Episod : Ilmu Di Sebalik Mata
Sewaktu hayat bapa mentuaku masih ada , aku sering diajak menemaninya untuk mengubati pesakit yang mengalami gangguan dan terkena sihir. Kebanyakan pesakit yang aku temui berada dalam keadaan tidak keruan . Ada yang menjerit-jerit , melolong , bergelut dan merenung dengan pandangan tajam . Namun semua itu tidak menakutkan aku entahlah aku sendiri pun tak pasti, mengapa.
Aku pernah mengajar di sebuah rumah di hujung kampung. Kelas tuisyen itu diadakan pada waktu malam. Sekeliling rumah itu ditanami dengan pokok-pokok pisang yang dedaunnya merimbun. Suasana sekeliling rumah itu amat sunyi dan gelap. Pintu dan tingkap rumah papan yang bertangga itu sentiasa tertutup.
" Asalamualaikum, Asalamualaikum " .
Kedengaran bunyi derap tapak kaki melangkah di atas lantai papan menghampiri pintu. Selak pintu dibuka.
Muncul Pakcik tuan rumah itu. Itulah pertama kali aku bersua dengan Pakcik. Urusan tuisyen itu diuruskan oleh sebuah persatuan sukan negeri Selangor kerana semasa itu aku turut menjadi tutor kepada pasukan atlet Malaysia dalam persediaan menghadapi kejohanan Sukan Komenwel 1998. Aku mengajar dua orang anak perempuan Pakcik itu. Kedua-duanya pelajar sekolah menengah. Bibir Pakcik tersenyum menyambut aku dan Pakcik seorang yang sangat peramah.
" Jemput naik , Cikgu, " pelawa Pakcik sambil tertawa mesra.
Aku memakir motosikal aku di hadapan tangga rumah Pakcik. Anak-anak Pakcik sudah bersedia menunggu aku di meja makan di tepi tingkap. Hari pertama aku mengajar di rumah itu aku hanya bertanya khabar Pakcik dan berbual-bual biasa.
Muncul isteri Pakcik dari arah dapur dengan rambut mengerbang. Bercakap-cakap sendirian dan sesekali menjerit-jerit seperti meracau sesuatu yang tidak aku fahami. Matanya yang cengkung tajam memandang aku. Aku hanya tersenyum dan terdetik di dalam hatiku Makcik ini sedang sakit. Makcik masuk ke dalam bilik dan meracau-racau sambil sesekali ketawa kecil . Makcik keluar semula dari bilik dan menoleh tajam ke arahku. Aku melemparkan senyuman.
" Makcik tak sihat selepas lahirkan anak kedua . Dah lama sakit, " ujar Pakcik sambil tersenyum.
" Turun bawah," arah Pakcik kepada Makcik. Makcik mendengus apabila disuruh ke dapur. Suasana kembali tenang .
Aku menghabiskan tugasku selepas dua jam di rumah itu. Jarum jam menunjukkan pukul 10 malam. Aku meminta izin kepada Pakcik yang duduk membaca surat khabar di kerusi rotan bersebelahan meja tempat aku duduk tadi. Pintu rumah dibuka dan aku menuruni tangga yang disinari cahaya sebuah lampu kalimantang di atas pintu.
Aku menghidupkan enjin motosikal dan Pakcik melambai-lambai kepadaku dan pintu ditutup rapat. Sebelum aku bergerak meninggalkan rumah itu, Pakcik muncul dari bawah rumah yang gelap sambil menghisap rokok . Pakcik tidak menegur aku dan wajahnya masam.
" Saya balik dulu, Pakcik," laungku tetapi Pakcik tidak menoleh dan berjalan ke arah belakang rumah . Sepanjang perjalanan pulang , otakku ligat memikirkan hal yang berlaku tadi. Pakcik menghantar aku ke muka pintu dengan wajah ceria dan ketawa kecil tetapi Pakcik yang muncul di bawah rumah bermasam muka denganku.
Hari demi hari aku hadir mengajar di rumah itu. Suasana yang sama kualami . Makcik akan berlegar-legar di ruang tamu sambil mendengus. Wajah Makcik kelihatan garang dan sangat cengkung. Timbul tanda tanya di dalam hatiku. Mungkin bapa mentuaku dapat membantu mengubati Makcik. Pada suatu hari, aku menyampaikan hasratku kepada Pakcik untuk membawa bapa mentuaku untuk membantu mengubati Makcik. Pakcik bersetuju dengan cadangan aku.
Pada suatu malam yang dijanjikan, aku dan bapa mentuaku pergi ke rumah Pakcik. Sepanjang perjalanan bapa mentuaku bercerita tentang pengalaman hidupnya dulu-dulu. Sebenarnya cerita bapa mentuaku sudah kudengar beberapa kali sebelum ini tetapi aku tetap melayan perbualannya. Bapa mentuaku sama pesantren dengan Almarhum Gus Dur mantan Presiden Indonesia. Namun mereka terpaksa berpisah apabila bapa mentuaku berhijrah ke Tanah Melayu .
Penghijrahannya ke Tanah Melayu terkait dengan peristiwa GS30 ( Gerakan 30 September ) sewaktu Soekarno menjadi Presiden Indonesia. Sedikit sebanyak daripada penceritaan bapa mentuaku membuatkan aku berasa kagum dengan kehebatan ilmu yang dimilikinya. Tempat pertama bapa mentuaku menjejakkan kaki di sebuah kampung di Kancong Darat, Banting dan menjadi guru agama di situ. Bapa mentuaku dikenali di kampug itu sebagai Kiyai Saleh.
Kami sampai di perkarangan rumah Pakcik sekitar jam 9.00 malam. Suasana sunyi sepi dan gelap gelita. Hanya cahaya malap lampu kalimantang menerangi tangga rumah. Selepas memberikan salam, Pakcik muncul di muka pintu dan menyambut kami dengan mesra. Kami dihidangkan minuman panas oleh anak Pakcik, pelajar aku.
Bapa mentuaku duduk bersebelahan Pakcik sambil berbual-bual tapi aku tidak dapat mendengar dengan jelas perbualan mereka seperti sedang berbisik. Makcik muncul dari arah dapur dan mendengus tetapi kali ini agak agresif. Mulut bapa mentuaku terkumat -kamit. Tidak seperti kebiasaan bapa mentuaku akan melakukan perubatan terhadap pesakit tetapi malam itu bapa mentuaku hanya duduk berbicara dengan Pakcik tanpa melakukan sesi perubatan. Aku juga berasa kehairanan.
Cuma yang aku dengar sebelum kami bergerak meninggalkan rumah ,
"Sudah-sudahlah. Buang benda tak baik . Kasihan isterinya ," kata bapa mentuaku kepada Pakcik. Pakcik hanya mengangguk-angguk dan tidak berkata apa-apa. Sebelum aku membuka pintu kereta Kancilku, Pakcik berdiri di tangga. Tetapi wajah Pakcik agak kurang jelas.
Kami bergerak pulang dan beberapa ketika kami melayan perasaan masing-masing .
" Beginilah kalau boleh jangan mengajar lagi di rumah itu," ujar bapa mentuaku memecah kesunyian tadi.
"Mengapa, Pak ? , " tanyaku spontan.
Bapa mentuaku membeliakkan matanya. Jadi, aku faham maksud bapa mentuaku. Selang beberapa bulan kemudian, aku tidak lagi mengajar anak-anak Pakcik kerana program tuisyen itu sudah ditamatkan oleh persatuan sukan yang membayar gajiku. Kisah itu berakhir di situ sehingga hari ini.
Walaupun aku sering menemani bapa mentuaku mengubati pesakit namun hatiku tidak terdetik untuk mempelajari ilmu yang dimilikinya. Pernah juga aku bertanya kepadanya cara-cara untuk mendapatkan ilmu perubatannya tetapi syarat-syarat yang ketat menyebabkan aku melupakan saja hasrat itu. Lagipun aku takut untuk bertentang mata dengan "momok" andainya aku sanggup menerima ilmu daripadanya. Asam garam sebagai tutor aku menerima segala takdir yang ditentukan Allah.
Comments
Post a Comment