Episod : Sengsara Ini Milikku


Secara tiba-tiba , dia mula terlupa itu dan ini. Mungkin kerana saban hari berdua jadi perubahan yang terjadi tidak kusedari hinggalah pada suatu hari seorang rakan bertanya kepadaku. Sejak itu, aku sentiasa memerhatikan tingkah laku dan memang benar dia kini sudah berubah.

Tanpa berlengah, aku segera merujuk kesnya kepada doktor pakar yang pernah merawatku dulu. Setelah melalui beberapa ujian kesihatan akhirnya doktor mengesahkan bahawa dia sedang sakit. Kata doktor tiada ubat untuk menyembuhkannya bagi kes seumpama ini. Harapanku turut berkecai untuk melihatnya sihat sedia kala.

Aku tidak mahu berputus asa selagi ada hayat akan kucuba sedaya upayaku. Aku merujuknya kepada beberapa orang yang pakar dalam perubatan Islam. Namun, jawapan yang aku terima berbeza-beza antara satu dengan yang lain. Gangguan iblis dan terkena buatan orang.

Setelah kedua-dua usaha itu dilakukan aku membuat keputusan untuk menjaganya sebaik mungkin. Kajian pakar mengatakan pesakit sepertinya umur tidak panjang kerana suatu masa akan timbul komplikasi berbahaya. Andainya ditakdirkan jalan pulangnya aku reda dan bersedia menghadapi segala kemungkinan. Ajal dan maut milik Allah.


Biarlah masa terus berlalu dan setiap detik aku cuba untuk membahagiakannya. Di peringkat awal dia berhadapan dengan 'kekeliruan' aku sedikit terganggu sehingga bersikap kasar namun hari demi hari aku sudah dapat menerima kekurangannya yang terjadi sekelip mata.

Setiap hari merancang untuk membawanya bersiar-siar seperti mana saranan doktor. Berkunjung ke tempat-tempat yang pernah kami pergi untuk mengembalikan memorinya. Setiap masa mencipta kebahagiaan yang suatu hari nanti akan lenyap bersama kenangan abadi. Setiap detik merakam momen CINTA untuk kubingkaikan di halaman hati ini apabila tiba saatnya nanti...

Comments

Popular posts from this blog