Episod : Kembara di bumi Serambi Mekah ( Kelantan ) 2
Sebaik sahaja pesawat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa , tiba-tiba hatiku berasa sayu. Banyak perkara yang berlegar di fikiranku. Pemergian makcikku minggu lepas dan pakcik sepupu sebelah arwah bapaku pada bulan Julai yang lalu amat memberikan kesan mendalam. Terbayang juga arwah ibu bapaku yang berasal dari Kelantan sewaktu kecil membawa aku dan adik-beradik pulang ke kampung menaiki kereta api mel dan kemudian menaiki bot penambang ke Kampung Palekbang. Tidur berbumbungkan langit di taman Tambatan D' Raja sementara menunggu hari siang untuk menaiki bot penambang. Selain itu, rancanganku untuk melawat keluarga pakcik sepupuku di Pasir Tumbuh dan menyampaikan penghargaan kami kepada tim Tok Penghulu Kampung Palekbang yang menguruskan makcikku sewaktu dia masih ada sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Setelah turun dari pesawat suasana lapangan terbang yang baharu nampak berbeza dan kemas . Sebelum ini lapangan terbang kelihatan 'uzur' . Aku menuju ke syarikat sewa kereta KARISMA untuk mengambil sebuah Perodua Bezza yang telah ditempah sebelum ini. Kemudian kereta yang dipandu Mukriz meninggalkan perkarangan lapangan terbang menuju ke Liniey Nasi Kerabu Tumis di Pengkalan Chepa tidak jauh dari lapangan terbang .
Pelanggan agak ramai sedang beratur ketika itu. Tiba giliran aku , nasi kerabu dua bungkus ditambah solok lada dan ayam bakar sangat menyelerakan menjadi menu sarapan pagiku. Manakala, Mukriz penggemar nasi dagang menambah ayam bakar. Aku dan Mukriz memesan dua gelas ' Teh Beng ' dan isteriku seperti biasa hanya minum air suam. Aku makan dengan berselera . Sebenarnya , cadangan adikku untuk singgah bersarapan di Liniey Nasi Kerabu Tumis kesan viral di medos.
Aku menunggu adikku dan suaminya serta sepupu aku dan suaminya yang sedang dalam penerbangan kedua. Mereka dijangka sampai dalam sejam setengah lagi dan akan bersarapan sama di sini. Akhirnya, kami berkumpul di Liniey Nasi Kerabu Tumis sehingga jam 11.00 pagi.
Kami bergerak menuju ke Kedai Adriana Gold untuk mengambil rantai tangan yang telah ditempah sebelum ini sebelum menuju ke Kampung Palekbang, Tumpat. Tidak boleh berlama-lama di kedai emas itu kerana dibimbangi akan 'rabak' dek pujuk rayu peniaga emas. Sesampai di Kampung Palekbang, kami disambut oleh Tok Penghulu kampung dan Tok Penghulu Pusat serta ahli keluarga mereka. Memandangkan makcikku tiada keluarga kerana telah berpisah sekian lama sekitar tahun 60-an dengan seorang lelaki warga Britain dan seorang zuriat mereka meninggal dunia semasa kecil, jadi aku dan adikku dipertanggungjawabkan untuk menguruskan segala dokumen dan barang peninggalan makcikku.
Usai bersembang dan makan minum yang disediakan , kami menuju ke Tanah Perkuburan Kampung Palekbang untuk menziarahi kubur makcikku. Perasaan sedih bercampur baur mengenangkan saat kematiannya di hospital tiada sesiapa waris berada di sisinya. Sudah bahagiannya namun menurut Tok Penghulu urusan mandi jenazah hingga urusan pengkebumian sangat mudah dan cepat . Ramai yang turut serta sewaktu jenazahnya disolatkan di surau kampung itu.
Kami meninggalkan keluarga Tok Penghulu yang sangat berjasa kepada keluarga kami dan waris serta berjanji akan singgah di kampung itu sekiranya kami pulang ke Kelantan walaupun tiada sesiapa lagi ahli keluargaku tinggal di Kampung Palekbang bahkan rumah serta tanah pusaka sudah lama dijual kepada orang kampung sewaktu aku masih remaja dulu.
Kami terus ke hotel penginapan di tengah-tengah Kota Bharu untuk 'check in' dan berehat. Pada rancangan asal, kami akan singgah makan tengah hari di Restoran Nasi Ulam Cikgu tetapi terpaksa dilupakan kerana jadual sudah lari dari masa sebenar. Sekitar jam 5.30 petang , aku bersiap-siap untuk menziarahi makcik sepupuku di Pasir Tumbuh.
Kedatangan kami disambut mesra oleh makcik sepupuku. Banyak memori yang telah dikongsi bersama - sama sewaktu arwah masih ada. Kali terakhir aku berjumpa pakcik sepupuku pada awal tahun ini. Azan Maghrib berkumandang dan kami meminta izin untuk bergerak pulang ke hotel sambil berjanji akan mengunjunginya semula pada masa akan datang.
Kami singgah makan malam di Baan Suwarin cawangan Suwarin Jinda Cafe. Cawangan baharu ini terletak di Jalan Tok Guru Nik Aziz. Berbagai-bagai menu menyelerakan pada malam itu hingga aku sangat kekenyangan. Kami sempat bergambar dengan tuan punya restoran yang menyapa kami. Sebenarnya , kami akan singgah makan di restoran Suwarin setiap kali pulang ke Kelantan dan telah saling mengenali. Usai bergambar kami pulang ke hotel. Cadangan untuk meronda-ronda di bandar Kota Bharu terpaksa dibatalkan kerana masing-masing telah kepenatan dan mengantuk. Esok, jadual aku di Kota Bharu agak padat. Kedudukan hotel penginapan aku bersebelahan dengan Pasar Siti Khadijah yang sunyi sepi. Katanya, pasar baharu di Tunjong menarik pelanggan-pelanggan Pasar Siti Khadijah pergi ke sana. Malam itu aku tidur sangat lena kerana alat pendingin hawa di dalam bilik berfungsi dengan baik sedangkan di luar suhu panas siang tadi masih membahang.
Comments
Post a Comment