Episod : Kembara di bumi Serambi Mekah (Kelantan) Akhir
Hari terakhir di bumi Kelantan tanah tumpah asal usul keturunanku. Aku menyelak langsir bilik hotel yang terletak bersebelahan Pasar Siti Khadijah . Suasana lengang tidak seperti dulu kenderaan yang bertali arus dan peniaga-peniaga menolak troli keluar masuk pasar. Pasar raya PARKSON sebelah Pasar Siti Khadijah sudah lama ditutup. Keadaan kini sangat berubah. Jam di tangan menunjukkan pukul 8.00 pagi. "Barang kali bukan musim cuti sekolah atau hari perayaan," bisik hati kecilku.
Aku bersiap-siap untuk bersarapan di pasar. Di atas Pasar Siti Khadijah terdapat 'food court' yang menjual pelbagai jenis makanan tradisional masyarakat Kelantan. Aku memesan nasi kerabu dan laksam . Isteriku berkongsi laksam denganku dan Mukriz sudah tentu makanan 'favorite' dia nasi dagang. Aku sempat berbual-bual dengan peniaga air minuman.
" Sekarang ini kurang pengunjung datang ke pasar . Kalau cuti sekolah ada juga orang datang membeli," katanya dengan loghat Kelantan yang pekat. Aku memahami percakapan peniaga itu walaupun aku tidak tahu 'kecek' Kelantan.
"Rasa mengantuk tunggu orang," sambungnya. Aku membayar harga dua gelas 'Teh Beng' dan segelas air suam.
Sejak berkahwin , air suam menjadi minuman rutin isteriku hanya sesekali dia minum air sejuk atau air manis. Mungkin sebab itulah dia kelihatan awet muda walaupun umurnya semakin bertambah saban tahun. Dulu, sewaktu mula-mula berkahwin, isteriku mengamalkan makan jamu yang dibuatnya sendiri kerana ibu mentuaku membuat jamu. Amalan makan jamu masih diamalkan isteriku tetapi semakin kurang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kami bergerak ke Bunut Susu untuk berjumpa dengan Poksu Limi @ Haji Che Kamarudin Bin Jusoh. Poksu Limi ialah sepupu arwah ibuku dan pangkat aku dengan Poksu Limi ialah anak sepupu. Poksu Limi sudah bersara sebagai pegawai KESEDAR manakala Moksu Ani isteri Poksu Limi menjalankan perniagaan menjual emas. Dalam keluargaku kebanyakannya ialah peniaga . Nenekku peniaga kain batik dan keropok. Dua orang makcikku dan sepupuku juga peniaga emas.
Kami sampai di Bunut Susu sekitar jam 12.00 tengah hari. Kali terakhir aku berjumpa dengan Poksu Limi sekitar tahun 1990-an. Pada mulanya, Poksu Limi tidak mengingati aku kerana sudah jauh berbeza dulu dan sekarang. Cuma yang dia ingat anak sepupu yang tinggal di Pelabuhan Klang seorang guru. Kami berpelukan kerana rindu terhadap orang tua. Moksu Ani yang dikenali Kak Long dalam kalangan peniaga pasar tersenyum gembira. Moksu Ani akan ke pasar setiap petang untuk mengutip hutang daripada peniaga-peniaga yang membeli emas dengannya.
"Moksu dah jadi Kak Long kawasan ," kataku mengusik Moksu Ani. Kami ketawa berdekah-dekah. Orang berhutang dengannya ramai dan menariknya anak perempuannya pengusaha pelancongan ke Narathiwat dan Hat Yai. Kami sudah berpakat untuk melancong ke Narathiwat dengan menaiki vannya. Semua urusan diserahkan kepada anak sepupu. Harga kaum kerabat.
Perbualan kami petang itu berkisar tentang hal keluarga sebelah arwah ibuku. Banyak kisah yang pertama kali aku dengar daripada mulut Poksu Limi. Poksu Limi bercerita tentang asal usul arwah 'Che' (datuk sebelah arwah ibu aku ) dan mengundang rasa sedih. Nasib 'Che' di hujung usianya amat menyedihkan. Biarlah apa yang diceritakan oleh Poksu Limi menjadi ingatan dan rahsia keluarga. Barulah kutahu mengapa wajah arwah 'Che' seakan-akan orang dari negara Timur Tengah. Gelaran pada nama 'Che' digugurkan atas sebab-sebab tertentu. Poksu Limi juga menyampaikan pantang larang dalam keluarga kami yang mesti dipertahankan dan disampaikan hingga cucu cicit kami demi keselamatan diri dan keturunan kami.
Perpisahan saat paling memilukan terasa hingga lubuk hati kecil. Kami terpaksa bergerak pulang dan pesanan Poksu Limi supaya kami datang melawatnya apabila pulang ke Kelantan. Poksu Limi memeluk aku agak lama sambil menepuk-nepuk belakang badanku sambil berbisik.
"Mu Mi saling tak tumpah macam arwah ayohmu . Suaramu. Gerok gerimu sama macam arwah Pok Wei," bisik Poksu Limi. Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata Poksu Limi sebagai pesanan orang tua. Kami dibekalkan tempoyak seorang sebotol oleh Moksu Ani.
"Kalau bagi tau awal boleh petik buah manggis rambutan dokong kat kebun," kata Moksu Ani .
"Tak pa, Moksu. Tahun depan kami datang lagi," ujarku memberitahu rancangan aku untuk pulang ke Kelantan pada bulan Februari tahun depan jika panjang umur dan diizinkan Allah.
Kami bergerak ke Restoran Colek Bini yang viral dalam medos. Tidak ramai pelanggan sewaktu kami sampai. Kami bersolat jamak Zohor dan Asar kerana penerbangan kami pada pukul 9.00 malam nanti ke KLIA. Aku menunggu sepupuku Kak Aya ( Suriya ) dan Abang Fauzi dari Pasir Mas. Kami sudah berjanji akan berjumpa di restoran ini. Rancangan untuk singgah di rumah Kak Aya terpaksa diubah memandang jadual masa telah berubah. Kak Aya yang pandai memasak pelbagai masakan Kelantan akan memasak untuk kami setiap kali kami pulang ke Kelantan.
Kedatangan Kak Aya dan Abang Fauzi sangat menggembirakan kerana kali terakhir kami berjumpa beberapa bulan lalu semasa adikku mengadakan majlis walimahtulurus anaknya. Hubungan kami sangat rapat. Perbualan semakin rancak dan sedar tak sedar jarum jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Kak Aya dan Abang Fauzi menyampaikan buah tangan yang wajib setiap kali kami datang. Semoga rezeki Kak Aya dan Abang dan Fauzi semakin murah. Amin.
Kami bergerak ke Lapangan Terbang Ismail Petra, Pengkalan Chepa dan menyerahkan kereta sewa kepada kakitangan syarikat KARISMA . Aku ternampak ' Datuk Sohok' dalam filem Chong Cho Dei sedang menunggu giliran untuk menaiki pesawat. Aku tidak sempat bergambar dengannya tetapi kami sentiasa berhubung melalui FB.
"Panggilan masuk ke balai berlepas ke KLIA," kedengaran pengumuman memenuhi ruang balai berlepas. Aku menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak berjemaah sementara menanti panggilan menaiki pesawat. Kembara ini paling mengesankan kerana aku kehilangan makcik dan pakcik saudara yang telah kembali kerahmatulah. Namun , kesedihan itu diubati dengan pertemuan semula dengan Poksu Limi dan Moksu Ani serta Tok Penghulu Kampung Palekbang , Abang Akhbar sekeluarga. Semoga akan datang aku akan menjejakkan kaki di bumi Serambi Mekah (Kelantan).
Comments
Post a Comment