Episod : TERJEBAK

Tahun 2005 paling mencabar kerana tempat aku mengajar telah ditutup apabila pihak pengurusan membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah universiti swasta di Damansara. Bukan sahaja pusat pembelajaran di Klang malah di Melaka , Kuala Lumpur, Subang Jaya dan Pulau Pinang juga ditutup. Mahu tak mahu terpaksa kuikutkan jua dengan keputusan di hatiku untuk berhenti kerja makan gaji pada usia 42 tahun. Pencen awal.
Tika itu, 2004 aku baru sahaja memulakan pengajian Ijazah Sarjana Muda di UPM secara PJJ bagi tempoh pengajian selama empat tahun. Segala kos aku tanggung sendiri tanpa membuat pinjaman bank. Isteriku suri rumah tangga sepenuh masa. Bagi menampung kos anak-anak yang bersekolah , tuisyen dan keperluan asas mereka. Selepas hampir 25 tahun bekerja makan gaji kini sudah sampai masanya aku membuat keputusan untuk bekerja sendiri. Tambahan lagi, aku mempunyai pengalaman dalam pengurusan organisasi jadi tiada masalah untuk mengendalikan perniagaan sendiri.
Ramai kawanku yang turut sama diberhentijan kerja memilih untuk berhijrah mengajar di sekolah swasta lain dan ada yang memohon mengajar di kolej lain. Aku dalam dilema. Kalau hendak memohon bekerja di kolej sekurang-kurangnya aku sudah memiliki Ijazah atau ' Master ' tapi aku masih dalam tempoh pengajian sehingga 2008. Jadi, aku lupakan sahaja hasrat itu.
Aku sudah nekad untuk memulakan perniagaan tuisyen. Perniagaan yang sangat kurang diceburi oleh peniaga Melayu ketika itu. Langkah ini kuanggap sebagai TERJEBAK dan tidak lagi menoleh ke belakang . Seperti biasa isteriku hanya mengikut keputusan aku tanpa membantah . Segala rintangan kami hadapi bersama-sama.
Selesai memohon lesen perniagaan daripada pihak PBT dan Pejabat Pendidikan Daerah Klang akhirnya tertubuh PUSAT TUISYEN SISWA. Sebuah pusat tuisyen yang dimiliki seratus peratus oleh orang Melayu yang dikelilingi 'gergasi empat sekawan' . Di situ sudah ada empat pusat tuisyen lain yang kuanggap sudah ' established'. Namun aku tetap tabah untuk menempuh segala cabaran dan ' gangguan ' daripada Abang Long kawasan yang bertatoo dari leher ke kaki macam Yakuza.
Rezeki Allah sentiasa ada. Sedikit demi sedikit pusat tuisyen aku mula mendapat tempat dalam kalangan penduduk di situ yang rata-ratanya 98% kaum Cina . Bermula dengan beberapa puluh orang pelajar kini bertambah hingga beratus-ratus orang pelajar. Pendapatan juga bertambah lebih sepuluh kali ganda daripada jumlah gaji kuterima semasa bekerja dulu.
Aku menganggap apa yang berlaku ketika itu dan sekarang adalah takdir Allah semata-mata. Tiada istilah bernasib baik kerana manusia disuruh mengubah nasib diri sendiri namun Allah jangan dilupakan . Daripada TERJEBAK akhirnya perniagaan tuisyen sudah menjadi teras pendapatanku dan keluarga....

Comments

Popular posts from this blog