Episod : Jejaka Idaman
Sebaik melabuhkan punggung di atas kerusi pemandu tanganku menekan butang radio . Siaran Radio Klasik sedang berkumandang. Tanpa disangka lagu 'Jejaka Idaman' nyanyian Raja Ema kedengaran dari corong radio MYVI aku.
..O..sayang engkaulah jejaka idaman ...
Kelibatnya sedang melintas jalan membuatkan hatiku berbunga-bunga . Dari jauh dia sudah melemparkan senyumannya. Aku membalas senyumannya dan melambai ke arahnya. Beberapa orang yang lalu hanya memandang aku dan dia yang hampir setiap hari berjumpa di situ.
"Lapar tak ?" Dia memulakan pertanyaan . Aku tersenyum.
"Jom , kita makan di KFC," katanya sambil berjalan bergandingan denganku. Kami melewati kedai menjual bingkai gambar dan gerai-gerai makan di medan MARA .
"Jemput singgah , dik. Ada mi goreng . Nasi goreng . Nasi ayam," suara bersahut-sahutan peniaga gerai makan. Kami melintas jalan menuju ke Restoran KFC , Jalan Taiping. Pintu kaca aku buka dan mempersilakannya masuk. Kami mencari-cari tempat duduk berdindingkan cermin untuk melihat suasana Jalan Taiping.
"Order , Cik ?," tanya pelayan.
" Awak nak makan apa ?"
" Macam biasa , " jawabku ringkas .
" Air coke !"
" Ok bagi dua air coke ," dia membuat pesanan kepada pelayan restoran dan pelayan berlalu pergi.
Dua pinggan 'snack plate ' dengan dua ketul ayam, kentang putar dan coleslaw. Sudu, garfu dan pisau besi di atas pinggan sudah tersedia. Kami makan sambil berbual-bual dan sesekali ketawa kecil. Ada mata-mata yang memandang kami dan tersenyum sama. Usiaku ketika itu 21 tahun dan dia 20 tahun. Kami nampak terlalu muda seperti dilamun percintaan . Agaknya begitulah telahan mereka .
Usai makan, dia memanggil pelayan restoran dan membayar harga makanan kami tadi. Selalunya dia yang membayarkan makanan dan minuman kerana aku ini jenis pokai. Gaji ciput RM200 sebulan. Sebahagian gajiku diberikan kepada ibuku untuk membiayai adik-adik yang lain . Sebahagian lagi gajiku aku simpan dan selalunya aku berhutang dengan pakcik jika makan minum di kantin sekolah. Semua dicatatkan di dalam buku 555. Cukup bulan RM20-30 terbang masuk laci kaunter tapi ada ketika hutang dibawa ke bulan seterusnya.
Selepas itu, kami menyusuri Jalan Taiping . Hari sudah lewat petang Kami sama-sama melangkah menuju ke Perhentian Bas Klang-Banting di bawah bangunan pasar raya Great Wall. Dia bernyanyi-nyanyi kecil lagu ' Jejaka Idaman' dan aku hanya tersenyum malu. Dia kuhantar hingga tangga bas KSOC dan menantinya di situ di tiang perhentian bas sebelum bas bertolak. Bas-bas berkejar-kejar mengambil dan menurunkan penumpang. Pemandu bas sudah menghidupkan enjin dan dia kuhantar dengan lambaian dan senyuman lalu dibalas dengan senyuman . Dia akan memalingkan wajahnya ke arah lain apabila bas mula berengsot-esot pergi meninggalkan perhentian dan aku. Barang kali hatinya terasa sayu.
Setahun kemudian, aku masuk melamar 'Raja Ema'ku menjadi isteriku yang sah. Kini, sudah 35 tahun kenangan itu masih segar di dalam ingatanku.
..O ..sayang engkaulah jejakan idaman ...
Comments
Post a Comment