Episod : Aku Aminah

"Siapa kau?". Mulutnya dikunci dan menggeleng-geleng.
"Siapa kau ?,' ulang bapa mentuaku lagi sambil memicit ibu jari kakinya. Pelajar itu meraung-meraung dan meronta-ronta. Akhirnya , pelajar itu menjawab, "Aku Aminah," sambil mengilai-ngilai dengan suara yang nyaring lagi menyeramkan. Bulu romaku dan bulu tengkukku meremang. Masing-masing berpandangan . Suasana di luar dewan makan semakin riuh rendah dengan jeritan dan lolongan yang tak keruan.
Kisah ini berlaku sekitar tahun 1990-an. Aku baru sahaja sampai di rumah sewaku yang terletak bersebelahan rumah ibu bapa mentuaku. Tiba-tiba, muncul dua buah kereta lalu diparkir di halaman rumah mentuaku. Beberapa orang lelaki tergesa-gesa masuk ke dalam rumah mentuaku. Aku hanya mengintai di sebalik tingkap cermin nako.
"Azmi, ikut bapak ," aku terdengar suara bapa mentuaku melaung memanggil . Aku bersegera mengganti baju kemeja lengan panjangku dengan sehelai kemeja lengan pendek. Di dalam hatiku terdetik tentu ada kes besar malam ini.
Aku hanya menuruti bapa mentuaku menaiki sebuah kereta yang pemandunya sudah bersedia untuk bergerak. Keadaan kelam kabut seketika. Aku duduk bersebelahan bapa mentuaku di tempat duduk penumpang belakang. Daripada perbualan pemandu dengan bapa mentuaku barulah aku tahu mereka yang datang dengan dua buah kereta itu ialah guru-guru dari sebuah sekolah.
"Berapa ramai yang kena?," tanya bapa mentuaku.
"Ramai juga Wak," jawab pemandu kereta sesekali menoleh kami yang terperuk di tempat duduk.
" Tapi , sebahagian sudah dipindahkan ke surau ,Wak ," sambung seorang lagi guru yang duduk di sebelah pemandu. Kereta meluncur laju menuju ke sekolah yang terletak di daerah Klang itu.
Semasa kami sampai, beberapa orang guru sudah menanti kedatangan kami.
"Mana ?," tanya bapa mentuaku kepada seorang guru yang tunduk bersalam dengan kami.
"Semua di dewan makan , Wak," ujar guru itu dengan suara cemas.
"Allahuakbar ," laung bapa mentuaku. Aku yang berdiri di belakangnya hanya berdiam diri. Beberapa orang pelajar perempuan berlari tidak tentu arah sambil menjerit-jerit dan menangis. Ada yang dipeluk oleh guru perempuan bagi mengelakkan kecederaan yang mungkin berlaku. Beberapa orang pelajar perempuan terbaring meronta-ronta di lantai sambil ditenangkan oleh beberapa orang guru perempuan. Mereka melolong-lolong dengan kuat . Sesetengahnya mendengus kuat dan menghamburkan kata-kata yang tidak kami fahami.
"Ini histeria , Pak," kataku kepada bapa mentuaku.
"Ya, kau pegang kakinya," arah bapa mentuaku ketika seorang pelajar perempuan sedang meronta-meronta sambil menjerit-jerit.
Bapa mentuaku membacakan ayat-ayat suci Al-Quran sambil memegang kepala pelajar itu. Suaranya semakin lemah dan kemudian tidak bergerak lalu terkulai.
"Angkat budak ni keluar," arah bapa mentuaku. Beberapa orang guru lelaki dan perempuan mengangkat pelajar yang berbadan agak gempal dan tidak sedarkan diri itu keluar dari dewan makan.
Seorang lagi pelajar perempuan terduduk diam di sudut dewan. Bapa mentuaku berjalan ke arah pelajar itu dan aku mengekori di belakangnya. Beberapa orang pelajar perempuan lain masih menjerit-jerit dan meronta-ronta sambil ditenangkan oleh guru-guru mereka. Pelajar perempuan itu memandang dengan wajah yang marah dan seperti mengejek kami. Mulutnya hanya terkumat-kamit. Tudung kepala yang dipakainya sudah terburai entah ke mana.
"Pegang!. Pegang !," arah bapa mentuaku. Aku dan beberapa orang guru perempuan dan guru lelaki memegang tangan dan kaki pelajar itu. Kami mengangkatnya ke atas meja makan . Dia mula meronta-ronta minta dilepaskan tapi dia tidak menjerit-jerit seperti pelajar-pelajar lain. Suasana di dalam dewan itu bertukar menjadi gamat apabila pelajar-pelajar lain yang dirasuk mulai menjerit-jerit hampir serentak.
Ibu jari kaki pelajar itu dipicit oleh bapa mentuaku. Pelajar itu meraung-raung dan menjerit-jerit. Kata-kata yang tidak difahami dihamburkan kepada kami. Namun, aku dan guru-guru tetap memegang kaki dan tangan pelajar itu bagi mengelakkannya terlepas lari. Sesekali kakinya singgah di dada guru perempuan yang memegang kakinya. Jeritan diselang seli dengan hilaian ketawa yang memanjang dan amat menyeramkan. Aku tidak mahu memandang wajah pelajar itu kerana nanti aku asyik teringat-ingat wajahnya itu.
"Siapa kau?". Mulutnya dikunci dan menggeleng-geleng.
"Siapa kau ?,' ulang bapa mentuaku sambil memicit ibu jari kakinya. Pelajar itu meraung-meraung dan meronta-ronta. Akhirnya , pelajar itu menjawab, "Aku Aminah," sambil mengilai-ngilai dengan suara yang nyaring lagi menyeramkan.
"Pergi dari sini . Pergi. Jangan ganggu sini," kata bapa mentuaku dengan suara yang garang . Pelajar itu kelihatan lemah dan semakin lemah akhirnya terkulai di atas meja. Guru-guru perempuan membetulkan pakaiannya dan menutup kepalanya dengan tudung yang sudah terburai. Wajahnya disapu dengan air dari bejana sambil berselawat.
Aku melepaskan pegangan kaki pelajar itu. Manakala, pelajar-pelajar lain yang dirasuk turut menjadi lemah dan terkulai. Lencun baju kami dengan peluh selepas 'berperang' dengan 'Aminah'. Pelajar-pelajar perempuan dipapah pulang ke asrama mereka oleh guru-guru perempuan sekolah itu.
Kami keluar dari dewan makan bersama-sama guru lelaki yang turut membantu sama. Rupa-rupanya, ramai guru di luar dewan yang sedang berkerumun mungkin berita tentang 'histeria' itu sudah disebarkan oleh kawan-kawan guru mereka.
"Wak , jom pergi makan , " pelawa seorang guru.
''Azmi, kau dah makan?," tanya bapa mentuaku tersenyum.
"Belum Pak, Baru balik sekolah tadi bapak dah panggil," jawabku tersenyum. Malam itu, kami dibawa oleh guru-guru ke sebuah restoran dan dijamu tomyam serta ikan siakap.
"Syukur semuanya sudah selesai. Nanti kalau jadi lagi panggil menantu saya, Azmi. Saya takuttt," ujar bapa mentuaku membeliakkan matanya dan berderai kami ketawa. Usai makan lewat malam itu, kami dihantar pulang ke rumah dan dibekali beberapa bungkus makanan sebagai tanda terima kasih.
"Aku Aminah." Suara itu masih terngiang-ngiang hingga hari ini dan bulu romaku meremang tiba-tiba. Setiap kali aku melalui sekolah itu , aku akan teringat peristiwa menyeramkan itu.
"Di sinilah dulu 'Aminah' tinggal," desis hatiku.

Comments

Popular posts from this blog