Episod : Dulu

Dulu , kami tidak berpeluang hendak keluar melancong ke tempat orang . Paling jauh pun pulang ke kampung halaman di Kampung Palekbang. Tumpat , Kelantan. Ayahku yang bekerja sebagai pemandu forklift sudah tentu tidak mampu untuk mengeluarkan belanja besar untuk kami kerap pulang bercuti di kampung. Tambahan pula, adik-beradik seramai lima orang hampir sebaya jadi kami membesar sama.
Kami hanya pulang ke Kelantan rasanya tak lebih 2 kali. Sekali semasa aku bersunat di kampung. Selepas itu, kami pernah pulang kerana melawat saudara mara di kampung atas sebab apa aku sudah lupa kerana usiaku masih kecil ketika itu. Kami menaiki kereta api mel dari stesen Kuala Lumpur. Kami dihantar ke stesen dengan menaiki teksi yang dipandu oleh rakan sekerja ayahku Pak Din yang membawa teksi secara sambilan. Pak Din asal orang Pulau Pinang dan selalu singgah di rumahku untuk bersembang. Orang dulu tidak melepak di kedai mamak . Semasa nenek dan datuk aku
'Che' meninggal dunia pun kami tidak pulang ke kampung. Masih segar dalam ingatanku sewaktu menerima berita nenek telah meninggal dunia di Kampung Palekbang , ibuku yang sedang mencuci pakaian di bilik air ibuku hanya menangis tersedu-sedu. Kami tidak pulang ke kampung untuk melawat jenazah nenek dan 'Che'.
Begitu juga kalau hendak merasa masakan mi goreng mamak Restoran Abdullah di hadapan stesen bas MARA Klang - Banting boleh dibilang dengan jari. Ayahku akan membeli sebungkus mi goreng selepas pulang bekerja dan kami akan berkongsi makan lima orang beradik. Kalau ayahku membeli roti canai dan kuah kari di dalam tin susu yang diikat dengan tali rafia. Kami akan berkongsi makanan tetapi ibu bapaku tidak pernah makan sama kecuali makanan yang dimasak di rumah.
Apabila menjelang hari raya, ayahku akan membeli kain ela untuk membuat baju Melayu sedondon sepasang seorang . Aku dan dua adik lelaki . Manakala, kakak dan adik perempuan akan memakai baju kurung. Semua pakaian itu dijahit oleh jiran tetangga yang mengambil upah menjahit. Ayahku akan membawa aku membonceng basikal ke sebuah kedai runcit India. Tuan punya kedai runcit itu rakan sekerja ayahku di Lembaga Pelabuhan Klang. Namanya Raju.
Pakcik Raju akan membungkus beberapa ikat bunga api di dalam kertas surat khabar . Ayahku akan membayar hutang bunga api apabila hari gaji nanti. Bergembiralah kami bermain bunga api bersama-sama kawan-kawan yang tinggal di Flat LPK. Suasana hari raya bertambah meriah apabila pengumuman hari raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM Bersorak-sorai kanak-kanak Flat kegembiraan menyambut pengumuman hari raya.
Ibuku akan memasak rendang ayam untuk hidangan kami sekeluarga pada pagi raya. Ibuku akan membuat nasi impit. Nasi yang dimasak lembik dibungkus di dalam kain lampin lalu disimpul. Kemudian , di atasnya dihimpit dengan batu giling dan sebaldi air supaya keesokannya kami dapat merasai keenakan nasi impit, rendang ayam dan kuah kacang. Akulah harapan ibuku di dapur kerana adik-adikku masih kecil manakala kakakku tidak mampu menolong kerana dia ada masalah ketidakupayaan . Aku akan mengukur kelapa menggunakan bangku pengukur kelapa. Aku yang akan mengacau rendang dan kuah kacang. Aku akan mengangkat batu giling dan sebaldi air. Ayahku masih bekerja dan selalu pulang lewat.
Apabila musim sekolah dibuka, ayahku akan membawa pulang kertas pembalut barang di gudang untuk membalut buku latihan dan buku teks. Kami adik-beradik berasa seronok dapat membalut sendiri buku latihan dan buku teks sambil membalut buku-buku ibuku akan berpesan supaya kami belajar dengan bersungguh-sungguh. Ayahku akan duduk di luar rumah melayan perasaan dengan rokok daunnya.
Setiap hari , aku dan adik-adik lelaki akan dihantar ke sekolah dengan membonceng basikal ayahku. Seorang di atas palang depan dan dua orang di belakang. Pergi dan balik begitulah kami ke sekolah rendah. Semasa di sekolah menengah , kami sudah pergi ke sekolah sendiri dengan berjalan kaki. Hanya semasa di Tingkatan 3 aku mempunyai sebuah basikal kata orang basikal 'perempuan' kerana tidak berpalang. Aku akan menunggang basikal dan sahabat karibku ( sekarang Dato Patrick ) akan menumpang di belakang. Kami bergilir-gilir mengayuh basikal.
Pakaian yang kami pakai selalunya dibeli di pasar malam atau diberikan oleh saudaraku yang bekerja sebagai editor NST di Kuala Lumpur. Jadi. tshirt yang kami pakai bergambar jenama produk sabun, rokok ' Lucky Strike ',dan 'Gold Leaf '. Tiada jenama Adidas, Nike , atau 'Hush Puppies'. Kasut yang aku ada hanyalah kasut sekolah Bata tapak kasut warna hijau yang selalu dipakai oleh pemain sepak takraw. Sepasang dipakai setahun. Aku sangat cermat memakai barang-barang sehingga sekarang !
Pulang dari sekolah, adik-beradikku akan bertiarap di ruang tamu yang sempit untuk menyiapkan kerja sekolah. Ibuku ialah guru sebenar pertama kami. Ibuku akan mengajar aku dan adik-beradik menjawab soalan. Ibuku pernah bersekolah jadi mudah baginya untuk mengajar kami. Ayahku akan duduk di luar rumah sambil menghisap rokok daunnya. Alhamdulillah, kami adik-beradik boleh dikira murid cemerlang di sekolah dan mempunyai masa depan yang cerah .
Kadang-kadang aku mengikut kawan-kawan ke pasar malam di pekan Pelabuhan Klang . Sebuah pasar malam yang terkenal dan legend bagi penduduk asal Pelabuhan Klang atau Kuala. Ibuku akan memberikan wang seringgit sebagai duit belanja membeli makanan atau minuman. Selalunya aku tidak membeli apa-apa hanya mengikut kawan-kawan bersiar-siar di pasar malam. Wang seringgit itu aku simpan untuk kegunaan wang saku sekolah. Kami berasa seronok berkerumun melihat peniaga silap mata menjual ubat.
Masa sudah berlalu puluhan tahun. Ibu bapaku sudah lama meninggalkan kami. Akulah yang mengambil tanggungjawab menjaga kakakku dan menguruskan segala urusan berkaitan keluarga dan adik-beradikku. Bersyukur ke hadrat Allah swt kerana ibu bapaku telah mendidik dan membesarkan kami menjadi manusia berguna dengan kasih sayang. Semoga roh kedua-dua ibu bapaku diampunkan dosa-dosa mereka dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman Amin Ya Rabbal Alamin.

Comments

Popular posts from this blog