali kerana tersalah makan atau percampuran makanan yang tidak betul. Seingat aku, semalam dan hari ini aku makan seafood di Baan Swarin , roti tisu , nasi lemak dan ikan bakar di Pantai Geting. Mungkinlah , seafood yang aku makan malam semalam penyebab penyakit gout singgah. Apa boleh buat kalau dah pergi berjalan-jalan tapi tak makan-makan rugilah pulak. Tambang 'flight' bayar hotel tak berbaloi makan maggi dalam bilik hotel.
'Dinner' malam kedua , kami menjamu selera di Siam Restoran tidak jauh dari hotel penginapan kami. Restoran nampak meriah dengan pelanggan dan lampu-lampu nion bergemelapan. Masing-masing memilih makanan dan minuman . Aku memilih nasi goreng , ABC dan pulut mangga manakala isteriku memilih bihun sup dan limau ais. Namun, indah khabar dari rupa. "Potion' makanan seciput saja tiga kali suap dah licin. Usai makan dengan perasaan kurang berpuas hati kami singgah di Dataran Bazar Malam di hadapan Pejabat Tanah Kota Bharu.
Seorang penyanyi 'buskers' sedang menghiburkan pelanggan-pelanggan dengan suara yang boleh tahan merdu. Apa yang kulihat, Kelantan kaya dengan kedai-kedai makan baik siang mahupun malam. Di mana-mana sahaja ada 'port' makan dengan pelbagai jenis menu sama ada barat, asli dan 'homemade'. Budaya berniaga sudah sebati dalam diri orang Kelantan. Kalau siang kedai emas bagaikan gula dihurung semut. Amalan membeli emas turut melekat di dalam diriku sejak aku berkahwin pada tahun 1989 sehingga kini masih gila membeli emas.
Di Dataran Bazar Malam, pengunjung-pengunjung berpusu-pusu tetapi tidak ramai orang luar kebanyakan masyarakat tempatan. Mereka membeli murtabak dan minuman 'Teh Beng' tetapi aku hanya menahan perut yang meragam dan kaki yang semakin berdenyut-denyut. Selera nak makan semakin hilang. Sekitar jam 11.30 malam kami bergerak pulang ke hotel untuk berehat kerana keesokan hari terakhir kami di bumi Serambi Mekah.
Malam itu, aku tidak lena tidur. Kakiku berdenyut-denyut sehingga hendak ke bilik air di sebelah katil pun aku terpaksa merangkak turun dari katil . Azab sungguh kalau diserang gout. Pengalaman lalu mengajar aku supaya berhati-hati memilih makanan tetapi penyakit nak datang tak kira masa. Beberapa kali aku merangkak ke bilik air untuk melepaskan hajat. Pengembaraan kali ini amat mencabar mental dan fizikal. Usai solat Subuh di atas kerusi , aku berehat seketika dan kaki masih berdenyut-denyut.
Rancangan hari terakhir ini kami akan bersarapan di Restoran Liney Nasi Kerabu Tumis yang tak kesampaian lagi. Adikku mencadangkan aku tinggal saja di bilik hotel dan mereka akan membungkus bawa balik makanan tetapi aku gagahkan juga untuk ikut sama. Dalam kepayahan dan kesakitan , aku memaksa diri menyarung kasut. Perlahan-lahan aku meninggalkan bilik dari Tingkat 7 ke 'Ground Floor' . Mereka sudah menunggu aku yang lewat 15 minit. Nasib baiklah anak sepupuku tahu memandu kereta jadi dialah yang menjadi 'driver' selama dua hari berturut-turut.
Kami sampai di restoran seawal jam 8.30 pagi. Memang tidak ramai pelanggan kerana mungkin mereka sudah pulang ke destinasi masing-masing. Dalam keadaan terhincut-hincut , aku gagahkan diri duduk di meja kosong di sebelah dalam restoran. Makanan aku dan isteri diambilkan oleh adikku. Kalau aku sihat walafiat akulah yang akan mengambil makanan dan minuman untuk isteriku sejak dua tahun belakangan ini. Kami makan dengan penuh berselera dan sukar untuk menikmati nasi kerabu yang sesedap di Kelantan kalau di Klang. Aku berpesan kepada mereka supaya singgah di farmasi untuk membeli ubat gout. Kebiasaannnya, selepas makan ubat gout keadaan kakiku akan pulih selepas 2 atau 3 jam.
Kami bergerak ke Pasar Tunjung untuk meninjau barangan yang dijual di situ. Hajat di hati hendak melihat suasana di pasar itu yang menjual pelbagai barangan harian dan buah-buahan. Aku masih tidak menemukan kuih akok dan sebenarnya aku sudah terlupa apabila kakiku berdenyut-denyut. Perutku sudah mulai kembali normal tidak lagi 'bergelora' seperti dua hari yang lepas. Aku tidak bergerak ke mana-mana hanya duduk di atas pangkin simen meletakkan barang-barang jualan. Isteriku duduk di sisiku kerana aku tidak mahu dia tersesat di situ memandangkan keadaannya begitu.
Selepas mereka membeli beberapa barang yang dihajati, kami bertolak ke hotel untuk mengemas barang-barang sebelum 'check out' pukul 12.30 tengah hari. Denyutan kakiku agak berkurangan selepas menelan 4 biji kapsul ubat yang dibeli di sebuah farmasi semasa dalam perjalanan ke Pasar Tunjung. Dalam kesakitan , aku mengemas pakaian dan barangan yang dibeli ke dalam dua buah beg yang dibawa. Pakaian yang kotor di dalam sebuah beg dan pakaian bersih serta makanan di dalam sebuah beg yang lain. Semuanya aku perlu melakukannya sendiri dan setelah itu aku menyeret beg ke dalam lif.
Tengah hari itu, kami menjamu selera di Restoran Kengsom Thai. Makanan di restoran itu memang lazat dan ini kali ketiga aku mengunjungi restoran itu. Kami makan sambil berbual-bual agak lama juga memandang masa untuk 'boarding pass' di lapangan terbang pada pukul 5.30 petang. Isteriku ke tandas di dalam restoran tapi kali ini aku tidak menemaninya ke tandas kerana kakiku yang belum begitu baik. Tiba-tiba, dia keluar dari pintu dapur sambil beberapa orang pekerja di dapur memandang-mandang kami. Iyalah, masuk ke tandas keluar di dapur. Reda sajalah.
Pada pukul 2.00 petang, kami ke Adriana Gold . Kedai emas yang selalu dikunjungi setiap kali pulang ke Kelantan. Adikku dan sepupuku membeli beberapa barang kemas dan aku tidak membeli apa-apa memandangkan sudah setahun isteriku tidak lagi memakai barangan kemas demi menjaga keselamatan diri dan barangan kemas di badannya daripada tercicir atau hilang. Jadi, barangan kemas hanya dipakai di rumah beberapa kali berganti-ganti itupun mataku sentiasa memerhatikannya. Pernah gelang emas yang berbiji-biji terlerai di dalam kereta dan puas aku dan anak-anak mengutip biji-biji emas yang bertaburan. Cincin di atas tilam dan rantai tangan di lantai bilik air . Semua ini menjadikan aku sangat berhati-hati untuk memakaikan barangan berharga kepada isteriku. Kadang-kadang sedih juga melihat isteriku tidak memakai barangan kemas semasa menghadiri majlis walaupun dia pernah meminta untuk memakain barangan kemasnya.
Selepas selesai urusan membeli barangan kemas , kami bergerak ke Lapangan Terbang Sultan Ismail. Urusan penyerahan kereta sewa pun selesai dan kami menunggu pintu 'boarding pass' dibuka sahaja. Kelihatan sekumpulan jemaah Umrah yang baru pulang dengan keluarga masing-masing. Kenangan bercuti di kampung kali ini sangat menarik daripada kena 'scam', masalah cirit-birit dua hari berturut-turut dan serangan gout serba lengkap. Kami bercadang akan balik kampung pada tahun depan lagi dan ke Kampung Bondjol, Bukit Tinggi Sumatera untuk melawat sanak saudara sebelah moyang bapaku. Mengikut cerita kaum kerabat aku, moyang sebelah bapaku telah berhijrah ke Tanah Melayu sejak sekian lama. Arwah bapaku pernah menceritakan kaum keluarganya berasal dari Pagar Ruyung dan Bangkahulu. Kerabat bapaku dari keturunan MInangkabau dan sesekali apabila diadakan majlis bersama-sama famili mereka berbual-bual menggunakan dialek Minangkabau. Aku kurang memahami dialek mereka yang aku tahu " Ayam Den Lapeh'.
Kami bertolak pada pukul 7.55 petang dengan pesawat MAS dan tiba di KLIA pada pukul 8.30 malam. Aku dan isteri dijemput oleh anakku , Mukriz. Sewaktu di KLIA dengan kaki sedikit terhincut-hincut sebuah 'buggy' berhenti dan menumpangkan kami ke pintu keluar untuk menuntut bagasi. Seronoklah juga dapat naik 'kereta mainan' di KLIA....

Comments

Popular posts from this blog