Episod : Teluk Intan ( Teluk Anson )

Hari ini aku dan isteri serta adik perempuanku bersama-sama suaminya sudah berjanji hendak keluar berjalan-jalan cari makan di Teluk Intan atau nama asalnya Teluk Anson. Nama Teluk Anson diambil bersempena nama seorang Inggeris yang menjadi pegawai daerah pertama , General Sir Archibald Edward Harbond Anson (1826-1925). Ada juga sejarah menarik tentang asal usual nama Teluk Intan diambil daripada nama seorang gadis yang memiliki rupa paras yang cantik dikenali sebagai Intan berasal dari Madahiling, Sumatera. Pada suatu hari, ketika Intan sedang mandi di tebing Sungai Perak, cincin pemberian ibunya telah hilang di lubuk Sungai Perak. Sejak itulah tempat itu diberi nama Teluk Mak Intan. Sejarah terus berlalu melangkaui zaman-berzaman. Berkuatkuasa 1 Januari 1982 bandar Teluk Anson dikenali sebagai Teluk Intan.
Perjalanan dari Klang melalui Lebuhraya WCE mengambil masa hampir dua jam setengah untuk sampai di Teluk Intan. Teluk Intan, sebuah bandar kecil tetapi padat dengan bangunan lama dan baru. Ciri-ciri bangunan peninggalan penjajah Inggeris boleh dilihat di sekitar bandar ini. Mahkamah Teluk Intan asalnya sebuah gereja lama dan berhampiran bangunan mahkamah sebuah balai polis tinggal juga sebuah bangunan era penjajah. Aku yang meminati sejarah berasa teruja sepanjang berada di sini.
Setibanya di bandar ini, kami menuju ke Restoran Mastan Ghani yang menjual mi rebus dan rojak. Kami memesan empat pinggan mi rebus dan sepinggan rojak untuk mengisi perut yang berkeroncong. Usai makan, kami bergerak ke Menara Condong yang menjadi mercu tanda Teluk Intan. Menara Condong ini sudah terbina sejak 139 tahun dulu (tahun dibina 1885) oleh seorang arkitek berketurunan Cina bernama Leong Choon Cheong ( Ah Cheong) berbentuk Pagoda . Menara yang berketinggian 85 kaki dan 110 anak tangga turut menempatkan sebuah jam loceng yang dibuat oleh pembuat jam terkemuka , James Wilson Benson, Ludgate Hill, London. Menara ini asalnya sebuah menara tangki air dan kemudian dijadikan menara jam. Keunikan Menara Condong Teluk Intan menyerupai Menara Pisa, Itali.
Kami tidak melepaskan peluang untuk meninjau ruang dalam menara yang telah diiktiraf sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan pada September 2015 oleh Jabatan Warisan Malaysia . Menara tiga tingkat ini mempunyai anak-anak tangga kayu yang agak curam dan masih kukuh. Harga tiket untuk memasuki menara itu ialah RM2 untuk dewasa. Di ruang bawah terdapat info sejarah Teluk Intan semasa zaman penjajah dan gambar-gambar dikategori klasik. Sebuah basikal lama di tepi anak tangga pertama menarik perhatianku. Harga basikal tua sekarang mencecah ribuan ringgit.
Di tingkat dua , terdapat gambar dan info yang sangat berharga tentang sejarah Teluk Intan. Puas kami dapat bergambar di ruang terbuka setiap tingkat menara dan beranda. Setelah hampir sejam di Menara Condong kami menuju ke Pengkalan River Cruise. Tapi, kami tidak menaiki cruise hanya melihat-lihat kawasan situ. Hari semakin panas dan terik.
Kami melihat 'street art' di belakang bangunan kedai lama. Kemudian , kami singgah di kedai lama 'Celana' yang menjahit seluar jeans. Banyak barang lama diletakkan di kedai itu. Pemilik kedai ' Celana' sangat ramah dan bercerita tentang tarikan yang ada di Teluk Intan itu. Selepas bersalam-salaman , kami meninggalkan kedai 'Celana' menuju ke Restoran M Gulam Rasul .
Restoran nasi kandar ini menjadi tumpuan pelanggan setianya. Aku dan isteri kurang berahi makan nasi kandar. Kami makan nasi kandar yang kami ceduk sendiri kuah kari, ayam dan acar timun. Suasana di restoran agak panas walaupun kipas berpusing ligat di atas kepala. Seorang penyanyi buskers turut mendendangkan beberapa buah lagu lama dan baharu termasuk lagu ' Selamat Pengantin Baru' .
Jam sudah menunjukkan pukul 1.30 petang dan kedengaran iqamah dari surau restoran nasi kandar itu. Kami bergerak pulang ke Klang melalui Lebuhraya WCE. Sepanjang perjalanan aku berasa sangat letih dan mengantuk . Kereta dipandu adik iparku dan kami sampai di Klang sekitar 5.00 petang . Perjalanan hari ini amat menyeronokkan kerana dapat mempelajari sejarah tanah air sendiri dan menikmati makanan yang viral di media sosial .

Comments

Popular posts from this blog