Episod : Telur Berlari
Kadang-kadang kita tidak sedar ada orang menaruh hati kepada kita. Hendak meluahkan bimbang hanya bertepuk sebelah tangan. Namun, soal hati ada orang sanggup melakukan apa-apa sahaja, bak kata orang tua-tua ' badan boleh dimiliki hati tidak boleh dimiliki'.
Usai majlis pertunangan yang diadakan di rumah Cahya dan turut disertai saudara mara bertukar menjadi duka. Cahya jatuh sakit dan sering meracau-racau. Segala ikhtiar sudah dilakukan namun tiada apa-apa perubahan pada diri Cahya. Kadang-kadang berjam-jam duduk termenung dan mata asyik melirik ke luar rumah seakan-akan sedang menanti seseorang yang akan datang bertandang. Hari demi hari , keadaan Cahya semakin teruk. Tubuh yang sedap mata memandang kini kurus kering.
Pada suatu hari, aku diminta bapa mentuaku untuk membantunya 'memagar' rumah. Kukira arahan bapa mentuaku adalah tugasan biasa seperti selalu ke rumah orang untuk 'memagar' rumah daripada gangguan jin dan iblis. Aku dan bapa mentuaku dibawa menaiki kereta ke sebuah rumah.
Hari sudah lewat petang dan setengah jam lagi akan masuk waktu Maghrib. Ketika kami sampai di rumah itu kami disambut oleh tuan rumah. Kami duduk di sofa di ruang tamu. Aku melihat-lihat di dalam rumah itu tetapi tiada pula orang sakit. Suasana di dalam rumah sunyi hanya aku, bapa mentua dan pasangan suami isteri selaku tuan rumah.
Aku mendengar bunyi seperti suara esakan perempuan sedang menangis. Namun, suara tangisannya kurang jelas. Mataku mencari-cari dari mana datangnya suara tangisan yang mendayu-dayu. Bapa mentuaku mencuit tanganku dan aku tidak lagi mencuri-curi pandang sekitar di dalam rumah itu.
" Anak saya ni, Pakcik. Dah beberapa minggu sakit. Entahlah kami pun tak tahu apa puncanya. Kami dah hampir berputus asa. Selepas bertunang hari itu, tiba-tiba dia berubah .Asyik termenung , " kata si ibu kepada bapa mentuaku. Bapa mentuaku mengangguk-angguk tanda faham.
" Beginilah saya hanya mencuba. Insyallah jika dizinkan Allah baiklah sedia kala," jawab bapa mentuaku sambil merapatkan kedua-dua telapak tangannya ke dada.
Bapa mentuaku berdiri dan meminta izin daripada tuan rumah untuk membuka pintu belakang dan aku diarahkan membuka pintu depan. Kedua-dua pintu sudah terbuka luas. Waktu Maghrib kurang lima belas minit. Suasana di luar semakin gelap. Senja hampir melabuhkan tirai malamnya.
Bapa mentuaku berpesan kalau ada apa-apa diam sahaja. Bapa mentuaku membuka langkah silat di pintu belakang . Selepas beberapa minit, kedengaran bunyi seperti orang berlari-lari di atas bumbung rumah.
"Gedebang gedebung ! Gedebang gedebung! ". Bunyi tadi tiba-tiba senyap. Sebiji telur berwarna hitam tergolek di lantai. Sekali lagi bunyi yang kuat di atas bumbung dan senyap.
Semua yang berada di dalam rumah terkaku. Isteri tuan rumah terjelepuk di lantai dan menangis. Masing-masing tidak bercakap. Bapa mentuaku memungut telur ayam berwarna hitam dan membacakan sesuatu.
" Alhamdulillah.Sudah selesai," kata bapa mentuaku memecahkan kesenyapan tadi.
" Ada dengar bunyi tadi?," tanya bapa mentua kepada aku.
" Ada ,Pak. Tapi diam terus," jawab aku.
" Tak pa. Biarkan dia dah dapat lari," ujar bapa mentua aku.
Aku membantu bapa mentuaku melakukan proses 'memagar ' rumah di empat penjuru. Usai sahaja tugasan itu kedengaran suara Azan Maghrib dari masjid berdekatan. Kami menunaikan solat Maghrib di rumah itu dan kemudian memohon mengundur diri. Suasana di dalam rumah sudah kembali tenang . Aku mendongak memandang ke atas bumbung rumah tetapi tidak nampak apa-apa yang pelik.
Aku memandu kereta untuk pulang ke rumah. Bapa mentuaku mengajak aku singgah makan tomyam di sebuah kedai makan. Selesai menjamu makan malam, bapa mentua menghulurkan wang RM50 kepada aku untuk membayar harga makanan kami.
Sewaktu di dalam kereta , aku berseloroh dengan bapa mentuaku.
" Pak, tadi duit RM50 duit betulkan ?," tanyaku tersenyum-senyum.
"Kenapa pulak?," tanya bapa mentuaku.
" Hari tu Cina pendek kat pekan beritahu saya , " Lu punya bapak Wak Haji bagi duit beli barang . Lepas tu, saya buka laci ada daun kering . Itu duit sudah tukar.' Haiyaaa' , " kataku sambil menggayakan bercakap pelat Cina. Bapa mentuaku hanya ketawa terkekeh-kekeh.
"Masa tu bapak pinjam sekejap . Esoknya bapak dah bagi duit tu balik pada pendek ," kata bapa mentuaku sambil ketawa. Aku turut ketawa dan terus memandu kereta pulang ke rumah.
Comments
Post a Comment