Episod : Masuk Universiti
Sewaktu aku melangkahkan kaki ke menara gading , Universiti Putra Malaysia (UPM) usiaku sudah menjangkau 37 tahun . Kemasukanku ke sana juga tidak dirancang dan tidak terfikir olehku. Pada hari itu, aku diajak oleh rakanku Cikgu Shan untuk menghantarnya mendaftar di UPM. Jadi, selepas makan tengah hari kami berdua ke UPM dan aku memandu kereta Toyota UNSER yang berwarna kelabu.
Setibanya di perkarangan bangunan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) , Cikgu Shan masuk beratur untuk melaporkan diri kepada urus setia. Manakala, aku hanya duduk tercongok di atas tangga bangunan fakulti. Di dalam hatiku, hanya Tuhan yang tahu betapa pedihnya rasa hatiku kerana peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti adalah cita-citaku. Kali ini takdir Allah menyebelahiku.
Aku berasa gembira melihat bakal-bakal mahasiswa dan mahasiswi sedang beratur sambil berbual-bual sesama mereka. Tertulis di benak fikiranku sebuah puisi " Andainya Aku Mahasiswa ". Tentu mereka berasa bangga dapat melangkahkan kaki ke menara gading . Tentu ibu bapa dan keluarga mereka juga berasa bangga. Aku leka memerhatikan mereka apabila tiba-tiba bahuku ditepuk oleh seseorang. Aku segera menoleh dan seorang lelaki berjanggut separas dada dan bersongkok tersenyum kepadaku.
"Buat apa di sini? Kenapa tak beratur ?"
"Oh, saya menemani kawan saya mendaftar ," jawabku lantas berdiri di tangga di lelaki itu.
"Awak tak memohon ?"
"Tak. Saya pun tak tahu ada tawaran sambung belajar."
"Awak ada sijil STPM?"
"Ada. Tuan."
"Kertas Am dan BM dapat berapa ?"
"Prinsipal, Tuan."
"Awak dah boleh sambung belajar di sini," kata lelaki itu tersenyum.
"Tahu guna komputer ?"
"Tahu,Tuan."
"Ikut saya pergi mendaftar ," kata lelaki itu yang tidak kukenali. Hanya 'name tag' di badannya tertulis " AHMAD".
Aku mengikutinya hingga sampai di pejabat. Lelaki itu menolak daun pintu dan beberapa orang pegawai bertugas sedang sibuk mendaftarkan calon-calon. Seorang dua memandangku dan tersenyum . Mungkin pakaian 'seragam' bekerja yang aku pakai lengkap bertali leher umpama seorang profesor.
"Awak guna komputer ini, Isi maklumat. Nanti saya datang semula."
Lelaki itu meninggalkan aku dan aku segera mengemas kini maklumat yang diperlukan di dalam sistem pendaftaran.
Usai mengisi maklumat itu, lelaki tadi masuk semula ke pejabat.
"Dah siap?"
"Sudah, Tuan."
"Ada duit RM1400.00 sekarang ?"
"Ada, Tuan."
"Awak pergi ke bank dekat kafe sana . Di sana ada CIMB. Awak buat 'bank draf'. Lepas itu datang sini semula."
"Baik"
Aku berjalan ke kereta lalu meninggalkan perkarangan bangunan menuju ke kafe yang terletak bersebelahan kedai koperasi UPM. Aku segera membuat 'bank draf ' seperti yang diberitahu lelaki itu di bank CIMB. Kemudian, aku kembali ke pejabat. Lelaki itu sedang menunggu aku di luar pintu. Aku menyerahkan sekeping 'bank draf ' ke tangannya dan dia menyerahkan kepada seorang pegawai.
" Tahniah. Awak sekarang mahasiswa UPM . Sekarang awak masuk ke dewan untuk mendengar taklimat ," ujar lelaki itu dan aku bersalaman dengannya sambil mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Syukur, alangkah gembiranya hati ini kerana akhirnya impianku selama ini telah tercapai.
Pada hujung minggu itu, aku kembali ke UPM untuk menghadiri kuliah. Setelah seorang demi seorang Profesor keluar masuk dewan kuliah (DK) menyampaikan maklumat tentang modul dan peperiksaan, masuk pula lelaki yang kutemui pada minggu lepas.
Lelaki itu berdiri di hadapan dewan kuliah dan memperkenalkan dirinya .
"Saya Dr. Ahmad Musanif !. Saya akan mengajar tuan-tuan dan puan-puan . " Aku tersenyum gembira kerana lelaki yang menolong aku itu merupakan seorang profesor yang akan mengajar aku selama empat tahun pengajian dalam jurusan Bahasa Melayu dan Linguistik.
Tahun demi tahun berlalu, pada tahun 2008, aku berjaya bergraduat dengan rakan-rakan seperjuanganku . Hatiku berbunga-bunga pada hari konvokesyen. Aku ditemani ibuku, isteri dan lima orang anakku yang masih kecil dan bersekolah. Hanya aku berasa terkilan kerana ayahku tiada bersama-sama pada hari bersejarah itu. Ayahku telah kembali ke rahmatullah beberapa tahun sebelum itu. Selesai sudah perjuangan aku menimba ilmu di menara gading. Beberapa orang rakanku membuat keputusan untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana (Master) tetapi aku tidak bercadang untuk mengikut sama kerana faktor kos.
Hampir kesemua rakan seperjuangan aku ialah golongan pendidik di sekolah-sekolah kerajaan dan mempunyai bantuan kewangan manakala aku menggunakan dana poket sendiri. Namun , aku berpuas hati walaupun kos keseluruhan pengajian aku sebanyak RM22,000.00 tidak termasuk petrol, makan minum dan peralatan tulis.
Aku menjadi inspirasi kepada anak-anakku untuk mengikut jejak langkahku melanjutkan pengajian di universiti. Puteri sulungku muncul antara pelajar terbaik PMR di Sekolah Menengah Agama Tinggi Hishamudin , Klang dan seterusnya layak menyambung pelajaran di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Gombak. Setelah selesai SPM, puteri sulungku menyambung pengajian Ijazahnya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.
Selama pengajiannya di UIAM, puteri sulungku pernah dihantar ke negara China sebagai pendebat mewakili fakulti ekonominya. Kemudian , puteri sulungku menjalani latihan praktikalnya di ibu pejabat PETRONAS di bangunan KLCC dan akulah yang akan menghantar dan menjemputnya di stesen komuter Klang setiap hari . Usai praktikal , akhirnya puteri sulungku menamatkan pengajiannya dan itulah kali pertama aku menghadiri konvokesyen anakku di universiti . Kini, puteri sulungku bertugas di sebuah universiti antarabangsa . Aku dan isteriku berasa sangat bangga atas pencapaian puteri sulungku yang akan menjadi teladan kepada adik-adiknya kelak.
Puteri keduaku juga telah mendapat keputusan cemerlang di peringkat PMR sewaktu bersekolah di Sekolah Convent, Klang. Namun, dia enggan menyambung pelajarannya ke mana-mana SBP sebaliknya mahu terus belajar di sekolah sama sehingga selesai SPM. Keputusan SPMnya yang cemerlang telah melayakkannya menyambung pengajian ASASI di UiTM, Puncak Alam. Hampir setiap minggu, aku dan isteriku berulang alik ke Puncak Alam untuk melawatnya di sana.
Selesai ASASI, puteri keduaku ini mendapat tawaran menyambung pengajian di Universiti Sabah Malaysia (UMS) , Kota Kinabalu dalam jurusan sains. Aku dan isteriku tidak ikut sama ke Sabah pada hari pendaftaran puteri keduaku sebaliknya dia pergi bersendirian. Berat hatiku untuk membiarkannya berseorangan dan itulah kali pertama pula dia berjauhan daripada keluarga . Aku masih teringat kata-katanya ," Orang tak nak belajar jauh-jauh nak dekat rumah." Kukira sewaktu dia belajar di Sabah nanti kami akan jarang-jarang berjumpa tetapi sebaliknya kerana setiap kali cuti semester puteriku akan pulang ke Semenanjung. "Ayah. orang nak balik. Minta duit tiket ." Jadi, dialah yang paling kerap naik turun kapal terbang macam naik bas pulang ke kampung.
Pada tahun 2014, puteri keduaku berjaya bergraduat dan hari bersejarah itu aku dan isteri serta semua anakku turut serta terbang ke Sabah . Itulah pertama kali aku menjejakkan kaki di bumi Sabah Negeri Di Bawah Bayu. Kami berkesempatan melawat tempat-tempat menarik di sana dan bermalam di Kundasang yang sejuk hilang ke tulang hitam. Air paip pun membeku. Kini, puteri sulungku bertugas di sebuah syarikat sebagai pengurus dan sering ke luar negara. Ada ketika dia berulang alik ke negeri-negeri di Semenanjung untuk 'mempersembahkan' hasil kajian pasukannya kepada Ketua Eksekutif kerajaan negeri sebelum pelaksanaan sesuatu pembangunan oleh kerajaan persekutuan atau negeri yang melibatkan alam sekitar. Puteri keduaku kini sedang melanjutkan pengajiannya di peringkat Master di Universiti Sains Malaysia (USM) dan dijangka bergraduat pada tahun 2025.
Puteri ketigaku pula agak lasak dan bercita-cita menjadi seorang pegawai polis yang menunggang motosikal besar. Sebagai seorang 'drum major' pancaragam di sekolahnya , puteri ketigaku ini suka akan cabaran. Pengalaman yang tidak dapat aku lupakan apabila peti sejuk di rumah terbalik kerana dipanjatnya sewaktu dia berusia lima tahun. Usai SPM , puteri keduaku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Kolej Politeknik MARA di Bangi. Jurusan yang dipilihnya perakaunan.
Setiap minggu , aku dan isteri serta anak-anak lain ke Bangi untuk makan minum dan berbual-bual sehinggalah puteri ketigaku menamatkan pengajiannya di situ. Hari konvokesyen telah diadakan di PICC, Putrajaya. Ini kali ketiga aku dan isteri menghadiri hari konvokesyen. Jadi, dapatlah aku merasa berada di PICC yang hebat itu. Selama ini aku hanya membacanya di surat khabar dan carian di internet. Kini, puteri ketigaku bertugas sebagai pegawai kewangan di sebuah syarikat logistik dan dia ditugaskan mengendalikan urusan logistik dengan syarikat-syarikat antarabangsa.
Mukriz, anak keempat dan putera pertama kami. Anugerah yang dinanti-nantikan selama hampir enam tahun lamanya. Peminat kereta sejak kecil. Makan, tidur , mandi dengan kereta mainan. Mungkin kerana dia satu-satunya anak lelakiku jadi kemanjaannya kepadaku sangat ketara sehingga menimbulkan rasa cemburu kakak-kakaknya yang lain. Sewaktu di Sekolah Rendah Bukit Tinggi Klang, dia telah dilantik sebagai Ketua Murid dan menerima anugerah Tokoh Murid serta Tokoh Maal Hijrah peringkat sekolah semasa di Tahun 6. Sayangnya, semasa peperiksaan UPSR dia mendapat keputusan B bagi subjek Bahasa Inggeris.
Sebelum UPSR, dia merupakan pelajar harapan sekolah dan namanya sudah dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh , Sekolah Sultan Alam Shah , Putrajaya (SAS) namun disebabkan kegagalannya mendapat keputusan 'straight' 5A namanya telah digugurkan. Aku memilih untuk menghantarnya ke Sekolah Menengah Agama Tinggi Hishamudin seperti kakaknya namun permohonannya telah ditolak memandang jumlah pemohonan terlalu ramai sehingga ada yang menyampaikan surat rayuan ditandatangani oleh baginda sultan.
Akhirnya, Mukriz kuhantar belajar ke Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah, Klang (STAR) dalam aliran Bahasa Arab sehingga Tingkatan 3. Dia merupakan calon pertama yang menduduki peperiksaan PT3 yang baru diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Namun, keputusannya amat mendukacitakan. Banyak subjek dia mendapat keputusan E termasuk Matematik dan Sains namun guru di sekolah itu telah menempatkannya dalam aliran Sains Tingkatan 4. Aku tidak bersetuju dengan keputusan itu kerana bukan mudah untuknya belajar dalam aliran Sains dengan keputusan seteruk itu. Aku sendiri pernah memasuki aliran Sains semasa di Tingkatan 4 dan 5. Hanya semasa di Tingkatan 6 aku mengambil aliran Sastera.
Aku memilih untuk menghantarnya menyambung pelajaran Tingkatan 4 di Kolej Vokasional, Klang. Jadi, aku telah memberhentikannya persekolahannya di STAR. Akhirnya, permohonannya berjaya setelah 2500 permohonan disaring hanya 150 orang yang layak. Puteraku mengambil jurusan automotif yang sangat diminatinya. Setelah memperoleh diploma , Mukriz melanjutkan pengajiannya Ijazahnya di UTem, Melaka dalam jurusan automotif. Aku dan isteri sering turun ke Melaka untuk melawatnya dan kesempatan itu kuambil untuk bersiar-siar di Melaka sehingga aku sudah berasa jemu ke Melaka. Empat tahun berulang alik pada hujung minggu ke Melaka namun aku berasa gembira. Mukriz bergraduat di UTeM pada tahun 10 NOVEMBER , 2024. Kali keempat aku menghadiri hari konvokesyen. Kini, Mukriz sedang bertugas di sebuah syarikat kenderaan Jepun (HONDA) dan dia mudah mendapat pekerjaan kerana mempunyai kemahiran dalam bidang automotif.
Anak terakhir, putera keduaku. Lahir setelah enam tahun kelahiran abangnya. Perwatakannya agak berbeza kerana anak bongsu lebih manja. Usai sekolah rendah , Eiman memilih sendiri untuk menyambung pelajaran di sebuah Maahad Tahfiz.
"Ayah, orang nak masuk tahfiz," beritahunya .
"Dah fikir masak-masak?"
"Dah."
"Bukan kerana ikut kawan-kawan ?"
"Tak."
Aku dan isteri tidak pernah menghalang pilihan anak-anak . Kami hanya memberikan nasihat tentang pro dan kontra atas pilihan yang dibuatnya. Aku tidak suka memaksa.
Eiman, kudaftarkan di sebuah Maahad Tahfiz dan pihak pengurusan sekolah pula telah melantik aku dengan sebulat suara oleh ibu bapa sebagai Yang Dipertua PIBG (YDP) pertama di sekolah itu. Jadi, aku mempunyai tanggungjawab membantu pihak sekolah dan mendedahkan pelajar-pelajar dengan pelbagai ilmu tambahan selain ilmu hafazan Al-Quran. Ditakdirkan Allah , pandemik Covid -19 melanda ke seluruh dunia dan pengajian Eiman turut tergendala. Hafazannya setakat juzuk 10 dan Eiman mengambil keputusan untuk berhenti belajar di sekolah Maahad Tahfiz. Sekali lagi, aku tidak memaksanya dalam membuat keputusan.
Dia ingin belajar di sekolah harian dan aku membuat permohonan pendaftaran Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Bukit Tinggi. Akhirnya, permohonannya melalui Pejabat Pendidikan Daerah Klang (PPD) berjaya. Pada hari pertama , agak janggal dia berpakaian seragam sekolah kerana selama 3 tahun dia sentiasa berjubah dan berserban lengkap. Namun, ditakdirkan Eiman hanya bersekolah sehari sahaja kerana seminggu sebelum itu aku telah memohon untuk menempatkannya di Kolej Vokasional Klang dalam jurusan automotif juga dan berjaya. Janji Allah itu pasti.
Pada awal permohonannya untuk menyambung pelajaran ke Kolej Vokasional ditolak mentah-mentah oleh kerani bertugas dengan alasan dia tidak mempunyai sijil PT3. Walaupun , aku sudah menerangkan situasi dia sebagai bekas pelajar Maahad Tahfiz dan mempunyai sijil perakuan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) namun kerani tidak mahu bertolak ansur.
Aku berasa kecewa kerana permohonannya tidak mahu diterima oleh kerani bertugas walaupun berkali-kali aku merayu agar borang permohonan diproses dan apa-apa keputusan selepas itu aku akan menerimanya. Muncul seorang lelaki berbangsa India di pejabat dan bertanya kepadaku tujuan aku datang ke pejabat. Setelah aku menerangkan satu persatu tentang permohonan dan kelayakan yang ada , lelaki itu mengarahkan kerani menerima borang permohonan dan diproses. Aku berasa sangat gembira kerana akhirnya kerani menerima borang permohonan itu. Aku berterima kasih kepada lelaki yang membantu aku ketika itu. Siapakah dia ?
Semua pakaian seragam sekolah Eiman kusedekahkan kepada kawan-kawan sekolahnya yang memerlukan. Semua buku yang telah dibeli kuserahkan sekali. Sejak hari itu, Eiman menjalani kursus automotif di peringkat Diploma . Sebelum itu , dia menduduki peperiksaan di peringkat Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) dan berjaya dengan cemerlang . Sekali lagi, aku dan isteriku menghadiri hari konvokesyen yang diadakan di Universiti Malaya untuk kali kelima. Kini, selesai sudah pengajiannya di peringkat Diploma pada tahun 2024. Tahun depan 2025 Eiman akan menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat kenderaan yang terdapat merata-rata di bandar ini.
"Selepas selesai praktikal , bekerja setahun dua ambil pengalaman seperti Mukriz. Nanti sambung belajar di peringkat degree kalau boleh di UTeM juga kerana di sana ada subjek hafazan Al-Quran di peringkat sijil. Kelebihan kepada Eiman untuk skor kerana ada pengalaman belajar di Maahad Tahfiz," kataku kepadanya. Eiman mengangguk-angguk tanda setuju.
"Tiada harta yang ayah tinggalkan kepada kalian melainkan pelajaran dan didikan "...
Comments
Post a Comment