Episod : Jalan Pulang
Setiap permulaan ada pengakhiran. Setiap perjalanan ada perhentian . Jalan pulang akan membawa bekalan. Sedikit , banyak atau tiada apa-apa yang akan dibawa pulang bergantung kepada empunya jasad yang akan pulang.
Jalan pulang yang lurus tentunya membahagiakan . Jalan pulang yang tiada halangan juga rintangan. Perjalanan yang akan sangat pantas umpama kilat. Semuanya akan berasa mudah di jalan pulang yang lurus.
Andainya jalan pulang berbengkang-bengkok pastinya ada bahaya sedang memerhati. Berhadapan dengan selekoh tajam . Acap kali diuji sepanjang perjalanan. Ada jalan pulang yang sangat berliku-liku. Tika ini, tiada jaminan tidak akan terkandas di sepanjang jalan pulang. Tambahan pula, jalan pulang yang berliku-liku hanya membawa sedikit bekalan akan berasa cemas.
Mereka yang sedang membuat persiapan untuk jalan pulang sudah mempunyai pilihan sama ada jalan pulang yang lurus atau jalan pulang yang berliku-liku. Semuanya ini adalah pilihan. Meskipun mereka yang sudah berpulang tidak dapat bercerita tentang kesukarannya jalan pulang yang berliku-liku namun tidak ramai hendak memilih jalan pulang yang lurus.
Ketidakyakinan mahupun kepercayaan bahawa jalan pulang akan tiba suatu masa nanti hanyalah suatu 'escaptism'. Bila dan bagaimana adalah rahsia yang tersangat rahsia. Empat puluh hari sebelum memulakan perjalanan dirasakan terlalu pantas bergerak . Di hadapan fikiran sudah terbentang jalan pulang.
Enggan pulang selagi tidak cukup bekalan kerana perjalanan ini nanti sangat jauh dan lamanya ribuan tahun. Niat enggan itu tidak mampu mengubah jadual jalan pulang yang sudah tertulis sejak azali.
Tetapi, pulanglah kerana di sana sedang menanti dan di sini juga akan pulang sama serta dinanti. Bersedialah untuk pengembaraan jalan pulang. Berbahagialah andainya jalan pulang dipermudah dan bersedialah andainya jalan pulang menempuh kepedihan.
Comments
Post a Comment