Episod : BERANI MATI

Kisah berani mati ini berlaku sekitar tahun 2006 yang lalu bermakna sudah 18 tahun . Aku telah membuat keputusan membuka sebuah pusat tuisyen di tengah-tengah sebuah pekan kecil di Taman Eng Ann Klang. Majoriti penduduk di situ ialah masyarakat Cina . Aku satu-satunya Melayu umpama seekor kuda belang dalam kawanan kuda.
Hari pertama , pusat tuisyen aku diziarahi sekumpulan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama-sama dua buah lori yang berjaring. Lori itu digunakan untuk mengangkut perkakasan dan peralatan yang dirampas di premis yang tidak berlesen. Aku telah berunding dengan seorang pegawai yang berpangkat dan mempunyai beberapa paku tersemat di bahu.
Aku menjelaskan kepadanya bahawa hari itu adalah hari pertama perniagaan dibuka. Akhirnya, aku diberikan tempoh satu minggu untuk menyelesaikan permohonan lesen perniagaan di pejabat MPK.
"Kami akan datang semula pada minggu hadapan. Jika Encik masih tidak memohon lesen kami terpaksa mengambil peralatan di pejabat ini untuk disita ," kata pegawai itu dengan wajah serius. Aku hanya mengangguk dan terdiam seketika kerana aku tiada pengalaman berhadapan dengan situasi begitu. Dua buah lori yang sudah bersedia untuk mengangkut segala perabot dan peralatan di bangunan yang aku sewa itu berlalu pergi. Orang ramai berkumpul di hadapan bangunan untuk melihat kejadian itu dan bersurai selepas anggota penguatkuasa meninggalkan kawasan itu.
Aku segera menunggang motosikal menuju ke pejabat MPK di bandar Klang untuk mengambil borang permohonan lesen perniagaan. Pada masa yang sama, aku bergegas ke Pejabat Pendidikan Daerah Klang (PPD) untuk mengambil borang permohonan lesen membuka pusat tuisyen. Satu lagi masalah timbul , permohonan lesen pusat tuisyen hendaklah disertakan dengan kertas kerja. Segala-gala maklumat hendaklah lengkap beserta gambar premis , kelulusan pihak bomba dan Pejabat Kesihatan Daerah. Aku hampir terduduk tetapi aku mesti bangkit kerana aku telah pun berhenti kerja sepenuh masa bererti tiada lagi gaji tetap.
Aku meminta pertolongan daripada seorang kawan yang sudah mempunyai pusat tuisyen sendiri untuk membantu aku menyiapkan kertas kerja yang diminta oleh PPD. Kawanku itu meminta upah sebanyak RM2000. 00. Di mana aku hendak korek duit sebanyak itu ?. Sekali lagi aku terduduk. Aku membelek-belek lembaran demi lembaran borang permohonan lesen PPD itu. Aku memberanikan diri dan menguatkan semangat bahawa aku mampu melengkapkan sendiri kertas kerja tersebut kerana aku bukan tidak berpelajaran tinggi. Tidak sampai tiga hari kertas kerja pun siap dengan sempurnanya.
Aku akan ke PPD untuk menyerahkan kertas kerja dengan segala lampiran dokumen yang dikehendaki. Sebaik sahaja aku hendak membuka mangga pintu pagar bangunan, kelihatan sosok seorang lelaki bersinglet putih menaiki tangga .Gaya jalannya ' berkepak' dan seluruh badannya berlukis tato hingga ke leher. Sekali pandang seperti anggota kongsi gelap Yakuza yang terkenal di Jepun.
"Mana tauke ?," suaranya garang dan mukanya bengis.
"Tauke sudah keluar ," jawabku dengan tenang.
"Gua mau jumpa tauke ?, " ulangnya lagi dengan nada suara yang tinggi.
"Tauke tak ada sini," jawapan yang sama kuberikan. Dia menyeluk poket seluar jeansnya lalu mengeluarkan sekeping sampul berwarna merah.
"Lu kasi ini surat sama tauke," katanya sambil memegang sampul surat itu dengan kedua-dua tangannya dan menyerahkan kepadaku. Aku juga menerima surat itu dengan kedua-dua tanganku. Dia menundukkan kepalanya paras bahu dan menuruni tangga. Gilalah kalau aku mengaku akulah tauke .
Satu lagi masalah membelenggu diriku. Pada hari itu, aku menyerahkan kertas kerja PPD kepada pegawai di kaunter hadapan. Pejabat PPD terletak bersebelahan dengan Sekolah Menengah Tinggi Klang ( High School ) dan kawasan perkuburan lama Cina. Usai urusan di PPD , aku kembali ke pusat tuisyen . Sepanjang hari itu , aku menunggu ibu bapa dan pelajar-pelajar yang mahu mendaftarkan anak-anak mereka tuisyen Bahasa Melayu. Hanya beberapa orang pelanggan yang muncul bertanya itu ini tetapi mereka tidak mendaftar. Bermacam-macam ditanya dan aku juga terfikir adakah mereka ini hendak menghantar anak-anak tuisyen atau hendak mengumpul maklumat.
Tidak sampai seminggu, aku dihubungi oleh pegawai PPD yang meminta aku datang ke pejabat untuk mengambil surat-surat permohonan lesen. Ada tiga pucuk surat diserahkan kepadaku. Surat kebenaran Jabatan Bomba , surat kebenaran lesen MPK dan surat kebenaran pendaftaran SSM. Semua surat itu nanti perlu diserahkan kembali ke PPD.
Sepanjang dua minggu itu, aku sangat sibuk . Keluar pagi balik malam. Surat sampul merah itu aku serahkan kepada pemilik bangunan pusat tuisyen untuk diuruskannya. Aku tidak tahu apakah kesudahan sampul surat misteri itu. Manakala, surat-surat lain aku serahkan kepada jabatan-jabatan berkenaan. Urusan dengan pihak bomba yang paling dirisaukan kerana syarat-syaratnya yang sangat ketat sebelum diberikan kelulusan. Alhamdulilah, semuanya dipermudah oleh Allah swt . Akhirnya, semua lesen yang dikehendaki sudah berada di tangan dan aku sudah boleh beroperasi tanpa rasa bimbang dan berserabut.
Hari demi hari, pusat tuisyenku terus-menerus menerima pelajar-pelajar terutamanya dari sekolah jenis kebangsaan Cina. Aku membuka kelas tuisyen untuk murid-murid sekolah rendah dan pelajar-pelajar sekolah menengah. Bilangan pelajar aku sudah melebihi 100 orang dalam tempoh dua bulan dibuka. Aku mendapat sokongan padu daripada beberapa orang Guru Besar dan Pengetua sekolah Cina yang menghantar murid-murid mereka belajar dengan aku.
Di sebelah blok bangunan pusat tuisyen aku ada sebuah pusat tuisyen yang sangat terkenal dan lebih awal beroperasi sebelum aku membuka pusat tuisyen di situ . Aku mendapat panggilan telefon daripada seorang kerani pusat tuisyen berkenaan dan memberitahu aku bahawa 'boss' hendak berjumpa dengan aku.
"Pukul 10 malam, boss ada free. Encik boleh datang jumpa boss," kedengaran suara pelat kerani berbahasa Melayu di hujung gagang. Aku berjalan kaki ke blok sebelah dan memijak anak tangga satu persatu sambil mataku melilau melihat suasana pusat tuisyen yang terkenal itu. Murid-muridnya sahaja hampir 5000 orang dengan 6 buah cawangan . Kalau dicongak kutipan yuran bulanan sahaja hampir RM300,000.00.
Kehadiranku di situ tidak disambut oleh sesiapa. Beberapa orang kerani sibuk dengan kerja masing-masing. Istilah orang sekarang 'kena sidai' hampir setengah jam. Aku mencari-cari idea di pusat itu yang boleh aku bawa ke pusat tuisyen aku nanti. Selepas setengah jam , seorang lelaki yang berpakaian kemas dan bertali leher memperkenalkan dirinya. Dialah ' boss'.
"Encik Azmi sudah lama menunggu ?," dia bertanya sambil tersengih.
"Saya dapat tahu Encik Azmi ada membuka pusat tuisyen di sebelah pusat kami ini."
"Ya, betul., " jawabku ringkas. 'Boss' berjalan menuju ke ruang kelas dan aku hanya membontotinya. Sebuah dewan kuliah umpama sebuah panggung wayang TGV tersergam indah. Terpegun aku seketika melihat dewan kuliah sebesar dan semewah itu.
"Saya nak offer Encik Azmi bekerja di tempat saya. Jadi, Encik Azmi boleh tutup pusat tuisyen Encik Azmi," katanya berterus terang sambil ketawa kecil. Sebelum sempat aku menjawab , seekor anak anjing kecil berbulu lebat bermain-main di celah kakiku. Aku terkejut kerana tiba-tiba seekor anak anjing mengelilingi kakiku. Rasanya hendak saja aku tendang anak anjing itu.
"Saya buka offer gaji Encik Azmi RM12K sebulan," ujarnya lagi dan tersengih-sengih. Aku tidak segera menyahut tawaran itu. Muncul seorang wanita muda dan berpakaian kemas. Wanita itu ialah isteri boss.
"Encik terima saja tawaran itu. Kalau Encik menolak memang bodoh," kata isteri boss kepada aku.
"Dia boleh bodohkan aku. Kalau aku bekerja dengan mereka entah-entah dicelakakan aku pulak," desis hati kecilku.
"Nanti saya fikir dulu," jawabku.
"Tak perlu fikir lama-lama . Esok pun dah boleh start," ujar boss.
"Kalau Encik Azmi rasa tak cukup saya boleh tambah gaji Encik Azmi RM15K ," dia cuba memancing aku. Namun di dalam hati tawaran itu sudah aku tolak. Demi menjaga air muka boss, aku hanya berjanji akan memberikan jawapan beberapa hari lagi.
Aku meninggalkan pusat itu dengan hati yang sakit. Sakit kerana layanan yang tidak beradab. Kedua, tawaran yang diberikan tidak setimpal dengan apa yang aku boleh dapat lebih daripada itu. Ketiga, tawaran ini sebenarnya satu percubaan untuk 'menguburkan' karier aku. Akhirnya, aku menelefon pejabat pusat berkenaan dan memberitahu jawapan aku menolak tawaran boss. Sekian !.
Sejak hari itu, aku menerima lebih ramai pelajar termasuk pelajar-pelajar dari pusat sebelah . Mungkin inilah sebabnya boss segera memberikan tawaran yang gila-gila demi menyekat aku lebih 'mengganas'. Sikap berani mati itu kujadikan sebagai suatu keazaman di dalam diri aku sehingga sekarang untuk mencapai impian . Doa dan usaha mesti seiring untuk berjaya .!

Comments

Popular posts from this blog