Episod : Kapal Perang
Aku dilahirkan dan dibesarkan di Pelabuhan Klang, Selangor . Aku dan keluarga tinggal di rumah kuaters Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dikenali Flat LPK. Terdapat 9 buah blok dan setiap blok ada empat tingkat . Setiap tingkat pula ada 6 buah pintu 2 bilik tidur.
Tentera-tentera laut ini akan turun dari kapal mereka dan 'merayap' di pekan kecil Pelabuhan Klang. Aku yang masih di sekolah rendah dengan kawan-kawan akan berdiri di tepi pagar flat sambil melambai-lambai tentera yang berjalan kaki berbondong-bondong ke pekan. Mereka ini peramah dan sering memberikan gula-gula kepada kami. Masing-masing berebut-rebut sambil mengucapkan ' Thank You' dan 'Terima kasih'.
Tentera-tentera ini akan keluar pagi dan balik petang . Apabila petang, kami akan bermain bola sepak di padang belakang flat. Tentera-tentera laut yang baru pulang dari pekan akan singgah bermain sama bola sepak dengan kami walaupun mereka beruniform lengkap. Tentera dari pelbagai negara. Maknanya, kami sudah pernah bermain bola sepak dengan pasukan tentera Korea Selatan, Amerika Syarikat, India , Jepun , Australia dan banyak lagi.
Mereka akan memberi kami coklat dan gula-gula sambil kami bersorak gembira. Mungkin pelayaran yang jauh menyebabkan mereka rindu akan isteri dan anak-anak di negara asal mereka. Kadang-kadang orang awam dibenarkan melawat kapal perang. Aku dan kawan-kawan akan berbasikal dan sesetengahnya berlari-lari kerana tidak mempunyai basikal memasuki pintu Pelabuhan Selatan .
Pengawal-pengawal yang bertugas di pintu masuk pelabuhan sudah mengenali kami budak-budak flat sebelah. Jadi, kami masuk tanpa diperiksa atau ditahan. Ada juga bapa kawan-kawan aku bekerja di Pelabuhan Selatan tetapi bapa aku bekerja di Pelabuhan Utara sebagai pemandu forklift. Seronok bukan kepalang dapat melihat kapal perang secara dekat di dermaga. Tentera-tentera yang di atas kapal pula melambai-lambai apabila melihat kami yang bermain bola sepak dengan mereka di padang.
Begitulah kisah kapal perang yang datang singgah di Pelabuhan Selatan dan memori indah zaman kanak-kanak terus terpahat dan tidak akan dilupakan.
Comments
Post a Comment