Episod : Mangkat

Kisah ini pernah aku ceritakan pada tahun 2022 dan kali ini aku ulang siar semula dengan sedikit tokok tambah namun inti pati cerita tetap sama. Tahun kejadian kisah ini sekitar pada tahun 1990-an dan dalam operasi ini aku tidak dibenarkan ikut serta tetapi aku diarahkan berjaga-jaga di rumah.
Pada malam itu , dua buah kenderaan rasmi pengiring Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Baginda Sultan memasuki halaman rumah bapa mentuaku dengan memasang lampu siren polis berwarna biru .
" Sila keluar , Wak Haji. Serah diri !"
Bunyi 'speaker' kereta pengiring. Aku yang sedang berbual-bual dengan bapa mentuaku di bilik khas segera bangkit dan membuka pintu kayu. Kelihatan dua buah kenderaan rasmi pengiring baginda memparkir di halaman rumah. Keluar tiga orang pengawal peribadi baginda dengan berpakaian batik lengan panjang. Mereka sebenarnya anggota-anggota polis lain-lain pangkat yang bertugas di istana.
Aku mengenali mereka kerana mereka sering datang ke rumah bapa mentuaku jika tidak bertugas untuk bersembang dan mempelajari ilmu tertentu. Kami bersalam-salaman.
"Bapak ada ?," tanya abang S ( Allahyarham) yang bermisai tebal dan berkulit cerah. Orangnya segak dan bergaya. Kalau aku terserempak dengannya di mana-mana majlis yang dikunjungi baginda, abang S akan berdiri rapat betul-betul di belakang baginda.
Rata-rata pengawal peribadi baginda yang mengenali bapa mentuaku memanggilnya 'bapak'. Hubungan mereka rapat dan mesra.
"Apa khabar , bapak ?" . Masing-masing menghulurkan tangan dan mencium tangan bapa mentuaku dengan penuh hormat dan sopan. Walaupun wajah mereka nampak bengis dengan misai melintang tapi mereka suka bergurau.
"Bapak, tuanku suruh mengadap sekarang !," kata abang S , anak murid kesayangan bapa mentua. Wajahnya berubah serius.
"Ustaz Harun Din (Almarhum) dan Ustaz Ismail Kamus (Almarhum) sudah menunggu di istana. Ustaz Harun Din suruh bapa datang juga ," sambung abang S. Sememangnya bapa mentuaku mempunyai hubungan rapat dengan Ustaz Harun Din berkaitan rawatan Islam. Bapa mentuaku bangun untuk bersiap-siap ke istana mengikut anggota-anggota pengawal peribadi baginda .Sementara bapa bersiap , kami berbual-bual.
"Cikgu , ikut tak?," tanya abang S ketika bapa mentuaku sudah muncul semula.
"Azmi jaga rumah, Jaga Alos (isteriku) dan emak. Kalau kau dengar apa-apa jangan keluar . Tutup pintu. Tutup tingkap. Kalau boleh jangan tidur malam ini. Tidur-tidur ayam," pesan bapa mentuaku. Mereka bergerak keluar selepas bersalam-salaman dengan aku.
Dua buah kenderaan rasmi pengiring jenis 'Range Rover' meninggalkan halaman rumah dan memecut kenderaan ke arah bandar . Lampu siren kedua-dua buah kereta rasmi dinyalakan tanpa membunyikan siren.
Tengku Ampuan telah lama gering. Rakyat negeri turut berdukacita apabila mendengar khabar Tengku Ampuan sedang gering. Solat hajat dan doa selamat diadakan di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negeri. Masing-masing mendoakan keafiatan Tengku Ampuan. Berita ini telah aku ketahui lebih awal apabila abang S datang ke rumah bapa mentuaku beberapa bulan sebelum itu dan memberitahu khabar terkini Tengku Ampuan.
Aku menunggu di rumah sambil berbaring di ruang tamu. Manakala, isteri dan emak mentuaku hanya bersembang -sembang kosong. Kebetulan rumah sewaku di sebelah rumah bapa mentuaku jadi aku dan isteri menunggu di rumah bapa mentuaku sambil menemani emak mentuaku. Aku melihat jarum jam tanganku menunjukkan detik hampir pukul 12.00 tengah malam. Tiada apa-apa perkembangan daripada bapa mentuaku. Namun, aku tetap bersedia menghadapi apa-apa kemungkinan kerana pesanan bapa mentuaku tadi bukan gurauan. Wajahnya serius ketika memberikan pesanan kepadaku.
Tiba-tiba , dalam kesunyian awal pagi dan hanya bunyi cengkerik bersahut-sahutan di kebun getah bersebelahan.
"Bum..bum..bum.." Bunyi yang sangat kuat bagaikan suatu hentaman dari langit mengenai bumbung rumah mentuaku. Masing-masing berpandangan. Aku meletakkan jari telunjukku di mulut sebagai isyarat 'diam'. Suasana senyap seketika.
"Bummm..bummmm..buummmm." Bunyi hentaman kali kedua dan lebih kuat. Seakan-akan bunyi tapak kaki yang besar dan berat di atas bumbung. Kami hanya mendiamkan diri sambil mulut terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Selang beberapa minit kemudian suasana kembali aman. Sudah tiada lagi kedengaran bunyi bising di atas bumbung. Bunyi kali ini tidak sekuat bunyi telur berlari di dalam kisah yang aku ceritakan sebelum ini.
Telefon di atas meja berdering beberapa kali. Aku segera mengangkat gagang telefon. Waktu itu jam sekitar pukul 1.00 pagi.
"Azmi," kedengaran suara bapa mentuaku.
"Tengku Ampuan sudah mangkat." beritahu bapa mentuaku.
Talian diputuskan. Aku meletakkan gagang telefon semula.
"Innalilahiwainnailaihirojiun. Tengku Ampuan dah mangkat," aku memberitahuku isteri dan emak mentuaku. Aku tidak keluar dari rumah seperti mana pesanan bapa mentua sebaliknya aku menunggu bapa mentua pulang dari istana.
Tidak lama kemudian, sebuah kenderaan rasmi istana berlogo cap rasmi istana memasuki halaman rumah bapa mentuaku. Kedengaran suara-suara yang bercakap-cakap di luar dan kenderaan rasmi meninggalkan halaman rumah.
"Apa dah jadi , bapak," tanyaku apabila bapa mentuaku masuk ke dalam rumah.
"Alhamdulillah sudah selesai. Kau ada dengar apa-apa bunyi tadi?," tanya bapa mentuaku.
"Ada pak. Bunyi tapak kaki orang berlari-lari di atas bumbung," jawabku sedikit cemas.
"Mari ikut bapak," arah bapa mentuaku. Kami berdua pergi ke belakang rumah sambil membawa dua buah lampu 'Torchlight' . Bapa mentuaku menyuluh-yuluh lampu ke arah pokok-pokok pandan yang ditanam di belakang rumah. Kemudian, menyuluh ke arah rumpun pokok bunga kantan . Tiada apa-apa yang kelihatan. Suasana di luar sangat gelap, dingin dan sunyi . Aku berasa sedikit seram kerana seolah-olah ada mata yang sedang memerhati kami ketika itu.
Bapa mentuaku menyuluh ke atas bumbung rumah. Tiada apa-apa di atas sana. Kalau-kalau ada makhluk berbulu tebal , hitam dan bermata merah memerhati kami. Kami berjalan masuk ke dalam rumah. Waktu itu sudah sekitar jam 3.00 pagi.
"Kalau kau jumpa benda tu kau kaya makan tak habis," kata bapa mentuaku sambil tersenyum . Aku tidak bercerita panjang sama ada bentanya benda yang dimaksudkan oleh bapa mentuaku kerana bapa mentuaku kelihatan sangat letih. Biarlah dia berehat selepas menyelesaikan tugasnya.
Keesokan harinya, barulah bapa mentuaku bercerita kepada aku tentang operasi yang dijalankan bersama-sama Ustaz Harun Din dan Ustaz Ismail Kamus pada malam semalam.
"Satu batalion polis dibawa ke istana . Semua anggota polis yang tidak bertugas dibawa semalam. Beratus-ratus anggota," cerita bapa mentuaku . Namun, apa yang terjadi kepada Tengku Ampuan malam semalam tidak diceritakan oleh bapa mentuaku kepadaku secara detail. Namun , aku membayangkan operasi malam semalam sememangnya sangat hebat kerana membabitkan ramai orang.Sayangnya, aku tidak dibenarkan ikut serta semasa operasi dijalankan di istana.
Kedua-dua orang ustaz telah dikurniakan darjah kebesaran daripada baginda sultan dan membawa gelaran 'Dato' tetapi bapa mentuaku menolak anugerah itu dan anugerah untuk melantiknya sebagai Pawang Diraja juga ditolak dengan baik . Itulah sikap bapa mentuaku, ikhlas menolong orang tanpa mengharapkan apa-apa balasan sehingga akhir hayatnya. 'Al -Fatihah untuk bapa mentuaku (dibaca ).

Comments

Popular posts from this blog