Episod : Lesen Al- Arqam

Peristiwa ini berlaku sekitar awal tahun 1990-an. Kali pertama aku mengambil lesen motosikal kerana selama ini aku menggunakan lesen L yang digantung depan dan belakang motosikal. Keputusan untuk mengambil lesen penuh kerana anak-anak sudah bertambah dua. Setiap kali hendak keluar ke mana-mana aku akan meminjam kereta orang.
Isteriku sudah memiliki lesen memandu srjak zaman bujang lagi. Jadi, dia lagi 'terror ' memandu kereta bahkan lori 1 tan milik kakaknya yang menjual tong gas. Pada tahun 90-an itulah aku membeli kereta pertama sebuah Perodua Kancil warna kelabu 850X. Sejak memiliki kereta sendiri isteri akulah yang memandu kereta ke sana ke sini.
Terdetik di dalam hatiku untuk mempunyai lesen motosikal dan lesen kereta. Hasrat hendak memiliki lesen motosikal sudah lama kupendam . Walaupun aku tiada lesen tetapi aku tahu menunggang motosikal kerana aku pernah belajar menunggang motosikal sepupu aku di sebuah padang bola sepak yang sangat luas.
Aku pun mendaftar nama di sebuah sekolah memandu. Harga menduduki ujian lesen pun aku dah lupa. Setelah beberapa belajar menunggang motosikal akhirnya aku berjaya mendapat lesen motosikal selepas percubaan kali kedua. Percubaan kali pertama aku gagal kerana aku menyarung topi keledar yang sudah dipakai oleh pelatih sebelum aku.
"Kesalahan awak kerana tak ikat tali topi keledar," kata pegawai JPJ yang bertugas. Aku terpinga-pinga dan berasa tidak berpuas hati. Semua pelatih menyarung topi keledar yang disediakan tanpa mengikat tali topi keledar kerana talinya sudah sedia terikat. Aku pulang dengan hampa tetapi berazam untuk mencuba kali kedua. Akhirnya, aku lulus mendapat lesen B2.
Timbul keinginan untuk memiliki lesen kereta. Sampai bila aku hendak duduk di sebelah penumpang . Aku juga hendak merasa pengalaman memandu kereta. Aku mendaftar nama di sekolah memandu yang sama. Aku belajar memandu slot pagi dengan seorang jurulatih memandu. Bersama-sama aku dua orang pelatih lagi. Seorang perempuan dan seorang lelaki.
Pelatih perempuan berumur 20-an mendapat layanan teristimewa daripada jurulatih. Jurulatih pun kuat mengayat . Ulat bulu dah naik daun. Aku yang memandang pun naik berbulu. Aku disuruh memandu sendiri kerana aku memberitahu jurulatih bahawa aku tahu setba sedikit memandu kereta manual. Jurulatih lepas tangan membiarkan aku memandu kereta sendiri di jalan raya.
Seorang lagi teman pelatih bernama Amin. Berjanggut paras dada. Berjubah hitam dan berserban hijau sebesar bola keranjang. Amin tidak lokek senyuman dan tutur katanya sangat sopan dan lembut. Amin berasal dari Acheh, Indonesia. Amin belum berkahwin. Wajah Amin sentiasa tenang dan tersenyum walaupun diherdik oleh jurulatih yang asyik berkepit dengan pelatih perempuan seorang lagi.
Oleh sebab aku tidak diajar cara memandu jadi aku memandu ikut cara aku. Kadang-kadang aku memecut kereta dengan laju mengelilingi kawasan kampung. Tidak banyak kereta pada waktu pagi dan jalan raya juga agak lengang. Sepanjang aku berkawan dengan Amin banyak nasihat yang dikongsi demgan aku terutamanya nasihat agama. Amin pengikut peetubuhan Al -Arqam yang sedang meningkat naik pada era 90-an.
Aku tertarik dengan.perwatakan.Amin yang bersopan santun dan berlemah lembut. Alhamdulillah, masyallah dan Allah tidak lekang dari bibirnya yang sentiasa tersenyum. Wajah Amin cerah dan bersih . Tubuh Amin yang kurus dan jubahnya yang longgar memberikannya keselesaan.
Hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. Kami dihantar ke JPJ Padang Jawa untuk menjalani ujian . Sekiranya berjaya, aku akan memiliki lesen memandu dan dapatlah aku memandu ' Sang Kancilku' menghantar anak-anakku ke sekolah. Namun , aku terkandas kerana percubaan mendaki bukit tidak berjaya sebanyak dua kali. Amin dan pelatih perempuan itu pun gagal. Mungkinlah hari itu hari gagal seperti kata seorang jurulatih sekolah memandu lain. Kami menyambung sesi latihan semula hampir sebulan .
Sekali lagi aku menjalani ujian memandu di tempat sama, JPJ Padang Jawa. Amin membaca doa dan mengajak aku berdoa sama. Akhirnya, aku dan Amin lulus ujian memandu. Kami berpelukan gembira.Pelatih perempuan yang datang bersama-sama kami telah gagal . Wajahnya masam mencuka. Aku dan Amin sama-sama ke tingkat 1 untuk membuat lesen memandu.
Kami berpisah di situ dan Amin memberitahu aku dia akan pulang ke Acheh dua tahun lagi. Amin menjadi pemandu van Al -Arqam untuk mengedarkan produk keluaran Al-Arqam ke kedai-kedai untuk dijual kepada orang ramai. Setiap kali aku teringat lesen memandu aku akan terkenang Amin Al-Arqam. Wajahnya masih terbayang-bayang hingga saat ini.

Comments

Popular posts from this blog