Episod : SARIMAH

Semalam aku berkesempatan menonton filem arahan TS P Ramlee ' Madu Tiga' . Mataku tidak terlepas asyik memandang wajah pelakon SARIMAH ( Dato). Fikiranku terawang-awang kepada kisah silam sekitar tahun 80-an. Zaman remaja jiwa bergelora.
Di tempat tinggal aku ada seorang gadis sebaya aku. Wajahnya seiras pelakon Sarimah. Ada tahi lalat halus di bawah kelopak mata kiri. Bulu matanya original lentik dan matanya galak . Setiap pagi , aku akan keluar rumah serentak dengannya dan berjalan sama ke stesen bas. Ketika itu aku masih bersekolah dan akan menduduki STPM tahun itu. Tapi , aku perasan dia seperti tidak begitu melayan aku kerana dia agak sudah matang walaupun kami sebaya. Gaya dia berpakaian pun tidak kolot seperti gadis sezaman itu . Aku pulak tak pandai bergaya.
Jadi, aku buat muka tak malu tetap 'menemani' dia setiap pagi. Berpatah-patah aku bercakap sepatah dia balas itupun dia biarkan aku menunggu. Aku hanya tersengih-sengih macam kerang busuk. Dia tak pernah mengelak kalau melihat aku mungkin dia rasa selamat aku menemaninya setiap pagi. Suasana itu berterusan sehinggalah selesai STPM.
Hubungan aku dengannya terputus setelah selesai peperiksaan. Dia juga menduduki peperiksaan STPM di sebuah sekolah kerajaan. Jadi, aku berseorangan tanpa teman dan sementara menunggu STPM aku bekerja sebagai 'cleaner' . Apa yang aku tahu dia sudah bekerja dan tinggal bersama -sama keluarganya sendiri di bandar K. Selama ini dia tinggal di rumah makciknya.
Tika itu, aku sudah giat aktif menulis karya sastera di majalah dan surat khabar. Setiap petang kalau tidak bekerja aku melayan celoteh juruhebah Shahizan Jelas dan juruhebah Lutfi Abas dalam rancangan lagu dan kenangan macam rancangan Adila Radio Klasik. Fikiranku akan melayang-layang sambil jari-jemariku menekan butang mesin taip
'Olivette' hadiah daripada ayahku.
Kadang-kadang, aku terserempak dengannya apabila dia datang melawat makciknya. Cuma dia kini sudah mempunyai teman . Aku agak saja lelaki itu teman lelakinya kerana nampak hampir sebaya dan berkereta Proton Saga. Aku hanya melemparkan senyuman apabila terpandang dia dan dia membalas senyumanku. Rambutnya saling tak tumpah pelakon Sarimah .
Begitulah masa terus berlalu. Akhirnya, dia mendirikan rumah tangga selepas beberapa tahun kemudian dan aku juga telah dijemput ke majlis perkahwinannya tetapi aku tidak dapat hadir. Aku masih berjalan kaki ke stesen bas seperti sebelum ini namun tiada teman yang sudi menemaniku. Doaku semoga 'Sarimah' berbahagia di samping keluarganya. Amin...

Comments

Popular posts from this blog