Episod : Bilik 457
Tanggal 13 November 2024 , aku dimasukkan ke wad 4B bilik bernombor 457 di Hospital KPJ, Seksyen 20 , Shah Alam pada jam 3.00 petang . Aku berasa sakit dada dan berdebar-debar. Prof. Madya Doktor Noorfaizan Saaidin pakar jantung (Cardiologst) telah datang ke bilikku untuk melakukan pemeriksaan. Sebelum ini , Dr. Noorfaizan telah melakukan 'coronary angiogram' ke atasku pada 16 Oktober yang lalu dan mendapati kemungkinan satu saluran ke jantungku telah tersumbat berdasarkan imej pada filem x-ray dan video yang diambil oleh jururawat bertugas.
Di bilik aku menjalani beberapa pemeriksaan susulan oleh jururawat yang bertugas. Bacaan tekanan darahku (BP) sentiasa tinggi. Aku diletakkan di bawah pengawasan rapi dan setiap sejam tekanan darahku diperiksa. Doktor memberikan ubat tambahan bagi menstabilkan tekanan darahku. Operasi memasukkan 'angiogram stent' akan dilakukan pada keesokan hari sekitar jam 12.00 tengah hari.
Aku mengambil peluang ini untuk berehat daripada kesibukan mengajar dan pagi tadi aku dihubungi oleh seorang ibu dari Pulau Pinang yang meminta aku mengajari anaknya yang akan menduduki peperiksaan UASA namun aku terpaksa menolak permintaannya. Anak menantu dan cucu-cucuku datang melawatku dan membawa pizza kegemaran aku. Keceriaan memenuhi ruang bilik yang bersaiz ruang tamu rumah. Aku beruntung kerana mendapat bilik yang telah diubah suai beberapa bulan yang lalu. Bilik yang cantik dan bersih serta perabot baharu menambahkan keselesaan.
Malam itu aku mengalami kesukaran untuk tidur dan aku sudah terjaga pada pukul 3.00 pagi. Aku tidak dapat melelapkan mata hingga pagi. Keadaan ini sudah kualami sekian lama dan doktor mengesyorkan aku supaya mengambil ubat tidur sebagai penyelesaian masalahku. Cahaya mentari pagi menerangi ruang bilik namun suhu pendingin hawa yang sangat sejuk memberikan kenyamanan. Aku ditemani isteriku dan anakku, Syuhada.
Jururawat bernama Aqilah yang menjaga aku sejak aku dimasukkan ke wad meminta aku bersiap-siap untuk melakukan pemeriksaan di bilik ECO pada pagi itu. Aku memakai baju seragam hospital berwarna hijau dan aku ketawa terbahak-bahak kerana aku dibekalkan sehelai seluar dalam plastik yang kukira bersaiz seluar dalam cucuku. Aqilah menolak kerusi rodaku ke lif tingkat 1. Pemeriksaan ECO mesti dilakukan sebelum prosedur pemasangan 'angiogram stent' dilakukan oleh Doktor Noorfaizan. Bulu roma tangan kananku dicukur oleh seorang jururawat lelaki kerana tangan kananku akan dibius.
Selepas proses ECO , aku dibawa semula ke bilik sementara menanti panggilan ke bilik pembedahan pada pukul 12 tengah hari. Tepat pada masa yang dijanjikan aku sekali lagi dibawa turun ke tingkat 1 oleh Aqilah menggunakan kerusi roda. Anak dan isteriku menunggu di bilik. Sesampai di bilik pembedahan , aku dibaringkan dan sebuah papan khas disediakan untuk meletakkan tangan kananku. Tangan aku 'diikat' menggunakan tipe kertas supaya tanganku dalam keadaan statik. Jururawat bertugas seramai 3 orang di bilik pembedahan itu dan Dr. Noorfaizan yang berdiri di sebelahku memberitahu aku tentang beberapa prosedur yang akan dilakukan sepanjang pembedahan kecil itu.
Tangan kananku telah dibius dan rasa sakit mulai menjalar perlahan-lahan . Dadaku berasa sakit bagaikan ditumbuk. Suntikan bius amat menyakitkan dan beberapa kali doktor meminta aku menarik nafas panjang bagi mengurangkan rasa sakit. Jururawat yang membantu doktor juga sibuk menjaga mesin-mesin di sekeliling katil tempat aku terbaring . Sebuah kamera yang bersambung dengan dua buah skrin monitor besar di atas dadaku sentiasa bergerak-gerak untuk merakam pergerakan jantungku. Pertama kali aku melihat imej jantungku di skrin monitor . Terdetik di hatiku betapa hebatnya ciptaan Allah Yang Maha Besar.
" Alhamdulillah. Alhamdulillah. Good news. Good news". Kedengaran suara doktor di sebelahku .
"Tak ada sumbat. Alhamdulillah." Berulang-ulang kali doktor mengucapkan syukur. Aku masih terpingga-pingga di atas perbaringan kerana tidak memahami apa sebenarnya yang sedang berlaku.
"Encik Azmi, tak ada blok. Tak ada sumbat ," ujar doktor kepadaku.
Suatu keajaiban sedang berlaku. Imej pada x-ray dan video yang diambil sebelum ini menunjukkan terdapat saluran yang tersumbat . Kun Fa Ya Kun. Allah Maha Besar. Doktor mengesahkan saluran pada jantungku dalam keadaan baik . Terlintas di benak fikiranku solat hajat adik-beradikku pada malam sebelum operasi dijalankan . Solat hajat oleh murid-murid Maahad Tahfizku. Alhamdulillah doaku dan doa mereka telah dimakbulkan Allah swt.
Wayar yang membelit tubuhku ditanggalkan oleh jururawat. Operasi ditamatkan kurang 30 minit. Segala-galanya telah selesai. Doktor memberitahu aku bahawa aku bernasib baik kerana tiada saluran jantungku yang tersumbat. Wajah ceria doktor dan jururawat yang bertugas melegakan perasaan aku. Aku duduk berlunjur di atas katil kerana berasa pening lalat mungkin disebabkan kesan bius tadi yang masih belum hilang sepenuhnya. Aku dibawa ke bilik semula oleh Aqilah yang peramah ke bilikku di tingkat 4.
Sesampai di bilik , aku berbaring semula dan tangan kananku dialas dengan sebuah bantal khas. Sebuah alat untuk menahan pendarahan dipasang pada tangan kananku dan aku tidak dibenarkan bergerak selama 4 jam dan sebuah botol disediakan untuk memudahkan aku membuang air kecil . Aku juga tidak dibenarkan berdiri kerana kemungkinan aku boleh terjatuh.
Aku terlena selama beberapa jam. Aku memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt kerana mempermudah urusanku dan doa ahli keluarga, murid-muridku serta rakan-rakan yang mengenali aku. Namun , Dr. Noorfaizan mengatakan bahawa aku masih berisiko tinggi terkena serangan jantung dan meminta aku agar sentiasa berhati-hati dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.
"Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah"
Comments
Post a Comment